OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

KKR terima peruntukan lebih RM93 juta bagi urus, perbaiki cerun

KKR terima peruntukan lebih RM93 juta bagi urus, perbaiki cerun

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima peruntukan RM93.374 juta bagi melaksanakan kerja pengurusan cerun di Semenanjung Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM59.885 juta diagihkan bagi kerja pembaikan cerun baharu di 50 lokasi secara Arahan Kerja (AK).

"Selain itu, kerja sambungan dilakukan di 29 lokasi membabitkan peruntukan RM29.233 juta dan sebanyak RM4.255 juta lagi bagi kerja menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, kerja pengumpulan data dan kemas kini peta bahaya risiko cerun," katanya berucap sempena Majlis Penyerahan Cerun di Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri Semenanjung Malaysia (Reka dan Bina), di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Nanta Linggi berkata, KKR sentiasa prihatin dan komited menguruskan secara mapan cerun di sepanjang jalan Persekutuan dan jalan negeri bagi meminimumkan risiko cerun runtuh setiap kali musim monsun melanda.

Beliau berkata, pihaknya juga sedar penutupan jalan yang kerap akibat cerun runtuh menyusahkan masyarakat dan menjejaskan ekonomi serta perniagaan.

Katanya, Arahan Kerja Tahun 2025 bagi Projek Penyelenggaraan Cerun di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia diserahkan kepada syarikat Pintas Utama Sdn Bhd.

"Syarikat ini adalah kontraktor jangka panjang yang dilantik bagi membantu kerajaan melaksanakan kerja pembaikan cerun mengikut keperluan dan kelulusan kementerian.

"Kontrak pembaikan cerun ini berkuat kuasa bermula Januari 2022 dan akan tamat pada Januari 2028," katanya.

Nanta Linggi berkata, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Jabatan Kerja Raya (JKR) dipertanggungjawabkan sebagai pengarah projek untuk merancang, mengurus dan menyelia kerja penyelenggaraan.

"Kontrak jangka panjang penyelenggaraan cerun ini mencerminkan keprihatinan dan komitmen kerajaan serta hala tuju KKR dalam meningkatkan kualiti infrastruktur supaya bertaraf dunia, selamat serta memberi keselesaan kepada pengguna.

"Ini kerana penyelenggaraan cerun dalam jangka panjang dapat memastikan pelaksanaan kontrak kerja pembaikan cerun yang kritikal disegerakan dan dilakukan dengan lebih pantas berbanding jika melalui proses perolehan biasa," katanya.

Beliau turut mengingatkan kontraktor sentiasa beriltizam memenuhi harapan tinggi dan bertindak pantas dalam menyiapkan Arahan Kerja berkaitan penyelenggaraan dan pembaikan cerun.

Katanya, tahun lalu KKR mendapat peruntukan sebanyak RM200.285 juta dan diagihkan kepada 166 lokasi pembaikan cerun yang berjaya dilaksanakan dengan kos sebanyak RM154.345 juta.

"Sebanyak 20 lokasi cerun dilaksanakan kerja preventif dengan kos sebanyak RM24.199 juta.

"Selain itu, sebanyak RM21.74 juta dibelanjakan untuk menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, kerja pengumpulan data, pengemaskinian peta bahaya risiko cerun dan penyelenggaraan," katanya.

Nanta Linggi berkata, setiap negeri diberi peruntukkan mengikut kerja cerun yang sepatutnya dibuat.

"Kerja membaiki cerun ini diberi tanggungjawab kepada setiap konsesi dan setakat ini lebih 516 permohonan diterima tetapi hanya 60 lokasi sudah diluluskan.

"Mungkin peruntukan ini tidak banyak iaitu RM93.374 berbanding RM200.285 pada tahun lalu. Ini adalah fasa 1, kita akan pantau, terima dan kita tahu berapa cerun perlu dibuat pembaikan," katanya.

Beliau berkata, peruntukan ini akan ditambah jika terdapat keperluan dan pelaksanaan fasa dua mungkin akan dilakukan.

"Kita memang ada sistem memantau cerun secara berterusan dan kita juga terima laporan mengenai kejadian cerun runtuh," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search