OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir uji kesabaran mangsa, keprihatinan masyarakat

Banjir uji kesabaran mangsa, keprihatinan masyarakat

Beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kawasan di utara menerima hujan yang lebat hingga menyebabkan berlaku banjir. Di tempat lain dan masa berbeza, penduduk di kawasan yang mengalami kemarau memohon dengan Allah SWT supaya hujan diturunkan.

Hakikatnya, Allah SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia, sebaliknya setiap peristiwa terkandung hikmah besar sebagai bukti Dialah Tuhan selayaknya disembah dan menguasai alam semesta.

Hujan turun membawa pelbagai rahmat kepada sekalian makhluk di atas bumi meliputi rezeki pelbagai bentuk.

Allah SWT berfirman: “Dan Allah menurunkan hujan dari langit, lalu Dia menghidupkan bumi itu sesudah matinya dengan air hujan; sesungguhnya pada demikian itu terdapat tanda (membuktikan kebijaksanaan Allah) bagi kaum mendengar (peringatan ini dan memahaminya).” (An-nahl: 65)

Umumnya, penurunan hujan perlu disyukuri sebagai antara nikmat kurniaan Allah SWT kepada hamba-nya.

Memang betul, ada kalanya beberapa aktiviti dirancang terpaksa dibatalkan, tetapi ia tetap rahmat daripada Allah SWT yang ada kalanya tidak dikurniakan kepada penduduk di tempat tertentu hingga menyebabkan mereka terpaksa memohon diturunkan hujan.

Bagaimanapun, Rasulullah SAW tetap mengajarkan kita memperbanyak doa agar dijauhkan daripada sebarang musibah disebabkan hujan.

Sekiranya hujan tidak berhenti-henti, maka Rasulullah SAW menganjurkan kita membaca doa “Ya Allah, turunkanlah hujan di sekitar kami, jangan yang merosak kami. Ya, Allah, turunkanlah hujan di dataran tinggi di bukit, di perut lembah dan tempat tumbuhnya pepohonan.” (Muttafaq ‘alaih)

Justeru, kita wajar banyakkan berdoa ketika hujan, apatah lagi ia antara waktu mustajab doa. Usah biarkan hujan berlalu hanya dengan tidur atau melakukan perkara tidak berfaedah termasuk merungut kerana hujan membataskan pergerakan ke sana dan ke sini.

Rasulullah SAW bersabda: “Dua waktu yang doa ketika itu tidak tertolak atau sangat sedikit sekali tertolaknya, iaitu ketika azan dan ketika perang saat kedua-dua pasukan bertemu. (Dalam riawayat lain) dan ketika turun hujan.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Bagaimanapun ketika hujan lebat yang menyebabkan banjir, kita perlu menerimanya sebagai ujian untuk kita menghadapinya, sekali gus melakukan muhasabah dan menguatkan diri dengan sifat sabar serta reda.

Pada masa sama, ia juga ujian kepada kita yang tidak dilanda banjir, tetapi dapat menyaksikan peristiwa berkenaan.

Setiap golongan beriman daripada kalangan umat terdahulu melalui ujian ditetapkan Allah SWT agar iman bertambah mantap dan kebergantungan kepada-nya semakin kuat.

Saling hulur bantuan

Sesungguhnya pertolongan daripada Allah SWT itu sangat hampir sekiranya mereka bersabar dan tetap berpegang teguh kepada agama-nya.

Sesungguhnya Allah SWT tidak sekali-kali memungkiri janji-nya. Rasulullah SAW pernah menyatakan rasa takjub Baginda kepada golongan

Sebagai Muslim, kita sentiasa diingatkan agar saling bantu-membantu dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan apa juga bentuk sama ada wang ringgit, makanan dan pakaian, tenaga atau paling kurang kata-kata semangat serta doa beriman kepada Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda: “Aku takjub dengan perihal orang beriman. Semuanya ada kebaikan. Tidak ada suatu kebaikan pun kecuali ia untuk orang yang beriman. Apabila diberikan sesuatu nikmat, dia akan bersyukur. Maka itu baik baginya. Apabila diuji dengan suatu ujian, dia akan bersabar. Maka itu juga baik baginya.” (HR Muslim)

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Menyaksikan ujian banjir melanda saudara kita di Pantai Timur khususnya di Kelantan, pasti hati menjadi hiba.

Selepas air bah mulai surut, banyak harta benda musnah. Malah, ada kehilangan rumah dan harta benda semuanya kerana dihanyutkan air banjir yang amat kuat.

Sebagai Muslim, kita sentiasa diingatkan agar saling bantu-membantu dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan apa juga bentuk sama ada wang ringgit, makanan dan pakaian, tenaga atau paling kurang kata-kata semangat serta doa.

Rasulullah SAW berpesan: “Perumpamaan orang mukmin dalam saling berkasih-sayang dan perasaan belas kasihan serta rasa simpati adalah seperti tubuh badan yang satu, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh badan turut merasai letih dan penat (tidak sihat).” (Muttafaq ‘alaih)

Berdasarkan laporan tersiar dalam media, masyarakat di negara ini berlumba-lumba menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di merata tempat.

Masing-masing menghulurkan bantuan pascabanjir bagi meringankan bebanan ditanggung mereka terbabit. Usaha murni ini menzahirkan satu petanda baik buat kita semua.

Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran besar buat hamba-nya sentiasa bersabar atas ujian kehidupan. Pada masa sama, didoakan agar setiap usaha penyumbang bagi meringankan bantuan mangsa banjir diberkati Allah SWT serta dikurniakan kebaikan yang besar.

Allah SWT berfirman: “(Iaitu) orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pelbbagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-nya; dan mereka itulah orang yang dapat petunjuk hidayah-nya.” (Al-baqarah: 156-157)

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search