Latihan amal bencana udara disaran diperluas ke STOLport pedalaman Sarawak
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 23 Sept: Latihan amal bencana udara julung kali diadakan di Miri disifatkan sebagai platform penting memperkukuh kerjasama agensi keselamatan, khususnya dalam menghadapi risiko kecemasan di lapangan terbang pedalaman (STOLport).
Residen Bahagian Miri, Galong Luang berkata latihan seumpama itu wajar diperluaskan ke lokasi lain termasuk Mulu, Bario, Marudi, Long Banga dan Long Akah bagi memastikan tahap kesiapsiagaan sentiasa berada pada tahap optimum.
“Tujuan latihan amal ini adalah untuk meningkatkan koordinasi antara agensi terlibat serta memperkukuh komunikasi. Dalam situasi kecemasan, kita tidak boleh bertindak bersendirian kerana memerlukan sokongan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Latihan Amal Bencana Udara Tabletop Exercise (TTX) dan Full Scale Exercise (FSX) 2025 di Kompleks Islam Sarawak Miri, hari ini.
Menurutnya, pengalaman insiden tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit baru-baru ini yang meragut enam nyawa menjadi pengajaran besar tentang keperluan sinergi antara pasukan penyelamat, agensi keselamatan dan komuniti setempat.
“Insiden itu membuktikan kerjasama semua pihak amat penting untuk mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa,” ujarnya.
Tambahnya, latihan amal kali ini yang pertama kali diadakan di Miri akan diteruskan dari semasa ke semasa, seiring dengan usaha menaik taraf Lapangan Terbang Miri.
“Apabila lapangan terbang dinaik taraf, tahap kesiapsiagaan kita juga perlu dipertingkatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Galong turut mengingatkan pengendali dron supaya mematuhi peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
“Setiap pengoperasi dron perlu mempunyai lesen dan kebenaran daripada CAAM, jika tidak operasi itu dianggap tidak sah,” katanya lagi.
Latihan Amal Bencana Udara 2025 melibatkan kerjasama pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat dengan simulasi kecemasan bagi menguji keberkesanan komunikasi serta koordinasi operasi di lapangan.