KUCHING, 20 Mac: Projek kolam takungan air (Kolam SUSTom) bernilai RM10 juta yang tertangguh akibat isu tapak warisan sejarah kuarters jururawat lama di Jalan Crookshank akan diterukan mengikut perancangan awal.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, Law Wee berkata, pihaknya kini akan menyambung semula perancangan serta kerja-kerja yang tertangguh dan akan memastikan Kolam SUSToM itu nanti memberi manfaat serta mengurangkan permasalahan banjir di kawasan sekitar Hospital Umum Sarawak.
“Anggaran dalam RM10 juta untuk kawasan ini dan kita akan membina kolam penampungan air (Kolam SUSToM) di kawasan ini. Jadi kami bersetuju untuk mengekalkan bangunan lama sebagai tapak warisan manakala segmen bangunan atau tapak baharu yang dibina selepas bangunan asal didirikan akan diroboh bagi kerja-kerja pembinaan kolam takungan air ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa lawatan tinjauan ke Kuarters Jururawat Lama di Kuching pada Khamis.
Untuk rekod, kerja-kerja pembersihan serta pembinaan kolam penampungan air yang sebelum ini ditangguhkan pada Ogos 2024 dijangka akan dimulakan semula dalam masa terdekat apabila isu kuarters jururawat lama di sini, berjaya di selesaikan oleh Kerajaan Sarawak dan Persatuan Warisan Sarawak.-TVS
KOTA KINABALU: Tiga daerah di pantai timur dan utara Sabah diisytihar kawasan bencana berikutan banjir yang melanda beberapa kampung sejak malam tadi.
Daerah terbabit ialah Sandakan, Beluran dan Pitas, masing-masing diisytihar banjir bermula tengah malam tadi dan awal pagi ini.
Di Sandakan, kawasan yang terjejas ialah di Kampung Sungai Memanjang dan ketika ini dua pusat pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka iaitu di Masjid Nur Iman, Sungai Memanjang dan Masjid Nur Hidayah, Kampung Garinono.
Pemindahan mangsa dilakukan sejak pagi tadi selepas kediaman penduduk mula dinaiki air dan tidak selamat untuk diduduki.
Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, seramai 65 mangsa sudah dipindahkan di dua PPS di Beluran sejak malam tadi.
Jumlah itu masing-masing 20 mangsa di Dewan Kampung Balaban Jaya dan 45 mangsa di Dewan Kampung Sungai Nangka, Beluran.
Bagaimanapun, di Pitas, tiada PPS yang dibuka setakat ini dan disahkan Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Asdie @ Mohd Faizal Hussin.
Banjir di tiga daerah terbabit berpunca daripada hujan berterusan sejak semalam yang menyebabkan paras air beberapa sungai meningkat hingga melimpahi tebing dan membanjiri kawasan rendah.
Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain banjir, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Taman Sentosa, Sandakan pada jam 9 pagi tadi.
From: Thaddius
PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri hingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, tiga negeri tersebut adalah Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah. “Di Negeri Sembilan, kawasan terlibat adalah Tampin selain keseluruhan Melaka.
“Turut terkesan adalah di Pedalaman Sabah (Sipitang, Tenom dan Nabawan) dan Tawau (Tawau, Kunak dan Semporna),” kata kenyataan itu.
Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE.
KLUANG – Penduduk di Kampung Contoh di Kahang di sini, diletakkan dalam keadaan bersiap sedia untuk dipindahkan pada bila-bila masa sekiranya air Sungai Kahang melimpah akibat hujan lebat sejak petang semalam.
Ketua Kampung Contoh, Baharudin Aman berkata, pihaknya sudah mengaktifkan pasukan pemantau dan tindak pantas yang terdiri daripada penduduk kampung untuk melakukan kerja-kerja memindahkan mangsa apabila diperlukan.
Katanya, bagaimanapun hasil tinjauan awal pagi tadi mendapati keadaan air Sungai Kahang masih belum menunjukkan kenaikkan pada paras bahaya yang boleh menyebabkan banjir.
“Hasil tinjauan pagi tadi, paras air Sungai Kahang adalah sekitar 13.7 meter namun dijangka akan meningkat ke paras bahaya iaitu 14.8 meter sekiranya hujan berterusan seperti sekarang.
“Sehingga sekarang terdapat dua laluan di dalam kampung sudah ditenggelami air dan tidak boleh dilalui apa-apa kenderaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Baharudin, pada masa ini pihaknya sudah menyiapkan Balai Raya Kampung Contoh sebagai tempat pemindahan sementara sekiranya berlaku banjir dalam tempoh terdekat. – KOSMO! ONLINE
JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengambil mudah atau melengahkan pelaksanaan projek tebatan banjir di Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia susulan keadaan banjir di Johor semakin membimbangkan berikutan hujan lebat berterusan lebih 24 jam.
Seramai 1,015 mangsa daripada 299 keluarga terjejas banjir telah dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat ini membabitkan Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
"Saya bersama Pegawai Daerah Johor Bahru dan Datuk Bandar Johor Bahru turut meninjau keadaan air sungai di kawasan terjejas dan telah mengarahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir untuk mengurangkan risiko banjir berulang yang sering melanda negeri ini.
"Saya akan memastikan segala usaha projek tebatan banjir yang dirancang dilaksanakan dengan segera demi kesejahteraan dan keselamatan Bangsa Johor.
"Saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di Johor berjalan lancar," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hujan lebat berterusan sejak awal pagi semalam di negeri ini meningkatkan kebimbangan lebih banyak kawasan rendah dan berhampiran sungai akan banjir.
Tinjauan di sekitar bandar raya ini turut mendapati laluan utama turut digenangi air menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat lorong terhalang.
Hujan lebat hingga esok
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, beliau telah menerima laporan daripada Jabatan Meteorologi Johor (MET Johor) hujan lebat berterusan dijangka berlaku hingga esok.
"Amaran hujan lebat berterusan pada tahap buruk dijangka berlaku di daerah Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
"Amaran hujan berterusan pada tahap waspada dijangka berlaku di Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat.
"Saya mohon seluruh rakyat Johor untuk sentiasa peka dengan sebarang arahan pihak berkuasa, dan terus menjaga keselamatan diri dan keluarga," katanya.