Taburan hujan 5 hari lebihi kadar 6 bulan cetus banjir besar
- Admin UKK
- Berita
Kuala Lumpur: Taburan hujan dialami Kelantan dan Terengganu dalam tempoh lima hari di antara 26 hingga 30 November lalu, didapati melebihi kadar lazim diterima selama enam bulan, menyebabkan ia mencetuskan banjir besar di dua negeri terbabit, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, dalam tempoh itu stesen hujan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Kelantan, mencatatkan penerimaan lebih 1,167 milimeter (mm), manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) merekodkan bacaan 1,442 mm.
“Itu adalah rekod hujan yang terlalu tinggi. Di Terengganu, umpamanya di Besut, Metmalaysia merekodkan jumlah hujan sebanyak 1,761mm, itu dalam tempoh lima hari dan secara umumnya mencatatkan 1,439mm.
“Jadi, memang jauh luar daripada jangkaan. Maknanya, lima hari kadar hujannya itu lebih daripada enam bulan biasa,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Datuk Mumtaz Md Nawi (Pn-tumpat) mengenai sama ada Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepat bagi membolehkan semua fasiliti besar mitigasi banjir disegerakan, termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur, susulan banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara, yang akan menempuh beberapa gelombang.
Perdana Menteri berkata, DRR diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membolehkan gerak kerja di semua peringkat kali ini sangat memuaskan.
Tebatan banjir siap 70 peratus Memperincikan kemajuan projek tebatan banjir di Pantai Timur, Perdana Menteri berkata, di Kelantan, dalam Fasa Satu yang meliputi jajahan Tumpat dan sebahagian Pasir Mas sudah siap 70 peratus dan dijangka siap pada awal 2026.
“Fasa Dua yang meliputi jajahan Rantau Panjang dan sebahagian Pasir Mas diminta dipercepat, manakala Fasa Tiga, meliputi jajahan Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli sudah siap empat peratus.
“Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan sudah hampir siap, dengan Fasa Satu meliputi jajahan Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai, sudah 98 peratus siap dan dijangka siap pada Januari atau Februari 2025), manakala Fasa Dua, meliputi jajahan Kota Bharu, baru dimulakan pada tahun ini dan empat peratus siap.
“Di Terengganu, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kemasik sudah 91.8 peratus siap dan dijangka beroperasi penuh pada akhir Januari 2025, manakala RTB Sungai Tepoh dan Benggol Air Lilih yang baru dimulakan, termasuk di Bukit Puteri dan lain-lain di Bukit payung.
“Tiga projek RTB yang sudah siap di Terengganu iaitu Sg Besut Fasa Satu, Gong Kiat dan Guntung Luar, Setiu,” katanya.
Di Pahang, Perdana Menteri berkata, sebanyak 14 projek utama dilaksanakan termasuk lapan sedang dalam pelaksanaan, termasuk Pekan, Kuantan, Sungai Yeh, Sungai Maran, Sungai Jelai dan Sungai Pahang.
Selain itu katanya, Program Ramalan Dan Amaran Banjir (PRAB) juga canggih, dengan sistem model ramalan banjir itu menggunakan pendekatan hidrodinamik dan simulasi banjir dihasilkan dengan gabungan pelbagai input, termasuk data hidrologi dari stesen telemetri PRAB dan data ramalan hujan dari Metmalaysia yang menggunakan model ramalan cuaca berangka, menggunakan teknologi satelit dan radar.
“Itu untuk mengenal pasti dan sebab. Sekarang ini kalau diberitahu oleh Ketua Pengarah MET bahawa untuk minggu depan, sekitar 8 atau 9 Disember, kita harus lebih berwaspada.
“Doa insya-allah lebih terkawal, tetapi ada gambaran hujan akan lebat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan juga, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneliti kajian Agensi Kerjasama Antarabangsa
Jepun (JICA) untuk membina tebing tinggi di semua kawasan pantai bagi mengatasi masalah banjir di seluruh negara.
Katanya, cadangan yang pernah dibangkitkan sekitar 20 tahun lalu itu, boleh diusahakan selepas projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, selesai dilaksanakan.
“Ada cadangan, saya ingat lama dah 20 tahun lebih yang lepas, dicadangkan Kerajaan Jepun iaitu projek JAICA umpa
manya untuk mengatasi masalah banjir di Pantai Barat (Malaysia) dan ketika itu tahun 90-an, keperluan perbelanjaan itu sudah mencecah RM10 bilion, sekarang mungkin dah RM20 bilion.
“Antara lain kajian JICA untuk bina tebing tinggi di seluruh kawasan pantai. Sudah tentu ini akan mengambil masa dan mudah-mudahan bila keadaan ekonomi yang jauh lebih kukuh, selesai masalah tebatan banjir kita,” katanya.