318 pencawang telekomunikasi terjejas banjir sudah beroperasi
- Admin UKK
- Berita
Sebanyak 323 stesen pemancar telekomunikasi di seluruh negara terjejas akibat banjir bermula November lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata 264 stesen pemancar telekomunikasi di Kelantan, manakala Terengganu (49), Pahang (sembilan) dan Johor (satu).
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 318 stesen pemancar telekomunikasi sudah beroperasi seperti biasa, manakala lima lagi dalam proses baik pulih.
“Saya cuba dapatkan angka yang terkini dan setakat semalam (kelmarin), secara keseluruhan 323 menara telah terkesan sejak berlaku banjir.
“Selain itu, 97 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terkesan dengan 88 daripadanya kembali beroperasi dan sembilan belum beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa, di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), di sini, semalam.
Tiada berita palsu
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tiada sebarang laporan berkaitan berita palsu mengenai banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut diterima pihaknya setakat ini.
Katanya, kebiasaannya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan memadamkan kandungan berita palsu atau tidak tepat secara automatik.
“Kita risau dengan ledakan informasi dan maklumat di media sosial (dan) pengguna media sosial mungkin terlalu mudah untuk mempercayai sebarang maklumat yang disampaikan pada mereka. “Saya mohon buat pengesahan bersandarkan laporan rasmi daripada media arus perdana dan sekiranya kita tidak melihat perkara itu dilaporkan oleh mana-mana pihak, jangan kita sebarkan maklumat itu.
“Tunggu pengesahan daripada pihak berkuasa dan media arus perdana,” katanya.