OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Penduduk cekal harungi banjir saban tahun

Penduduk cekal harungi banjir saban tahun

Pasir Mas: Semangat penduduk Kampung Bendang Perol di Rantau Panjang yang terkenal dengan jolokan ‘kampung banjir lambat surut’ atau ‘banjir termenung’ tidak pernah luntur meskipun saban tahun dilanda bencana berkenaan.

Penghulu Mukim Lubok Gong, Syed Abu Bakar Syed Mat Nor, berkata kejadian itu dianggap sebagai tanda pengiktirafan tidak rasmi terhadap cabaran luar biasa yang terpaksa dilalui penduduk yang berjuang ‘menentang’ banjir sejak berzaman.

“Apabila itu berlaku, penduduk kampung terpaksa mendayung sejauh 200 meter, melintasi ladang kelapa sawit yang berubah wajah menjadi ‘lautan kecil’ apabila banjir. Ia sudah menjadi kebiasaan penduduk untuk menghadapi banjir yang kini dianggap rutin.

“Apabila air sudah naik separas dada di halaman rumah, itu petanda untuk penduduk kampung berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya.

Syed Abu Bakar berkata akses jalan darat ke kampung itu terputus ketika banjir melanda, namun penduduk di kampung tidak pernah gentar.

“Kampung ini bukan sekadar lokasi, ia adalah cerita manusia yang tak pernah menyerah kalah walau diuji berkali-kali,” katanya.

Penduduk, Hasan Setapa, 59, berkata dia sudah biasa mengayuh perahu untuk keluar.

Beliau berkata, sebaik air naik ke paras tertentu, dia segera berpindah untuk mengelak daripada berdepan kejadian tidak diingini.

“Perahu bukan sekadar alat pengangkutan, ia adalah simbol kelangsungan hidup komuniti kecil ini bahawa penduduk kampung mampu mengadaptasi kehidupan di tengah-tengah kemusnahan,” katanya.

Tinjauan mendapati rumah kayu dan konkrit di Kampung Bendang Perol yang sering menjadi mangsa limpahan sungai dengan air mencecah paras lutut, merosakkan segala isi rumah termasuk perabot patah, perkakas elektrik rosak dan pakaian mereka musnah. BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search