‘Gegaran agak kuat, rasa pening sekejap’
- Admin UKK
- Berita
Penduduk di beberapa kawasan sekitar Kota Marudu dekat sini, merasai gegaran akibat gempa bumi lemah yang dilaporkan berlaku di daerah itu jam 10.39 pagi semalam.
Antara kampung yang merasai gegaran bermagnitud 3.8 pada skala Richter itu adalah Gana, Talantang dan sekitarnya termasuk kawasan pekan.
Seorang penduduk Kampung Gana berkongsi gegaran yang berlaku di kampungnya melalui media sosial mendakwa secara tiba-tiba dia merasa pening apabila rumah bergoyang.
“Di Kampung Gana gegaran agak kuat dirasai, terasa pening sekejap tadi (semalam),” katanya.
Selain itu, ada pekerja pejabat di daerah itu mengakui berlaku gegaran kecil di premis mereka tapi tidak menyangka ia disebabkan gempa bumi.
Difahamkan, ia kejadian pertama dalam tempoh lima tahun selepas gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang dilaporkan di daerah itu pada 10 Mac 2020.
Setakat ini, tiada sebarang kerosakan atau kemalangan yang dilaporkan disebabkan gempa bumi berkenaan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Kota Marudu melaksanakan pemantauan di sekitar pekan Kota Marudu sejurus menerima maklumat mengenai kejadian gempa bumi itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu Mohd Hasbi Hajat berkata, pemantauan dilakukan bagi mengenal pasti jika berlaku kerosakan atau kemalangan disebabkan kejadian berkenaan.
“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang kerosakan dilaporkan dan beberapa penduduk yang ditemui mengatakan tidak merasai apa-apa gegaran,” katanya ketika dihubungi.