OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

PM gesa segerakan projek basmi miskin tegar, tebatan banjir

PM gesa segerakan projek basmi miskin tegar, tebatan banjir

Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua projek untuk kepentingan rakyat seperti membasmi kemiskinan tegar dan tebatan banjir disegerakan.

Perdana Menteri berkata, beliau meminta perbendaharaan negara dan Kementerian Ekonomi memberi kelonggaran untuk mempercepat peruntukan yang diperlukan.

“Dua malam lalu saya sempat menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) untuk memastikan kita pantau umpamanya projek kemiskinan tegar. Saya periksa umpamanya (di) Parlimen Tambun, ada dalam 15 (keluarga miskin tegar). Itu boleh cari dan selesaikan dua hari, supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan.

“Begitu juga pelaksanaan projek (tebatan banjir). Saya selalu tanya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) terutama tebatan banjir.

“Saya ada minta kalau boleh perbendaharaan beri kelonggaran supaya dapat dipercepatkan melalui peruntukan segera,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Lipat ganda usaha

Mengulas lanjut langkah kerajaan membasmi miskin tegar khususnya di Wilayah Persekutuan, Anwar berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa supaya usaha itu dilipatgandakan.

“Saya sempat hubungi Dr Zaliha untuk pastikan jumlah (miskin tegar) itu diselesaikan sama ada oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), badan zakat dan majlis agama. Ini maksud saya supaya pantau.

“Walaupun kecil bagi saya, soal kemiskinan tegar, besar bagi keluarga itu. Yang lain kemiskinan relatif. Itu kita perlu ambil masa untuk selesaikan,” katanya.

Sementara itu, Anwar mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan jika mendapati ada peniaga memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.

Perdana Menteri menegaskan, isu ‘memindahkan’ lesen itu antara aspek tatakelola yang harus diberi penekanan dan memerlukan penguatkuasaan lebih baik.

“Bayangkan orang nak berniaga pada Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi untuk persiapan keluarga. Itu masih ada.

“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen. Dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan DBKL menguruskan sepenuhnya hal berkaitan permohonan lesen perniagaan dan penyelenggaraan bazar Ramadan di ibu negara tahun ini bagi memastikan penjaja mendapat harga sewaan tapak berpatutan, selain pengurusan lebih baik.

Dalam hal lain Perdana Menteri berkata, persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dalam mengurus ratusan program secara berkesan dilaksanakan dengan baik oleh penjawat awam.

Beliau berkata, pengurusan ASEAN bukan sekadar soal kedudukan atau kebanggaan, tetapi mencerminkan kemampuan penjawat awam memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search