IWK nafi air kumbahan punca banjir di Shah Alam
- Admin UKK
- Berita
IWK berkata, selepas menerima aduan Ahli Majlis Zon 9, Ramu Nadarajan, pasukan operasinya menjalankan semakan dan mendapati punca utama limpahan dalam longkang dan parit disebabkan kurang penyelenggaraan baik.
“Longkang dan parit berkaitan didapati penuh dengan sampah, mendapan pasir dan juga akar pokok yang menutupi saluran longkang berkenaan,” katanya menurut Bernama.
Ia berkata, keadaan itu menyebabkan air kumbahan terawat dari loji rawatan kumbahan (LRK) berdekatan serta air hujan dari kawasan perumahan berkenaan tidak dapat mengalir dengan lancar.
Tambahan, katanya, lokasi taman itu yang rendah dan berhampiran Sungai Klang menyebabkan kawasan berkenaan kerap terdedah kepada banjir.
IWK turut memaklumkan sistem paip pembetungan dan LRK yang beroperasi lebih 30 tahun itu dibina mengikut perancangan teknikal terperinci berdasarkan pelan pembangunan kawasan perumahan berkenaan.
Menurutnya, laluan pelepasan air terawat dari loji itu adalah laluan asal sejak pembinaan awal.
“Menerusi semakan rekod, terdapat dua LRK jenis Aerated Lagoon (AL) di kawasan perumahan ini dan kedua-duanya beroperasi pada kapasiti penduduk setara (PE) seperti yang direka bentuk, tanpa sebarang bebanan melampau.”
Hasil semakan dan penemuan itu telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis Zon 9 dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Terdahulu, SelangorKini melaporkan Ramu Nadarajan meminta IWK mempercepatkan proses pengalihan aliran air kumbahan ke lokasi lebih sesuai kerana mendakwa laluan sedia ada menjadi punca banjir di taman itu.