OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jalan runtuh, gerai hanyut akibat hakisan sejak lebih 10 tahun lalu

Jalan runtuh, gerai hanyut akibat hakisan sejak lebih 10 tahun lalu

Kuala Nerus: Peniaga dan penduduk berhampiran pantai di Kampung Tanjong, Batu Rakit, di sini bimbang dengan masalah hakisan yang semakin teruk sehingga beberapa gerai jualan dihanyutkan ombak.

Malah, jalan utama di kawasan pantai itu juga runtuh akibat dibadai ombak besar setinggi 2.5 meter pada akhir bulan lalu.

Peniaga dari Kampung Mengabang Lekor, Wan Rosniza Wan Deraman, 40, antara mereka yang buntu berdepan masalah hakisan pantai berkenaan yang didakwa telah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Wan Rosniza yang berniaga makanan di kawasan pantai itu sejak setahun lalu, berkata dia sudah beberapa kali beralih lokasi jualan disebabkan masalah hakisan berkenaan bagi mengelak gerainya dihanyutkan ombak apabila kawasan tapak niaga mula mengalami hakisan.

“Saya tidak mahu menanggung kerugian besar, justeru mengambil tindakan awal merobohkan gerai sebelum ia dihanyutkan ombak. Gerai sekarang pun mungkin tidak lama dan akan berpindah lagi sebab hakisan semakin teruk, sangat hampir dengan tapak ini,” katanya.

Elak hakisan merebak

Seorang lagi peniaga, Mazni Bidin, 40, berkata kerajaan sepatutnya mengambil tindakan awal sebaik hakisan teruk berlaku di Kampung Tanjung Gelam pada 2015, bagi mengelak masalah itu ‘merebak’ ke kawasan lain.

“Ketika itu, penduduk menyarankan supaya membina pulau tiruan, bukannya benteng pemecah ombak kerana kaedah kedua itu boleh menyebabkan hakisan terus ‘berjangkit’ ke kampung lain.

“Namun, cadangan itu tidak diendahkan dan kesannya hakisan menjadi semakin teruk sehingga menyebabkan banyak prasarana, aset penduduk, tanah, pokok dan jeti nelayan musnah termasuk dihanyutkan ke laut.

”Bermula dari Kampung Tanjung Gelam, ia merebak ke Kampung Kolam, diikuti Kampung Mengabang Telipot, Kampung Pengkalan Maras dan sekarang penduduk Kampung Tanjong pula yang menjadi mangsa,” dakwanya.

Tinjauan di kawasan pantai kampung itu mendapati berlaku runtuhan jalan utama dengan tali penghadang plastik dipasang di sepanjang laluan untuk tujuan keselamatan, selain mengelak orang ramai menghampiri kawasan hakisan.

Beberapa pokok kelapa juga tumbang, manakala bangsal dan tempat nelayan berehat serta menaikkan hasil laut runtuh.

Sebilangan peniaga dan pengusaha ikan kering dikatakan terpaksa menutup perniagaan berikutan keadaan hakisan yang semakin teruk sehingga menghampiri kedai.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search