Loji rosak akibat banjir, penduduk Dalat hadapi masalah bekalan air bersih
- Admin UKK
- Berita
Kuching: Air minuman berbotol menjadi keperluan utama yang dicari penduduk di daerah Dalat dalam Bahagian Mukah ketika ini.
Ini kerana daerah itu menghadapi masalah bekalan air bersih sejak tiga hari lalu berikutan loji pengepam air di hulu Sungai Lebasau mengalami kerosakan akibat ditenggelami banjir.
Penduduk, Sharif Kalam berkata, bekalan air minuman di semua kedai di pekan Dalat kini menghadapi masalah berikutan permintaan terlalu tinggi.
"Bekalan air bersih terputus sejak tiga hari lalu dan semua penduduk Dalat memerlukan air untuk minum dan memasak.
"Ada penduduk sanggup ke bandar Mukah semata-mata mahu mendapatkan air minuman berbotol kerana di Dalat sudah kehabisan bekalan," katanya.
Menurutnya, pagi tadi sebuah kedai di Dalat menerima bekalan hampir 1,000 karton air minuman berbotol, namun ia habis dalam masa singkat kerana ramai yang menunggu untuk membelinya.
Difahamkan, sebahagian besar penempatan penduduk di daerah Dalat masih dilanda banjir akibat limpahan air Sungai Oya yang tidak surut sejak hampir 10 hari lalu.
Antara penempatan yang terjejas teruk di daerah itu, Nanga Baoh, Kampung Narub, Kampung Klid, Kampung Sua, Kampung Medong, Kampung Kekan, Kampung Tanam serta perkampungan sekitar pekan Dalat.
Sementara itu, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, jumlah mangsa banjir di seluruh Sarawak semakin menyusut.
Menurutnya, setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 49 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup manakala 31 lagi masih aktif.
Seramai 5,582 penduduk daripada 1,615 keluarga masih berlindung di PPS setakat ini berbanding 5,747 orang daripada 1,660 keluarga pada jam 8 pagi tadi.