Kelantan, Terengganu dapat dana tambahan
- Admin UKK
- Berita
Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggarkan nilai kerugian akibat banjir ketika ini boleh mencecah RM1 bilion, terutama di Kelantan dan Terengganu yang teruk terkesan akibat bencana itu.
Serentak itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa Kerajaan Pusat akan terus menyalurkan bantuan bagi meringankan keperluan keluarga mangsa banjir serta peruntukan memperbaiki kemudahan asas yang terjejas.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta, susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri itu.
“Untuk negeri lain kita sedang pantau, tidak mahu jadi salah faham akan ikut keperluan dan saya jangka jumlah keseluruhan (negeri terkesan banjir) mengalami (kerugian) banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan, (SK) Kampung Telaga Papan, yang menempatkan 269 mangsa, di sini semalam.
Perdana Menteri berkata, peruntukan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri
(JPM) itu akan digunakan untuk memperbaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembetung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.
“Dari segi Kerajaan Persekutuan, seperti mana yang sudah diumumkan, kita akan beri seluruh kerjasama bantuan yang penuh.
“Untuk Kelantan dan Terengganu seperti mana yang kita umumkan, RM50 juta sudah diputuskan untuk disalurkan, kemudian saya dapat maklumat lagi mengenai keperluan-keperluan terakhir ini.
“Kita sudah lulus selain daripada RM50 juta itu, tambahan kerana nampak jumlah yang terkesan itu jauh lebih besar daripada unjuran awal.
“Ini kita tambah lagi RM25 juta yang saya umum hari ini (semalam), iaitu RM75 juta (untuk Kelantan dan Terengganu sahaja), ” katanya.
Tak perlu isytihar darurat
Selain itu, Anwar berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat meskipun situasi banjir, terutama di Kelantan dan Terengganu semakin serius.
Beliau berkata, seluruh jentera pasukan keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan seluruh jentera Persekutuan, negeri dan daerah mampu menangani masalah bencana ini dengan baik.
“Jadi tidak ada keperluan sama sekali untuk diisytihar darurat,” katanya.
Sejurus melawat mangsa di SK Telaga Papan, Anwar yang juga diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, turut meluangkan masa kira-kira 20 minit melawat mangsa banjir di PPS SK Mangkuk yang menempatkan 372 mangsa.
Dalam pada itu, Anwar mengumumkan bantuan khas kewangan RM500 kepada setiap penjawat awam negeri Terengganu.
Katanya, ia membabitkan lebih 14,000 penjawat awam Terengganu dengan peruntukan keseluruhan akan disalurkan kerajaan negeri Terengganu adalah sebanyak RM7.4 juta.