Metmalaysia pantau luruan monsun
- Admin UKK
- Berita
Luruan angin sejuk atau luruan monsun yang dijangka melanda mulai 8 hingga 14 Disember ini, berpotensi membawa hujan lebat berpanjangan dan mencetuskan gelombang kedua banjir di negeri Pantai Timur Semenanjung.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata hujan lebat berterusan dalam tempoh berkenaan juga berpotensi melanda Sarawak dan Sabah, selain negeri di barat Semenanjung apabila intensiti luruan adalah kuat.
Beliau berkata, luruan monsun akan turut menyebabkan angin kencang dan keadaan laut bergelora di Laut China Selatan.
“Metmalaysia sentiasa memantau luruan monsun yang dijangka berlaku dalam tempoh seminggu bermula 8 hingga 14 Disember.
Kita memantau situasi dan akan mengeluarkan amaran sebaik sahaja output model ramalan mencapai tahap keyakinan yang tinggi,” katanya kepada BH, semalam.
Beliau menjelaskan, musim sejuk di hemisfera utara menyebabkan pembentukan kawasan tekanan udara yang tinggi di tanah besar China dan Siberia.
“Apabila intensiti tekanan udara terlalu tinggi, ia akhirnya akan meletus dan seterusnya menghasilkan luruan angin sejuk yang akan bergerak melalui Laut China Selatan dan seterusnya ke pantai timur Semenanjung serta perairan Sabah serta Sarawak,” katanya.