6 kali pindah ke PPS sejak November hingga Disember
- Admin UKK
- Berita
“Walaupun banjir sudah berlalu lima hari namun sebahagian barangan di rumah masih belum dicuci sepenuhnya berikutan kekangan masa dan tenaga,” kata Suzanal Jaafar, 55, dari Kampung Peneh dekat sini.
Menurutnya, dia bersama suami, Samsir Azwan Ahmad, 50, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebanyak enam kali dalam episod banjir yang berlaku pada November dan Disember lalu.
Katanya, rumahnya ditenggelami banjir sedalam satu meter selain bencana itu menyebabkan banyak peralatan serta barangannya mengalami kerosakan.
Suzanal berkata, selain perkakas rumah dia turut mengalami kerugian berikutan barangan digunakan untuk perniagaan kedai makannya rosak.
“Saya anggarkan kerugian akibat banjir kali ini kira-kira RM10,000 dan kerja membersih keseluruhan rumah juga masih belum siap sepenuhnya.
“Sejak kebelakangan ini saya lihat paras Sungai Peneh berhampiran rumah cepat melimpah walaupun hujan hanya beberapa jam saja,” katanya.
Suzanal ditemui pada Program Misi Bantuan Skuad Musa’adah Al-Falah Madani Agensi-Agensi Agama Dibawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Sekolah Kebangsaan (SK) Lubuk Periuk dekat sini, semalam.
Menurutnya, setiap kali banjir dia adalah antara penduduk terawal akan ke PPS untuk berpindah dan pengalaman itu dilaluinya saban tahun apabila tibanya musim tengkujuh.
Jirannya, Zabiah Daud, 57, pula berkata, rumahnya turut
ditenggelami banjir sedalam satu meter dan tahun ini empat kali dia berpindah ke PPS.
“Setiap tahun berpindah memberi pelbagai pengalaman buat saya namun ia boleh disifatkan amat meletihkan kerana bukan sekali
malah beberapa kali terpaksa berpindah ke PPS pada musim tengkujuh.
“Hendak atau tidak, inilah lumrah tinggal di kawasan yang sentiasa dilanda banjir dan boleh dikatakan kami penduduk sudah lali melaluinya saban tahun,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu, Nasrul Hadi Saiadin berkata, lapan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyertai program kali ini.
“Antara agensi yang terlibat selain Yadim iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) serta Tabung Haji.
“Seramai 80 kakitangan di bawah lapan agensi berkenaan terlibat dan turut dibantu penduduk kampung yang menjalankan kerja membersih sekolah, masjid dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Menurutnya, kakitangan yang terbabit juga dibahagikan kepada dua iaitu 40 orang di Hulu Terengganu dan selebihnya berada di kawasan terjejas banjir di Kemaman.
Katanya, selain melakukan kerja membersih sekolah, masjid dan kawasan sekitarnya pihaknya juga turut mengagihkan keperluan asas kepada penduduk bernilai RM10,000.