OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Bangladesh serah bantuan kemanusiaan ke-3 kepada Myanmar yang dilanda gempa

DHAKA: Kerajaan Bangladesh telah menyerahkan konsainan ketiga bantuan kemanusiaan kepada pihak berkuasa Myanmar yang terjejas akibat gempa bumi, lapor Xinhua.
 
Duta Besar Bangladesh ke Myanmar, Md Monwar Hossain menyerahkan konsainan ketiga bantuan kemanusiaan itu kepada pihak Myanmar dalam satu majlis pada Sabtu, menurut kenyataan Perhubungan Awam Antara Perkhidmatan (ISPR) Angkatan Tentera Bangladesh.
 
Bantuan dari Bangladesh merangkumi khemah, pek makanan, bekalan kering, air minuman, selimut, pakaian, produk kebersihan dan keperluan lain.
 
Secara keseluruhan, ISPR memaklumkan bahawa sebanyak 151 tan metrik bantuan telah disalurkan kepada rakyat Myanmar dalam tiga penghantaran sejak gempa bumi melanda pada 28 Mac.
 
Selain bantuan material, pasukan mencari dan menyelamat serta perubatan seramai 55 anggota turut dihantar ke ibu negara Myanmar, Nay Pyi Taw, bagi menyokong usaha menyelamat dan pemulihan.
 
Sebanyak 800 kotak barangan kebersihan yang disumbangkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Bangladesh juga telah diserahkan kepada Persatuan Palang Merah Myanmar.
 
-- BERNAMA
 

PPS Putra Heights ditutup sepenuhnya

SUBANG JAYA: Dua pusat pe­min­­dahan sementara (PPS) di Masjid Put­ra Heights dan Dewan Ca­melia yang menempatkan mang­sa tragedi letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu telah dikosongkan sepenuhnya semalam.

Semua 613 keluarga yang ditempatkan di PPS itu dibenarkan pulang ke penginapan sementara atau kediaman ma­sing-masing selepas kawasan pe­rumahan mereka disahkan se­lamat oleh pasukan bomba.

Pengerusi Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohamed berkata, mangsa telah keluar secara berperingkat selepas makluman pengosongan PPS itu dibuat pada Khamis lalu.

“Jadi mereka semua telah membuat perancangan keluarga masing-masing. Ada yang berhajat untuk berpindah ke kediaman sendiri, ada yang menum­pang rumah saudara, ada yang menyewa terus.

“Ada juga mangsa dan keluarga yang terus mengambil insentif yang diberikan oleh kerajaan iaitu penempatan inap desa daripada AirBnB dan juga ada yang ditaja oleh ahli parlimen untuk pindah ke hotel untuk sementara waktu.

“Untuk hari ini ada 60 keluarga yang masing-masing telah keluar yang terakhir keluar pada pukul 2 petang sebentar tadi,” katanya kepada pemberita di PPS berkenaan.

Huzunul turut memaklumkan bahawa pihaknya akan membuat pengumuman rasmi berhubung penutupan PPS berkaitan insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas keprihatinan, sokongan dan doa yang berterusan kepada mangsa tragedi.

“Saya mewakili semua petugas dan agensi yang terlibat mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT dan rakyat Malaysia atas segala bentuk bantuan. Tanpa sokongan bersama, segala urusan tidak akan semudah ini,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan operasi ini merupakan hasil kerjasama erat pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri, agensi penyelamat, pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkata, sebanyak 116.22 tan sampah berjaya dikutip dalam hari pertama pelaksanaan Ops Mega Pembersihan Putra Heights yang dijalankan di kawasan terlibat kelmarin.

Katanya, tahap kemajuan kerja pembersihan berada pada 80 peratus membabitkan 12 zon utama dan kawasan dikendalikan KDEB Waste Management (KDEBWM).

“Antara kawasan paling tinggi jumlah sisa dikutip adalah Zon 10 dengan 24 tan, diikuti kawasan KDEBWM (27 tan), Zon 3 dan Zon 4 (masing-masing 12 tan).

“Di Zon 9 (lapan tan sisa kutipan), Zon 11 dan 12 (tujuh tan), Zon 1, 2, 5, dan 7 (masing-masing dengan enam tan) manakala Zon 8 dengan 2.2 tan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, skop kerja yang dijalankan termasuk mengangkat sampah dibuang penduduk, mencuci lorong belakang, mencuci longkang dan jalan.

Selain itu, kerja-kerja berkenan turut melibatkan pembersihan serpihan binaan, memotong pokok mati, mencuci ruang parkir kenderaan (yang dibenarkan) serta kawasan taman permainan.

Tragedi 13 hari memusnahkan 237 premis dan kediaman, mencederakan 305 mangsa dan merosakan 390 kenderaan milik penduduk.

