9 maut, 3 hilang banjir kilat landa Inner Mongolia
- Admin UKK
- Berita
BEIJING – Banjir kilat di Inner Mongolia mengorbankan sembilan orang dan menyebabkan tiga yang lain hilang, lapor media pemerintah China hari ini.
Sekumpulan 13 orang sedang berkhemah di Urat Rear Banner di Inner Mongolia apabila banjir kilat berlaku sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) semalam, lapor agensi berita Xinhua.
Setakat pagi ini, seorang telah diselamatkan, manakala operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang sedang dijalankan.
Kementerian Pengurusan Kecemasan mengarahkan usaha menyelamat berskala penuh dijalankan, pengesahan status orang hilang dan menghantar petugas ke tempat kejadian.
Bencana alam adalah perkara biasa di seluruh China terutamanya pada musim panas, apabila sesetengah wilayah mengalami hujan lebat ketika yang lain dilanda suhu panas.
Jumlah kematian akibat banjir kilat dan banjir lumpur di barat laut China pada awal bulan ini adalah sekurang-kurangnya 13 orang, kata media kerajaan.
Selain itu, lapan lagi terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di wilayah Hebei. – AFP