OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Korban taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 66 orang

Korban taufan Kalmaegi di Filipina meningkat kepada 66 orang

CEBU: Angka korban akibat Taufan Kalmaegi di Filipina dilaporkan meningkat kepada 66 orang, hari ini.

Timbalan Pentadbir Pertahanan Awam, Rafaelito Alejandro dalam temu bual bersama stesen radio DZMM, berkata Cebu mencatatkan 49 kematian manakala 26 orang lagi masih hilang.

"Bandar-bandar utama terjejas (dengan banjir) iaitu kawasan berkepadatan penduduk dan kawasan bandar.

"Semua banjir sudah surut. Namun, cabaran kita kini membersihkan timbunan runtuhan yang menghalang laluan jalan raya," katanya.

Seorang penduduk, Reynaldo Vergara, 53, berkata kedai kecilnya hanyut sama sekali.

 

"Sungai melimpah. Dari situlah air datang sekitar jam 4 atau 5 pagi, air terlalu deras sehingga tidak boleh keluar rumah… tidak pernah terjadi seperti ini sebelum ini.

"Air begitu deras dan 'mengganas'," katanya.

Dalam tempoh 24 jam sebelum Kalmaegi mendarat, kawasan sekitar Bandar Cebu menerima 183 milimeter hujan.

Pakar cuaca, Charmagne Varilla, berkata jumlah itu melebihi purata bulanan 131 milimeter.

Semalam, Gabenor wilayah Pamela Baricuatro menyifatkan keadaan itu sebagai sesuatu yang belum pernah terjadi.

"Kami menjangka angin akan menjadi ancaman utama, tetapi… air itulah yang benar-benar mengancam nyawa rakyat kami. Banjir ini memusnahkan semuanya," katanya.

Secara keseluruhan, hampir 400,000 orang dipindahkan dari laluan taufan itu sebagai langkah pencegahan.

Semalam, Tentera Filipina mengesahkan sebuah helikopter, antara empat yang dikerahkan untuk menghantar bantuan taufan, terhempas di pulau Mindanao utara.

Komando Mindanao Timur dalam satu kenyataan, berkata Helikopter Super Huey sedang menuju ke bandar pesisir Butuan "bagi menghantar bantuan" berkaitan taufan.

Tambahnya, usaha mencari dan menyelamat sedang dijalankan.

Beberapa jam kemudian, jurucakap tentera udara Kolonel Maria Christina Basco, berkata mayat enam individu sudah ditemui oleh anggota tentera.

"Kami sedang menunggu pengesahan forensik bagi mengenal pasti kesemua mangsa," katanya, sambil memaklumkan dua juruterbang dan empat kru berada di dalam helikopter.

Sehingga jam 8 pagi, Taufan Kalmaegi bergerak ke arah barat menuju destinasi pelancongan Palawan, dengan kelajuan angin 120 kilometer sejam dan ribut kencang sehingga 165 km/j.

Filipina secara purata dilanda 20 ribut dan taufan setiap tahun, menjejaskan kawasan berisiko tinggi bencana yang dihuni jutaan penduduk miskin.

Varilla, berkata sekurang-kurangnya "tiga hingga lima lagi" ribut dijangka melanda menjelang akhir Disember.

Filipina dilanda dua ribut besar pada September lalu, termasuk Super Taufan Ragasa yang menerbangkan bumbung bangunan dan mengorbankan 14 orang di Taiwan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search