Pintu dua, tiga JKDM Rantau Panjang tenggelam banjir
- Admin UKK
- Berita
Rantau Panjang: Pintu dua dan pintu tiga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjadi laluan ke kawasan bebas cukai di sini, dinaiki air sedalam 0.3 hingga 0.8 meter sejak malam kelmarin.
Bagaimanapun, tinjauan di lokasi mendapati pintu satu JKDM berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini, masih boleh dilalui selain operasi perniagaan juga berjalan seperti biasa.
Peniaga, Yusuff Ahmad, 53, berkata, laluan ke pintu satu serta dua berada di kawasan agak rendah dan biasa menjadi antara lokasi awal dinaiki air jika paras Sungai Golok berdekatan melepasi paras bahaya.
“Walaupun perniagaan masih beroperasi, tidak ramai peniaga membuka premis jualan susulan bimbang paras air terus meningkat.
“Tambahan pula, majoriti peniaga mula mengemas kedai sejak semalam (kelmarin) lagi.
“Banjir kali ini berbeza kerana cuaca cerah tetapi paras air meningkat, kemungkinan kerana hujan
di hulu menyebabkan air di Sungai Golok melimpah dan membanjiri kawasan rendah.
“Saya menutup kedai lebih awal pada hari ini (semalam) kerana pelanggan juga tidak begitu ramai selain mahu pulang ke rumah untuk mengemas kerana kediaman saya turut dinaiki air,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang Shapawi Stapa berkata, beberapa kawasan di pekan itu dinaiki air sejak malam kelmarin termasuk di Jalan Sekolah Cina, Kampung Kedai Lama dan Jalan Parit Air.
“Paras Sungai Golok kini melepasi tahap bahaya tetapi berada dalam trend mendatar dan keadaan masih terkawal.
“Bagaimanapun, terdapat beberapa pemindahan dilakukan anggota membabitkan penduduk di kawasan rendah.
“Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa selain perlu berpindah awal jika paras air semakin naik terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan sukar diakses,” katanya.