OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Rujuk NADMA, JKM selaras agihan bantuan bah

Rujuk NADMA, JKM selaras agihan bantuan bah

Kuala Lumpur: Individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta yang ingin membantu mangsa banjir dinasihat merujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) atau Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menyelaraskan agihan bantuan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya menghargai inisiatif dan usaha murni dilakukan untuk membantu mangsa banjir, namun pelarasan perlu dibuat bagi memastikan agihan bantuan lebih tersusun dan menyeluruh.

Katanya, langkah itu bagi memudahkan agensi terbabit serta NGO atau swasta untuk mengatur pergerakan agihan bantuan terutama di kawasan terputus hubungan atau berdepan risiko keselamatan.

“Pihak NGO atau swasta juga dinasihatkan supaya bergerak melalui kerajaan dan tidak bekerja secara sendiri.

“Kita faham yang menjadi mangsa itu keluarga, rakan kita, tetapi kita perlu selaraskan.

“Hubungi NADMA, JKM atau pejabat daerah. Kita akan bantu selaraskan, kalau tanpa pemakluman kita juga tak dapat nak bantu kerana ada kawasan yang sukar diakses dan kita juga mahu tiada mangsa yang keciciran bantuan,” katanya selepas menghadiri majlis Jalinan Kasih Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2024 dan perasmian Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP), di sini semalam.

Nancy memberi jaminan, kementerian menerusi JKM bersama NADMA akan memastikan agihan bantuan bencana diselaraskan sebaiknya bagi memastikan tidak berlaku keciciran bantuan.

“Koordinasi dengan semua agensi terbabit juga dibuat dengan teliti. Ini pendekatan menyeluruh kerajaan untuk membantu mangsa banjir.

“Setakat ini, juga tiada laporan keciciran bantuan yang ada kes di Rantau Panjang (Kelantan) kerana lokasi menjadi pulau akibat banjir, namun kita sudah ditangani segera,” katanya.

Atur bantuan, sukarelawan

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata Selangor dalam perbincangan untuk menggerakkan sukarelawan negeri bagi membantu proses pembersihan pascabanjir di negeri yang terkesan dengan bencana itu.

Katanya, ketika ini pihaknya sedang berhubung dengan beberapa kementerian antaranya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mengatur pergerakan bantuan dan sukarelawan.

Beliau sedang memuktamadkan perkara itu pada peringkat pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya sudah mengadakan perbincangan awal untuk membantu proses pembersihan nanti selepas musim banjir. Kita akan buat bersama, terutama di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kita lihat kesannya amat buruk,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search