OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

IWK nafi air kumbahan punca banjir di Shah Alam

PETALING JAYA:
 Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menafikan dakwaan air kumbahan punca kawasan perumahan Taman Sri Muda di Shah Alam dilanda banjir.

IWK berkata, selepas menerima aduan Ahli Majlis Zon 9, Ramu Nadarajan, pasukan operasinya menjalankan semakan dan mendapati punca utama limpahan dalam longkang dan parit disebabkan kurang penyelenggaraan baik.

“Longkang dan parit berkaitan didapati penuh dengan sampah, mendapan pasir dan juga akar pokok yang menutupi saluran longkang berkenaan,” katanya menurut Bernama.

Ia berkata, keadaan itu menyebabkan air kumbahan terawat dari loji rawatan kumbahan (LRK) berdekatan serta air hujan dari kawasan perumahan berkenaan tidak dapat mengalir dengan lancar.

Tambahan, katanya, lokasi taman itu yang rendah dan berhampiran Sungai Klang menyebabkan kawasan berkenaan kerap terdedah kepada banjir.

IWK turut memaklumkan sistem paip pembetungan dan LRK yang beroperasi lebih 30 tahun itu dibina mengikut perancangan teknikal terperinci berdasarkan pelan pembangunan kawasan perumahan berkenaan.

Menurutnya, laluan pelepasan air terawat dari loji itu adalah laluan asal sejak pembinaan awal.

“Menerusi semakan rekod, terdapat dua LRK jenis Aerated Lagoon (AL) di kawasan perumahan ini dan kedua-duanya beroperasi pada kapasiti penduduk setara (PE) seperti yang direka bentuk, tanpa sebarang bebanan melampau.”

Hasil semakan dan penemuan itu telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis Zon 9 dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Terdahulu, SelangorKini melaporkan Ramu Nadarajan meminta IWK mempercepatkan proses pengalihan aliran air kumbahan ke lokasi lebih sesuai kerana mendakwa laluan sedia ada menjadi punca banjir di taman itu.

Tiga hari padam kebakaran: Anggota bomba cedera, 3 kilang, 15 kenderaan musnah

PASIR GUDANG – Bomba mengambil masa tiga hari untuk memadam kebakaran besar di kawasan penyimpanan lori dan minyak di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai, di sini, yang bermula Sabtu lalu.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Zaipulbahri Mat Rusok berkata, operasi memadam kebakaran itu berjaya sepenuhnya dan ditamatkan pada pukul 2.35 petang semalam.

“Operasi tersebut melibatkan kekuatan 37 anggota dari lapan balai bomba termasuk Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin, PBS Ulu Tiram dan Pasukan Khas Hazmat JBPM Johor,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi menghadapi cabaran besar berikutan struktur kawasan kebakaran dipenuhi tong-tong minyak bersaiz besar serta angin kuat yang menyebabkan api cepat merebak.

“Kebakaran besar ini akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas kerja-kerja pemadaman dan ‘overhaul’ dijalankan.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 700 x 700 kaki persegi dan memusnahkan hampir 92 peratus kawasan sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, seorang pegawai bomba dilaporkan cedera ringan semasa menjalankan tugas.

Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak tiga kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Kota Puteri.

Premis itu membabitkan kilang penyimpanan minyak hitam terpakai, kilang pemprosesan sabun dan kawasan parkir lori.

Beberapa video dan gambar yang memaparkan asap tebal serta beberapa individu awam berada berhampiran lokasi kejadian turut tular dalam media sosial. – MalaysiaGazette

Ribut Kedah: Lebih 120 rumah di enam daerah rosak

KOTA SARANG SEMUT: Kejadian ribut di Kedah menyebabkan kerosakan ratusan kediaman di enam daerah. Angin kencang turut menyebabkan pokok tumbang yang menghempap rumah dan menghalang lalu lintas.

 

Setakat ini, sekurang-kurangnya 129 rumah mengalami kerosakan termasuk di daerah Kota Setar, Padang Terap, Kuala Muda dan Yan.

Pemantauan masih dilakukan oleh pihak berwajib susulan ribut jam lapan malam semalam. Bagaimanapun cuaca buruk itu tidak disertai hujan.

Tinjauan Buletin TV3 di Kampung Bukit Choras Dalam, mendapati kebanyakan bumbung rumah diterbangkan angin kencang.

Seorang mangsa ribut, Najmuddin Ahmad yang ditemui menceritakan ribut yang berlaku malam semalam adalah yang terburuk pernah berlaku.

“Yang ni kali ketiga, kali kedua kalau tak silap saya bulan Februari, kali pertama tahun lepas, kali ini paling teruk sekali,” katanya.

Sementara itu seorang lagi mangsa Ili Bazliyana Osman berkata, ketika ribut melanda dia terpaksa membawa lari anaknya dan mendapati atap zink di bahagian hadapan rumah sudah diterbangkan angin.

“Saya bawa lari anak yang kecil sekali yang menangis ketakutan akibat bunyi zink yang begitu kuat, bawa lari ke depan tengok atap rumah dah terkoyak,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pejabat Meteorologi Kedah, menjangkakan ribut petir akan melanda beberapa kawasan sehingga 30 Jun.

Ia susulan tiupan angin barat sepanjang tempoh ramalan ini dengan kelajuan angin dijangka lebih kencang di utara Semenanjung termasuk perairan utara Selat Melaka.

Tanah runtuh akibat hujan lebat ragut 8 nyawa

BOGOTA, 25 Jun - Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan lima lagi cedera dalam kejadian tanah runtuh yang melanda bandar Bello, pinggir Medellin, awal pagi Selasa.

Menurut kenyataan oleh Datuk Bandar Bello, Lorena Gonzalez kejadian berlaku sebelum subuh dan menjejaskan lebih 10 buah rumah selepas hujan lebat yang menyebabkan banjir di sebuah lurah.

"Pihak berkuasa sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat. Sekurang-kurangnya 10 orang masih dilaporkan hilang," jelas kenyataan tersebut.

Wilayah Antioquia, yang terletak di kawasan pergunungan Andes sebelah barat Colombia, sering terdedah kepada kejadian tanah runtuh ketika musim hujan.

Bulan lalu, lima orang maut dalam satu lagi kejadian tanah runtuh di Sabaneta, sebuah lagi kawasan pinggir Medellin.

Kebakaran hutan berhampiran Taman Negara Bako berjaya dipadam sepenuhnya

KUCHING, 24 Jun: Kebakaran hutan di Teluk Komeh berhampiran Taman Negara Bako di sini, berjaya dipadam sepenuhnya jam 3 petang tadi selepas dua hari usaha pemadaman dijalankan.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, operasi pemadaman dijalankan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dengan kekuatan 10 anggota bersama agensi lain.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 10,000 hingga 10,500 meter persegi.

“Tindakan pantas pasukan bomba berjaya membina firebreak (penghalang api) bagi mengelakkan kemerebakan kebakaran lebih besar ke kawasan sekitar,” kata kenyataan itu.

Operasi turut melibatkan penggunaan dua unit pam angkut, air laut sebagai sumber utama, empat nozel dan satu aliran sepanjang 260 meter.

Antara cabaran utama yang dihadapi pihak bomba memadam kebakaran itu ialah kekangan komunikasi, faktor pasang surut air laut serta kawasan berbukit yang menyukarkan pergerakan.

Turut membantu dalam operasi ialah lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Bako Indah dan tujuh anggota daripada Sarawak Forestry Corporation (SFC) Taman Negara Bako.

Pihak SFC akan meneruskan pemantauan berkala bagi memastikan kebakaran tidak berulang. – TVS

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search