Taburan hujan cecah 116mm punca KL banjir kilat minggu lalu
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Banjir kilat yang melanda ibu negara minggu lalu berpunca daripada hujan lebat pada kadar 116 milimeter.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata hujan lebat kira-kira sejam itu adalah jauh lebih tinggi berbanding purata kadar biasa iaitu 80mm.
"Kita meramalkan keadaan mungkin lebih teruk selepas ini sehingga 120mm, maka kemungkinan banjir memang boleh berlaku," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci di Residensi Akasia Jubilee, di sini, hari ini.
Minggu lalu, beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat susulan hujan lebat kira-kira satu jam.
Antara kawasan terjejas adalah Jalan Sentul Pasar di Taman Bahagia, Jalan Batu Bata di Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh di Sentul dan Kampung Chubadak Dalam serta Batu 2 1/2 Jalan Ipoh.
Dr Zaliha berkata, pihaknya sudah menjalankan persiapan awal termasuk mitigasi banjir, selain mengenal pasti 15 'hot spot' banjir.
Katanya, beberapa tindakan seperti meletakkan amaran awal banjir turut dilaksanakan manakala amaran akan dikeluarkan kepada penduduk jika paras air naik mendadak.
"Kita juga bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam memantau keadaan cuaca dan dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
"Ini bagi memastikan agensi khususnya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja mengorek dan mendalamkan kawasan dikenal pasti sebagai 'hotspot' banjir.
"Antara perkara berterusan dilakukan ialah untuk kita pastikan banjir dapat dikawal dengan baik.
"Seramai 370 pekerja Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada dalam keadaan berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan jika berlaku banjir atau bencana berkaitan monsun dan sebagainya," katanya.
