OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Dua lagi korban banjir di Kelantan

Dua lagi korban banjir di Kelantan

Kuala Lumpur: Banjir meragut nyawa dua lagi mangsa di Kelantan semalam membabitkan warga emas yang sedang memantau ternakan mereka masing-masing di Kampung Kuala Sat dan Kampung Gelung Gajah, Tumpat.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata kejadian kira-kira jam 8 pagi membabitkan mangsa berusia 72 dan 78 tahun. Kes itu menjadikan korban banjir seramai lima orang di Kelantan setakat ini.

Mohd Yusoff dalam kejadian pertama membabitkan mangsa berusia 72 tahun di Kampung Kuala Sat yang dikatakan melihat ternakan lembunya di parit sebelum ditemukan lemas oleh ahli keluarga jam 8 pagi semalam.

“Kes kedua pula membabitkan mangsa berusia 78 tahun di Kampung Gelang Gajah ketika melihat kambingnya yang ditempatkan di rakit yang dijadikan tempat perlindungan ternakan itu.

“Mangsa lemas ketika memantau haiwan peliharaan itu di rumah rakit bersebelahan rumahnya dengan menaiki perahu,” katanya.

150,482 mangsa dipindahkan

Sementara itu, banjir merebak ke 10 negeri semalam membabitkan 150,482 mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) daripada 44,336 keluarga.

Pahang menjadi negeri terbaru yang ditimpa musibah itu membabitkan 1,152 mangsa daripada 50 keluarga yang ditempatkan di 20 PPS sehingga jam 6 petang semalam.

Menjelang lewat petang, sebanyak 672 PPS di buka di negeri berkenaan yang menyaksikan Kelantan mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 96,657 orang daripada 29,764 keluarga, menurut portal bencana NADMA.

Portal infobanjir.water.gov. my, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan lima sungai utama masih melepasi paras bahaya, namun menunjukkan penurunan iaitu Sungai Kelantan di Kusial Baru (16.64 meter), Sungai Kelantan di Kusial (16.66 meter), Sungai Golok di Rantau

Panjang (11.20 meter), Sungai Golok di Tumpat (4.22 meter) dan Sungai Semerak di Pasir Puteh (3.65 meter).

Keadaan di Terengganu juga bertambah buruk dengan jumlah mangsa meningkat kepada 41,788 orang daripada 11,274 keluarga yang ditempatkan di 294 PPS.

Di Kedah pula, mangsa banjir terus juga meningkat kepada 8,427 orang daripada 2,595 keluarga yang kini ditempatkan di 51 PPS.

Perlis mencatatkan 75 mangsa; Negeri Sembilan (1,617); Melaka (238); Johor (528); Perak (12) dan Selangor berkurang hanya kepada tiga.

Minta lakukan solat hajat

Di Kuantan, Sultan Pahang, Alsultan Abdullah Ri’ayatuddin Almustafa Billah Shah meminta semua masjid dan surau di Pahang melakukan solat hajat berikutan bencana banjir yang melanda di beberapa buah negeri berikutan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang berlaku kini.

“Saya mendoakan agar semua yang terbabit dengan kejadian banjir besar di Kelantan, Terengganu dan Kedah diberikan kemudahan, kekuatan dan kesabaran untuk mengharungi musibah yang melanda,” titah baginda.

Di Alor Setar, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup bekalan elektrik di beberapa kawasan bandar raya itu dan Sik demi keselamatan orang awam susulan keadaan banjir yang semakin serius.

Operasi beberapa agensi kerajaan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan di Anak Bukit, ditutup sementara disebabkan banjir teruk.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman, berkata latihan penerbangan Kolej Tentera Udara (KTU) Kepala Batas akan dihentikan sementara berikutan kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim dinaiki air.

Di Bandar Permaisuri, seramai 13 nelayan di Kampung Telaga Papan menanggung kerugian RM.4 juta apabila bot mereka dihanyutkan ombak besar dihanyutkan ombak besar awal pagi semalam.

Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, sebanyak lapan bot nelayan kelas A dan B serta 10 bot fiber yang berlabuh di jeti pantai di Kampung Telaga Papan mengalami kerosakan teruk.

Sebanyak 174 sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara manakala 396 sekolah dijadikan sebagai PPS sehingga ini.

Di Kuala Krai, penduduk di beberapa buah kampung terpaksa menggunakan tali lembu menambat kenderaan mereka pada pokok sawit bagi mengelakkannya hanyut dibawa arus deras.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search