Pahang, Johor dijangka bah jika hujan lebat lebih 6 jam
- Admin UKK
- Berita
Pahang dan Johor dijangka berdepan situasi banjir yang sama seperti menimpa Kelantan dan Terengganu, jika mengalami hujan lebat berterusan lebih enam jam dalam tempoh terdekat ini.
Berikutan itu, pihak berkuasa kini membuat pemantauan rapi dan bersiap siaga dari sekarang hingga Mac depan dengan sentiasa memantau aliran air sungai dan hujan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata seperti dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) musim tengkujuh ini diramalkan mengalami lima hingga tujuh episod hujan lebat membabitkan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Memang diramalkan banjir besar berpotensi berlaku terhadap 4,617 kawasan tumpuan banjir akibat limpahan sungai selepas hujan lebat berterusan melebihi enam jam.
“Banjir teruk yang melanda Pantai Timur khususnya Kelantan dan Terengganu ini disebabkan hujan lebat berterusan lebih
enam jam, menyebabkan limpahan hujan dua kali ganda daripada kebiasaan, mengakibatkan kenaikan paras sungai berbanding keadaan sama pada 2014.
“Faktor sedemikian membuatkan banjir di dua negeri itu menjadi teruk berbanding 10 tahun lalu, di samping pertembungan air pasang besar serta permulaan musim tengkujuh yang bermula dari 5 November lalu dan dijangka berterusan hingga Mac depan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke war room di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) di Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Ampang di sini, semalam.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan
Tenaga dan Transformasi Air, sebelum itu turut melawat war room di Wisma Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Timur 19, Petaling Jaya.
Gelombang kedua
Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku bencana banjir di Pahang dan Johor susulan aliran air dari Kelantan dan Terengganu yang dijangka mengalir ke negeri-negeri berkenaan.
“Kalau ikut jangkaan, lepas ini aliran (banjir) itu akan turun ke Pahang dan Johor. Jadi kita dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya.
Mengulas luruan monsun di antara 8 hingga 14 Disember ini yang berpotensi mencetuskan gelombang kedua banjir, Fadillah berkata, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan meneruskan pemantauan dan menyebarkan maklumat kepada media dan orang ramai untuk persediaan.
“Jangkaan memang masih berlaku dan kalau ikut ramalan Metmalaysia dalam tempoh seminggu itu hujan berterusan, cuma volume (kapasiti) kita tidak pasti tapi kita akan berjaga-jaga sama ada (hujan) lebih lebat daripada sekarang ini atau tidak,” katanya.
Terdahulu Fadillah diberi taklimat oleh pegawai JPS berhubung banjir yang direkodkan agensi itu sejak 5 November lalu apabila Metmalaysia mengumumkan ber mulanya Monsun Timur Laut (MTL).