Pada 2 April lalu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd. Najwan Halimi berkata, usaha memindahkan mangsa perlu dilakukan segera kerana PPS tidak sesuai digunakan secara berterusan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Selangor memberi jaminan kerajaan negeri akan berbincang dengan pelbagai pihak untuk memindahkan mangsa-mangsa ke lokasi yang lebih selesa dan tersusun. – UTUSAN

 

 

Banjir: Penduduk terjejas meningkat di Sabah, berkurang di Johor, kekal di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 14 April-Jumlah penduduk terjejas banjir di Sabah merekodkan peningkatan.Manakala di Johor, angka penduduk terjejas menunjukkan pengurangan setakat pukul 12.00 tengah malam tadi.

Menurut portal bencana NADMA, seramai 791 penduduk di tempatkan di 9 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan 232 keluarga di tiga daerah di Sabah.

Daerah Nabawan merekodkan 467 penduduk terjejas dengan 119 keluarga di tempatkan di 6 PPS. Daerah Keningau pula mencatatkan 219 penduduk di 2 PPS.

Penduduk terjejas di Beaufort pula meningkat kepada 105 orang dengan 39 keluarga berlindung di 1 PPS.

Di Johor pula, jumlah penduduk terjejas banjir berkurang kepada 152 orang membabitkan 49 keluarga di tempatkan di 1 PPS.

Sementara itu, jumlah penduduk terjejas di Negeri Sembilan kekal 33 mangsa di 1 PPS.

 
 

Hadap banjir setiap bulan, beraya rumah kosong

Kulai: "Bukan setahun sekali, tapi hampir setiap bulan rumah kami dinaiki air." Itu keluhan penduduk Kampung Melayu, Bukit Batu, di sini, yang mendakwa sistem perparitan rosak menjadi punca utama banjir kilat berulang sejak awal tahun ini, tanpa sebarang penyelesaian daripada pihak berkuasa.

Lebih 50 isi rumah di kampung berkenaan terpaksa hidup dalam kebimbangan setiap kali hujan turun, apabila air melimpah dari longkang hingga memasuki rumah, membawa lumpur serta najis.

Penduduk, Muhammad Amirul Aiman Hassni, 26, berkata, kejadian banjir kini berlaku jauh lebih kerap dan buruk berbanding tiga tahun lalu.

"Dulu setahun sekali, dua tahun sekali banjir. Tapi sekarang hampir setiap bulan kami hadap. Bila hujan lebat dua hingga tiga jam, pasti banjir.

"Banyak barang, perabot kami terpaksa buang sebab rosak. Air banjir pula berlumpur dan bercampur najis. Bulan Ramadan lalu kami kena dua kali.

"Yang dah beli perabot raya, tikar getah, akhirnya beraya rumah kosong," katanya katanya ketika ditemui di Kampung Melayu, Bukit Batu, di sini, hari ini.

Menurutnya, masalah dipercayai berpunca daripada projek yang dijalankan di Sungai Ulu Pontian, terletak di belakang kediaman penduduk.

"Ketua kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sudah ajukan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT), tapi masih tiada tindakan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Pembantu Perawat Kesihatan, Nur Azimah Mohd Mahiyidin, 36, menyifatkan banjir kali ini paling buruk pernah dialami sejak menetap di kampung berkenaan sejak kecil.

"Dari Darjah Lima saya duduk sini, tak pernah seteruk ini. Tahun ini saja dah empat kali banjir. Bulan Januari, air naik paras pinggang, kami ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

"Lepas balik rumah dua hari, esoknya banjir lagi. Mak saya berusia 75 tahun, ada angin ahmar. Bila banjir, kami kena angkat dia ke PPS. Memang tak selesa untuk warga emas," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Nur Farahani Mamat, 30, yang mempunyai tiga anak berusia tiga, enam dan sembilan tahun, turut meluahkan rasa tertekan menjelang Aidilfitri.

"Tilam saja yang tinggal, sofa pakai yang lama sebab dah tahu banjir akan datang. Barang banyak dah rosak. Bila hujan lebat sikit saja, hati dah tak senang.

 

"Air sungai belakang makin tinggi, tapi longkang depan rumah tak jalan. Ini bukan soal tak bersedia, tapi sistem perparitan memang dah tak mampu tampung.

"Kami harap pihak berwajib ambil tindakan segera," katanya.

979 mangsa banjir Selangor ditempatkan di 6 PPS

SHAH ALAM: Seramai 979 mangsa banjir membabitkan 268 keluarga kini berlindung di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di daerah Petaling dan Klang sehingga jam 8 malam ini.

Menurut portal rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), daripada jumlah itu, seramai 711 mangsa ditempatkan di tiga PPS di daerah Petaling, manakala 230 mangsa lagi berada di PPS di daerah Klang.

“Jumlah ini melibatkan 650 orang dewasa lelaki dan perempuan, manakala selebihnya terdiri daripada kanak-kanak serta bayi.

“Turut direkodkan, seramai 376 orang kurang upaya (OKU) dan 82 warga emas,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Exco Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi memaklumkan bahawa tiga PPS dibuka di daerah Petaling iaitu Dewan Kenanga Seksyen 28 MBSA; Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 dan Dewan Camelia, Putra Heights.

Manakala bagi daerah Klang, tiga PPS beroperasi di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Dewan Azalea Taman Seri Muda dan Dewan Bunga Bakawali Seksyen 35.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search