Segerakan projek pemindahan air Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah
- Admin UKK
- Berita
BAGAN SERAI: Pesawah di sini menggesa agar kerajaan menyegerakan pelaksanaan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah bagi memastikan bekalan air ke sawah padi di sini tidak terjejas semasa musim kemarau.
Mereka berkata, projek tersebut dapat mengatasi masalah bekalan air ke sawah yang berlaku setiap kali Tasik Bukit Merah kering akibat cuaca panas.
Timbalan Pengerusi Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Azhar Hashim berkata, projek penyaluran air ke Empangan Bukit Merah merupakan penyelesaian jangka panjang terhadap masalah kekurangan air sering dihadapi pesawah.
“Projek pemindahan air Sungai Perak itu lebih sesuai berbanding cadangan untuk mencuci lapisan gambut di dasar Tasik Bukit Merah untuk memastikan bekalan air di tasik itu sentiasa mencukupi.
“Projek mencuci dasar kolam yang menelan belanja antara RM4 hingga RM5 juta sekali pelaksanaan namun ia hanya menyebabkan air surut lebih cepat akibat penyerapan haba dan pengeringan secara semula jadi.
“Tanpa lapisan gambut, kolam lebih cepat kering kerana air mudah tersejat. Duit sebegitu lebih baik dilaburkan untuk projek pemindahan air jangka panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada Jun tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbelanjaan dianggarkan RM4 bilion diperlukan bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah untuk mengatasi masalah bekalan air.
Azhar mengakui bimbang jika operasi saliran sawah padi bakal dihentikan sekiranya paras air Tasik Bukit Merah di sini terus mencatat penurunan akibat cuaca panas.
Menurutnya, operasi saliran air bagi sawah padi bakal dihentikan sekiranya paras tasik itu mencapai paras tertentu.
Katanya, ketika ini sebahagian tasik tersebut sudah kering dan jika paras air terus jatuh, berkemungkinan bekalan air ke sawah akan terjejas.
Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali Masjid Tinggi, Muslan Mohd. Napiah berkata, masalah bekalan air ke sawah tidak boleh lagi dipandang ringan dan Lembaga Air Perak (LAP) dicadangkan menyediakan tangki simpanan atau takungan kecemasan apabila air di tasik itu mencatat penurunan.
“Bila empangan ini terganggu, semua sektor terkesan, bukan sahaja pesawah. Jadi pengurusan air mesti bijak dan bersedia lebih awal dengan sistem simpanan alternatif,” ujarnya.-UTUSAN