Pasukan SMART temui mangsa hidup selepas terperangkap lebih 72 jam
- Admin UKK
- Berita
SAIGANG: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang dalam misi operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Myanmar, berjaya menemukan seorang lelaki hidup selepas terperangkap lebih 72 jam di bawah runtuhan bangunan petang tadi.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan.
Menurutnya, mangsa yang ditemui merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an dan ditemukan di kawasan kediaman Jalan Sagaing-Ta Da U.
“Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 2.27 petang dengan kerjasama anggota bomba tempatan, dan kemudian dihantar dengan ambulans ke hospital untuk rawatan lanjut,” ujarnya.
Mengulas mengenai kejadian itu, Ahmad Zahid berkata penemuan mangsa yang masih hidup selepas terperangkap lebih tiga hari di bawah runtuhan adalah sesuatu yang luar biasa dan dianggap sebagai keajaiban.
Sebelum itu, pasukan SMART turut berjaya menemui dan mengeluarkan empat jasad mangsa yang terkorban dalam gempa bumi yang melanda Sagaing.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi berkenaan.
“Kita mendoakan agar keluarga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian yang berat ini,” tambahnya.
Jumaat lalu, gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter melanda Myanmar dengan Mandalay, Bago, Magway, timur laut negeri Shan, Sagaing dan Naypyidaw antara kawasan yang paling teruk terjejas.