OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tragedi Putra Heights: SPNB perlu pengesahan PDT Petaling sebelum bina semula 81 rumah yang musnah

Tragedi Putra Heights: SPNB perlu pengesahan PDT Petaling sebelum bina semula 81 rumah yang musnah

KUALA LUMPUR: Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan mendapatkan pengesahan dan persetujuan daripada pemilik dan Pejabat Daerah Dan Tanah (PDT) Petaling sebelum memulakan kerja pembinaan kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights.

Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Mohd Jamil Idris, berkata bagi pembinaan 33 unit kediaman di Kampung Kuala Sungai Baru, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan dan membuat semakan silang dengan PDT terlebih dahulu.

"Bagi pembinaan 48 unit kediaman di Taman Putra Harmoni, kita masih lagi menunggu pengesahan daripada pemilik.

"Kita beri ruang kepada pemilik rumah kerana kita percaya, pemilik masih ada insurans. Buat masa ini, bagi rumah teres, SPNB melaksanakan kerja-kerja awalan dahulu.

"Setakat ini, SPNB akan melaksanakan pembinaan atas persetujuan tuan tanah dan pemilik," katanya kepada BH hari ini.

Semalam, Buletin TV3 melaporkan, SPNB akan membina semula 81 kediaman yang musnah sepenuhnya dalam insiden kebakaran dan letupan saluran paip gas di Putra Heights, dengan kos dibiayai oleh kerajaan.

Pembinaan yang dilaksanakan menerusi Pelan Tindakan Pemulihan dan Pembinaan Semula yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kelmarin membabitkan 48 unit di Taman Putra Harmoni, manakala 33 lagi di Kampung Kuala Sungai Baru.

Setakat ini, tiga mesyuarat pengurusan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta agensi terbabit sudah diadakan, selain beberapa siri lawatan ke lokasi dan beberapa kontraktor akan dibawa ke tapak kejadian untuk mengemukakan pandangan serta cadangan.

Mengenai sama ada pemilik perlu membayar kos kediaman itu, Mohd Jamil, berkata setakat yang diputuskan, ia adalah bantuan bina baharu daripada pihak kerajaan dengan SPNB sebagai agensi pelaksana.

"Pihak SPNB akan melaksanakannya berdasarkan peruntukan yang akan disalurkan untuk pemilik terbabit dalam bentuk pembinaan rumah di bawah skim SPNB.

"Bagaimanapun, jenis rumah yang akan dibina masih belum ditetapkan lagi dan ia bergantung kepada laporan akhir yang akan dikemukakan di peringkat kementerian, minggu depan," katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search