OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Pelajari kaedah Jepun urus bencana banjir

Pelajari kaedah Jepun urus bencana banjir

Negara kita sekali lagi diuji dengan bencana alam apabila banjir melanda beberapa negeri di Semenanjung terutama Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Banjir bukan sahaja menyebabkan kehilangan tempat tinggal, malah menjejaskan ekonomi negara. Banyak kawasan pertanian dan perniagaan rosak, manakala infrastruktur seperti jalan raya, sekolah dan pusat perubatan tidak dapat berfungsi sepenuhnya.

Sehubungan dengan itu, bencana banjir baru-baru ini memberi peringatan serius kepada kita betapa pentingnya keperluan mendesak merangka strategi pengurusan bencana lebih proaktif bagi mengurangkan kerugian besar pada masa hadapan.

Terdapat beberapa kaedah digunakan negara maju seperti Jepun boleh dicontohi dalam usaha menangani banjir dan isu yang serupa.

Jepun adalah salah satu negara terkenal dengan keupayaannya menguruskan bencana alam, termasuk banjir. Mereka membangunkan pelbagai teknologi dan sistem pengurusan bencana sangat maju dan berkesan.

Salah satu keutamaan Jepun dalam pengurusan banjir adalah pembinaan infrastruktur kawalan air canggih. Mereka membangunkan sistem saliran sangat efisien untuk mengurangkan risiko banjir dikenali sebagai Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel (MAOUDC) di Tokyo.

Ia sebuah sistem terowong bawah tanah berfungsi sebagai saliran air utama. Terowong ini mampu menampung berjuta-juta liter air ketika hujan lebat atau banjir besar, mengelakkan limpahan air sungai ke kawasan bandar.

Integrasi teknologi moden sistem amaran

Jepun juga mengintegrasikan teknologi tinggi dalam sistem amaran dan ramalan cuaca tepat melalui penggunaan data meteorologi, hidrologi dan radar canggih.

Jepun mempunyai rangkaian setelit dan radar memantau cuaca secara berterusan. Jika hujan lebat atau taufan dijangka berlaku, amaran bencana dikeluarkan dengan segera. Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan pengesan di sepanjang sungai untuk memantau paras air dan aliran sungai secara masa nyata.

Selain itu, di Jepun, pembangunan bandar dirancang dengan mengambil kira risiko bencana. Zon rendah berisiko banjir tidak digunakan sebagai kawasan perumahan atau perniagaan utama, sebaliknya dijadikan ruang hijau atau kolam takungan air sementara.

Malaysia perlu mengubah pendekatan perancangan bandar dengan memastikan pembangunan hanya dilakukan di kawasan selamat. Kawasan berisiko tinggi seharusnya dijadikan zon takungan air untuk mengurangkan impak banjir.

Inisiatif penting lain dilaksanakan Jepun adalah memberikan pendidikan dan latihan kepada masyarakat untuk menghadapi bencana. Simulasi banjir dan gempa bumi diadakan secara berkala, membolehkan penduduk memahami tindakan perlu diambil ketika kecemasan.

Keberkesanan pendekatan Jepun juga diperkukuh dengan kerjasama antara agensi kerajaan, institusi penyelidikan dan sektor swasta, menghasilkan penyelesaian inovatif bagi setiap peringkat pengurusan bencana.

Walaupun Malaysia mempunyai cabaran tersendiri menghadapi banjir, banyak aspek boleh dipelajari dan dicontohi melalui strategi dilaksanakan di negara maju seperti Jepun.

Langkah ini bukan sahaja akan melindungi nyawa dan harta benda tetapi juga memastikan pembangunan negara dapat terus berjalan tanpa gangguan besar akibat bencana alam.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search