Gempa bumi Myanmar: Tiga disahkan maut di Thailand - Gabenor
- Admin UKK
- Berita
BANGKOK: Tiga orang disahkan maut di ibu negara Thailand akibat runtuhan selepas gempa bumi kuat melanda negara jiran Myanmar, kata Gabenor Bangkok pada Jumaat.
Chadchart Sittipunt turut memberi amaran mengenai kemungkinan gegaran susulan, tetapi menggesa orang ramai supaya bertenang dan memaklumkan keadaan sebahagian besarnya terkawal.
"Pihak berkuasa menerima sebanyak 169 panggilan mengenai kerosakan bangunan di Bangkok.
"Sistem rel bandar di Bangkok ditutup buat sementara waktu, tetapi dijangka akan menyambung semula perkhidmatan pada Sabtu," katanya.
Gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.7 melanda tengah Myanmar hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan jalan raya retak di ibu negara, Naypyidaw serta gegaran dirasai di China dan Thailand.
USGS melaporkan pusat gempa terletak 16 kilometer (km) ke barat laut bandar Sagaing pada kedalaman 10km, berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan (0620 GMT).
Beberapa perkhidmatan metro dan rel ringan di Bangkok, Thailand terpaksa dihentikan buat sementara waktu manakala beberapa bangunan dilaporkan rosak.
Wartawan AFP di Naypyidaw melaporkan jalan raya rosak akibat gegaran kuat, manakala serpihan siling jatuh dari bangunan, diikuti gegaran susulan yang agak kuat.