Nelayan hadapi cabaran besar musim tengkujuh
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 10 Feb: Setiap kali tibanya musim tengkujuh, golongan nelayan antara yang paling terkesan apabila tidak dapat turun ke laut, sekali gus kehilangan sumber pendapatan utama mereka.
Nelayan menyifatkan tempoh dari November hingga Februari sebagai waktu paling mencabar, terutama bagi mereka yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.
Keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan mereka terpaksa mencari alternatif lain untuk menyara keluarga.
Ismawi Fauzi, 52, mengakui bahawa mereka berdepan cabaran besar dalam menguruskan kehidupan seharian, terutama dengan kos sara hidup yang semakin tinggi
“Setiap kali musim tengkujuh, pendapatan kami boleh merosot sekitar 60 hingga 70 peratus kerana cuaca yang tidak menentu. Ada kalanya kami langsung tidak dapat turun ke laut dalam tempoh seminggu,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Menurutnya, mereka yang mempunyai simpanan masih boleh bertahan, tetapi bagi yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut, mereka terpaksa berjimat cermat dan mencari pendapatan sampingan.
“Tengoklah, kalau ada simpanan, bolehlah bertahan. Tapi bagi yang tiada simpanan, mereka kena pandai jimat cermat, terutama dengan kos perbelanjaan yang semakin meningkat,” tambahnya.
Sementara itu, Sulaiman Onus, 42, berkata ada nelayan yang memilih untuk melakukan kerja lain sementara menunggu musim tengkujuh berakhir, termasuk membaiki perahu, menyelenggara pukat dan membantu mangsa banjir yang terjejas.
“Selain berdepan dengan cabaran, kami juga berusaha membantu komuniti yang terjejas akibat banjir. Kami mengumpul sumbangan daripada sesiapa sahaja yang ingin membantu, memasak makanan di rumah dan mengagihkannya kepada mangsa banjir di beberapa kawasan seperti Senadin, Desa Perdana, Pujut, Pujut Padang Kerbau, Bekenu dan Kampung Bungai,” katanya.
Dalam menghadapi cabaran ini, nelayan berharap agar pihak kerajaan dapat menyalurkan lebih banyak bantuan, terutama dalam bentuk kewangan dan peralatan menangkap ikan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka sepanjang tempoh sukar ini.
“Kami berharap pihak berkuasa dan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada nelayan, khususnya ketika musim tengkujuh. Bantuan ini sangat penting kerana nelayan dari pelbagai kaum dan latar belakang mengalami kesukaran yang sama,” katanya.
Sulaiman turut berkongsi harapan serupa, menegaskan bahawa keadaan laut yang tidak menentu, air pasang surut yang berubah-ubah, serta cuaca buruk sering mengganggu pekerjaan mereka.
“Bantuan yang sewajarnya akan dapat meringankan beban nelayan serta komuniti yang terjejas akibat bencana ini,” katanya. – TVS