Rakaman 'dashcam' papar kerja korek tanah sebelum kebakaran saluran gas
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM – Seorang pengguna TikTok berkongsi video rakaman kamera papan pemuka yang menunjukkan kehadiran jentera pengorek didakwa dalam kawasan jajaran paip gas berpagar, beberapa hari sebelum tragedi kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya pada Selasa.
Video rangkuman berdurasi satu minit 41 saat itu turut menunjukkan kerja-kerja pengorekan tanah melangkaui kawasan berpagar.
Rakaman dipercayai bertarikh 28 Mac dimuat naik oleh pengguna TikTok, miiraahz, memaparkan jentera pengorek berada tidak jauh dari lokasi kerja-kerja pengorekan tanah di tepi jalan.
Klip tersebut kemudian menunjukkan kemunculan jentera pengorek kaut pada sebelah petang 30 Mac, berada betul-betul di kawasan pengorekan tanah.
Berdasarkan pemerhatian, keluasan tanah yang dikorek bertambah besar dalam tempoh dua hari tersebut dan tiada sebarang papan tanda penyelenggaraan dipasang.
Miiraahz juga berkongsi pengalaman kerap kali melalui jalan berdekatan Putra Heights dan mengagumi kehijauan kawasan lapang yang berpagar namun kini meluahkan rasa hiba setelah lokasi itu bertukar seakan 'medan perang'.
"Selalu lalu jalan ni, selalu nampak hijau je cantik tapi sekarang... Semoga dipermudahkan urusan semua mangsa kejadian. Amin," tulisnya.
Rakaman itu secara tidak langsung mencetuskan persoalan serta menerima pelbagai reaksi daripada pengguna TikTok lain.
Seorang pengguna dikenali sebagai Ji mempersoalkan kehilangan jentera berat yang berada di kawasan berkenaan sebelum tragedi kebakaran berlaku.
"Tertanya-tanya mana pergi semua jentera yang buat kerja di situ. Adakah mereka dah tahu awal-awal lagi paip dah bocor?" soalnya.
Sementara itu, pemilik akaun belacan hangus pula mendakwa terdapat dua jentera berat dalam video yang tular tersebut.
"Ada dua buah, backhoe dan excavator. 28 hari bulan, excavator. 30 hari bulan, backhoe. Masaklah, dah ada bukti, kongsi sampai pihak sepatutnya tahu, terutamanya Petronas," komennya.
Bagi DonAfiez, dia berharap video yang dimuat naik dalam media sosial itu diserahkan kepada pihak polis untuk dijadikan bukti.
"Tuan video, saya harap bukti 'dashcam' ini diserahkan kepada pihak polis sebab bukti ini kukuh mengatakan ada backhoe yang tengah jalankan aktiviti korek-korek," katanya.
Setakat ini, video tersebut telah meraih 1.4 juta tontonan, sekali gus menarik perhatian ramai pengguna media sosial.
Bagaimanapun, Sinar Harian masih berusaha mendapatkan maklum balas lanjut daripada pengguna TikTok yang mendakwa sebagai pemilik rakaman berkenaan.