Banjir angkara hujan di hulu
- Admin UKK
- Berita
Rantau Panjang: Pintu dua dan tiga Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang menjadi laluan ke Kawasan Bebas Cukai Rantau Panjang, dinaiki air separas 0.3 hingga 0.8 meter sejak malam kelmarin.
Tinjauan mendapati pintu satu JKDM, berdekatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang masih boleh dilalui, selain operasi perniagaan juga berjalan seperti biasa.
Peniaga, Yusuff Ahmad, 53, berkata laluan pintu dua berada di kawasan yang agak rendah dan biasanya menjadi antara lokasi awal dinaiki air jika paras Sungai Golok berdekatan melepasi paras bahaya.
“Walaupun perniagaan masih beroperasi, namun tidak ramai peniaga yang membuka premis jualan susulan bimbang paras air akan terus meningkat hari ini (semalam). Tambahan pula, majoriti peniaga sudah mula mengemas kedai sejak semalam (kelmarin) lagi.
“Banjir kali ini agak berbeza kerana cuaca cerah tetapi paras air meningkat kemungkinan kerana hujan di bahagian hulu menyebabkan air di Sungai Golok melimpah dan membanjiri kawasan rendah” katanya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Shapawi Stapa, berkata beberapa kawasan di dalam pekan sudah dinaiki air sejak malam kelmarin termasuk Jalan Sekolah Cina, Kampung Kedai Lama dan Jalan Parit Air, di sini.
“Paras Sungai Golok kini melepasi tahap bahaya, tetapi berada dalam trend mendatar dan keadaan masih lagi terkawal. Bagaimanapun, terdapat beberapa pemindahan dilakukan anggota membabitkan penduduk di kawasan rendah,” katanya.
Sementara itu, pihak pengurusan Sekolah Rendah Ugama (Arab) Tarbiah Islamiah Lubok Gong, di sini, lega kerana sempat mengemas barangan serta dokumen penting ke tempat selamat apabila banjir gelombang kedua melanda sejak petang kelmarin.
Penolong Kanan Pentadbirannya, Zahari Mokhtar, berkata pengalaman banjir besar pada gelombang pertama mendorong guru membuat persiapan awal dengan
mengemas serta menempatkan dokumen penting ke tempat tinggi. Katanya, air mula membanjiri kawasan sekolah separas 0.3 hingga satu meter (m) dan memasuki kawasan kantin, parkir serta bangunan kelas di tingkat bawah.
“Sekolah ini berada di lokasi rendah jadi hampir setiap tahun akan dilanda banjir. Bagaimanapun, sebelum ini banjir berlaku biasa-biasa sahaja, namun sekarang ia datang dengan paras yang terlalu tinggi
“Pada banjir gelombang pertama, pihak sekolah terpaksa menanggung banyak kerugian akibat kerosakan seperti meja, kerusi dan peralatan mengajar. Kali ini, kami bersiap siaga lebih awal kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali. Malah, pejabat guru serta perpustakaan juga sudah dipindahkan di tingkat atas supaya tidak dimasuki banjir,” katanya.
Redah banjir demi kucing
Di Kota Tinggi, demi kucing, seorang lelaki sanggup meredah air banjir paras pinggang untuk memberi makan pada empat haiwan peliharaannya di Kampung Gembut,tanjung Sedili, di sini.
Pekerja kilang, Aidil Hakim Ahmad Ramli, 27, berkata dia memiliki empat kucing jalanan dan terpaksa meninggalkannya di dalam rumah berikutan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gembut, sejak kelmarin.
“Disebabkan berlindung di PPS, kucing saya tidak dibawa sekali dan sebab itu dalam sehari saya akan pulang ke rumah dua kali untuk memberikan mereka makan.
“Dalam rumah kami tidak pernah dinaiki air meskipun kawasan laman sudah pada paras pinggang. Jadi, kucingg saya selamat berada di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Aidil Hakim berkata, tahun ini adalah kali kedua mereka diarahkan berpindah kerana banjir yang berlaku.
“Biasanya kami akan tinggal di PPS selama seminggu atau dua minggu, sebelum banjir berunsur surut dan kering,” katanya.