Jerebu rentas sempadan kini tidak tunggu El Nino
- Admin UKK
- Berita
PETALING JAYA: Fenomena kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan berpotensi menjadi kebiasaan baharu pada masa hadapan walaupun tanpa faktor El Nino susulan kesan perubahan iklim global.
Felo Akademi Sains Malaysia, Dr. Fredolin Tangang berkata, ia susulan kejadian jerebu dan kebakaran hutan terus berlaku tahun ini biarpun Malaysia ketika ini belum mengalami fenomena El Nino.
Katanya, sebelum ini setiap kali El Nino berlaku, kawasan seperti Sumatera dan Kalimantan di Indonesia mengalami cuaca lebih kering sekali gus menyumbang kepada peningkatan kes kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan terutama semasa musim Monsun Barat Daya.
“Namun, disebabkan perubahan iklim yang semakin ketara, kita kini berdepan situasi di mana kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan boleh berlaku setiap tahun, tidak kira sama ada El Nino berlaku atau tidak.
“Ini adalah amaran awal jerebu mungkin menjadi ancaman bermusim yang berulang dan tidak lagi bergantung semata-mata kepada fenomena semula jadi seperti El Nino,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia dilanda jerebu rentas sempadan berpunca daripada kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).
Fredolin yang juga Pakar Klimatologi berkata, berdasarkan kajian unjuran perubahan iklim dijalankan bersama pasukan penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kawasan Sumatera dan Kalimantan dijangka mengalami keadaan lebih kering ketika Monsun Barat Daya pada masa hadapan sekiranya pemanasan global berlanjutan.
“Keadaan ini mungkin menyamai tahap kekeringan yang pernah direkodkan semasa episod El Nino terdahulu dan akan meningkatkan risiko kebakaran hutan dan penyebaran jerebu merentas sempadan.
“Dalam erti kata lain, kita boleh menjangkakan setiap kali Monsun Barat Daya melanda, jerebu menjadi satu kebiasaan walaupun tiada El Nino. Sekiranya El Nino turut berlaku dalam tempoh sama, situasi mungkin menjadi lebih teruk dan membimbangkan,” katanya.
Sementara itu, lima kawasan di negara ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 1.30 tengah semalam, menurut laman web Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Nilai, Negeri Sembilan mencatatkan bacaan IPU 162, Johan Setia dan Banting di Selangor pula merekodkan IPU 154 dan 153, manakala Putrajaya dan Temerloh, Pahang menjadi lokasi baharu mencatatkan IPU tidak sihat iaitu 111 dan 104.
Sebanyak 57 stesen pula mencatatkan bacaan IPU sederhana termasuk Alor Gajah, Melaka; Cheras, Kuala Lumpur (96); Seremban (93) dan Port Dickson, Negeri Sembilan (93) serta Bukit Rambai, Melaka (90).-UTUSAN