OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

29 cedera, gempa bumi 6.0 magnitud gegar Sulawesi Tengah

29 cedera, gempa bumi 6.0 magnitud gegar Sulawesi Tengah

POSO: Gempa bumi dengan magnitud 6.0 menggegarkan daerah Poso di Sulawesi Tengah awal pagi tadi, mengakibatkan sekurang-kurangnya 29 orang cedera, termasuk dua dalam keadaan kritikal.

Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) melaporkan, gempa berlaku pada pukul 5.38 pagi (waktu tempatan) dengan pusat gegaran terletak di daratan pada kedalaman 10 kilometer, namun tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

Gegaran kuat dirasakan selama kira-kira 15 saat di beberapa kawasan di Poso Pesisir, termasuk Desa Masani, Tokorondo, Towu, Pinedapa, Tangkura dan Lape, menyebabkan ramai penduduk bertempiaran keluar rumah untuk menyelamatkan diri.

Di daerah Sigi, kira-kira 82 kilometer dari pusat gempa, gegaran sederhana turut dirasakan selama tujuh saat.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Poso segera melakukan pemantauan serta berkoordinasi dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengumpul data kerosakan dan jumlah mangsa.

Setakat ini, 13 mangsa dirujuk ke Hospital Daerah Poso dengan dua orang dalam keadaan kritikal, manakala enam lagi dirawat di Pusat Kesihatan Tokorondo manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan.

Sebuah rumah ibadat, Gereja Jemaat Elim di Desa Masani turut dilaporkan mengalami kerosakan akibat gempa tersebut.

“Seramai 12 penduduk yang sedang mengikuti ibadah pagi cedera selepas ditimpa runtuhan bangunan dan segera dikejarkan ke hospital, manakala sebahagian lagi sempat menyelamatkan diri.

“Difahamkan, bangunan gereja tersebut masih dalam pembinaan. Struktur dinding hanya disokong dengan buluh dan kayu, menyebabkan runtuhan batu-bata serta bahan binaan menimpa penduduk ketika gegaran berlaku,” jelas badan itu.-AGENSI

 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search