Kelantan rugi RM30j akibat banjir, 7 sekolah YIK rosak teruk
- Admin UKK
- Berita
Kerugian akibat banjir di Kelantan dianggarkan lebih RM30 juta, dengan tujuh sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) mengalami kerosakan teruk, termasuk peralatan musnah dan bangunan ditenggelami air sehingga lebih satu meter.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri Datuk Wan Roslan Wan Hamat berkata, jumlah kerugian itu dijangka bertambah kerana maklumat terperinci belum diterima.
“Jumlah kerugian awal itu turut membabitkan tujuh sekolah di bawah YIK dan jalan raya di negeri ini.
“Kerosakan dialami tujuh sekolah itu ada yang ditenggelami air sehingga lebih satu meter dan rosak peralatan sekolah,” katanya selepas majlis penerimaan dan pengagihan bantuan banjir daripada FGV Holdings Berhad (FGV) di sini, semalam.
Dalam perkembangan sama, Wan Roslan berkata, daripada 5,163 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk sekolah YIK di Kelantan, 207 terjejas banjir.
Beliau berkata, bagaimanapun situasi itu tidak menjejaskan peperiksaan lisan yang dijalankan baru-baru ini memandangkan semua calon terbabit menumpang di sekolah berhampiran yang selamat.
“Seramai 207 calon SPM sekolah YIK yang terjejas banjir menjalani peperiksaan di pusat ditentukan YIK dan Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.