Segerakan pelaksanaan projek, jangan biar rakyat tunggu lama - PM
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu semua projek berkepentingan rakyat termasuk membasmi kemiskinan tegar dan tebatan banjir disegerakan.
Perdana Menteri berkata, beliau sendiri sudah meminta supaya perbendaharaan negara dan Kementerian Ekonomi memberi kelonggaran mempercepatkan peruntukan yang diperlukan.
"Dua malam lalu saya sempat menelefon Ketua Pengarah ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) untuk memastikan kita pantau umpamanya projek kemiskinan tegar, saya periksa umpamanya (di) Parlimen Tambun, ada dalam 15 (keluarga miskin tegar), (angka) itu boleh cari dan selesaikan dua hari, supaya kemiskinan tegar itu dapat dibereskan.
"Begitu juga pelaksanaan projek (tebatan banjir), saya selalu tanya Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Fadillah Yusof) terutama soal tebatan banjir, saya ada minta kalau boleh perbendaharaan beri kelonggaran supaya dapat dipercepatkan melalui peruntukan segera," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.
Mengulas lanjut Anwar berkata, beliau sudah memaklumkan kepada Dr Zaliha supaya usaha kerajaan membasmi miskin tegar khususnya di Wilayah Persekutuan, dilipat gandakan.
"Saya sempat hubungi Dr Zaliha untuk pastikan jumlah (miskin tegar) itu diselesaikan sama ada oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, badan zakat dan majlis agama …ini maksud saya supaya pantau.
"Walaupun kecil bagi saya soal kemiskinan tegar itu, besar bagi keluarga itu, yang lain (mengenai) kemiskinan relatif itu, kita perlu ambil masa untuk selesaikan," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kaedah tender terbuka akan terus digunakan kerajaan bagi memastikan tiada keterlanjuran dan ketirisan.
"Mengapa kita tekankan soal tender (terbuka) ini, kerana saya tengok kalau kita gunakan kaedah rundingan (terus) ini, banyak nanti ketelanjurannya dan ketirisannya.
"Jadi sebaiknya kita gunakan tender (terbuka), tapi tender itu kalau dalam proses biasa, TPM (Timbalan Perdana Menteri, Fadillah) tahu akan mengambil masa terlalu panjang dan orang yang terkesan dengan banjir ini tidak mampu menunggu," katanya.