OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

‘Kita bantu dulu, itu tanggungjawab kita sebagai manusia’

KUALA LUMPUR: Bagi lima warga Pakistan yang turut merasai bahang api daripada letupan saluran paip gas di Putra Heights dekat Subang Jaya 1 April, mereka sanggup menggadai nyawa sendiri kerana tidak sanggup meninggalkan mangsa kejadian begitu sahaja.

Kerana itu mereka terjun ke dalam Sungai Klang bagi menyelamatkan kira-kira 30 mang­sa yang cuba meninggalkan lokasi kebakaran dengan menyeberangi sungai tersebut.

Katanya, mereka mengambil masa lebih sejam membantu penduduk termasuk kanak-kanak yang menyeberangi su­ngai selebar 40 meter menuju ke kawasan selamat di Kampung Seri Aman, kira-kira satu kilo­meter dari lokasi kebakaran.

Atas keberanian itu mereka menerima penghargaan khas daripada Kedutaan Besar Pakis­tan di Malaysia semalam.

Khaista Nawab, 50; Bakht Munir, 37; Amir Nawab, 47; Rafiq Ullah, 25; dan Jaafar Ali, 40, masing-masing menerima anugerah khas atas tindakan berani dan luar biasa mereka.

Kesemua mereka berasal dari wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Pakistan dan telah menetap serta bekerja di sekitar ibu negara sejak tujuh hingga 20 tahun lalu.

Khaista yang bekerja sebagai buruh berkata, dia pada awalnya mahu menyelamatkan diri bersama pasport, namun niat itu berubah apabila melihat penduduk panik dan berlari menyelamatkan diri.

“Saya fikir, kenapa perlu lari? Kiamat nanti akan ditanya juga. Kita harus bantu orang walau nyawa sendiri jadi taruhan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Alfaro, di sini semalam.

Tambahnya, mereka mencari rezeki di negara ini dan apabila melihat kejadian itu, dia tidak fikir panjang untuk membantu mangsa.

“Kita bantu dulu, itu tanggungjawab kita sebagai manusia,” ujarnya.

Tindakan berani mereka turut mendapat perhatian rakyat tempatan dan liputan media antarabangsa serta Pakistan.

Sementara itu, pengarah butik pakaian Alfaro, Farooq Ahmad tampil menghulurkan sumbangan berupa tuala, sepasang pakaian dan wang tunai kepada kelima-lima mereka.

Katanya, Menteri Persekutuan Pakistan, Amir Muqam menghubunginya bagi menyam­paikan rasa bangga serta penghargaan kerajaan Pakistan terhadap tindakan mereka. – UTUSAN

‘Kami bingung mahu ke mana selepas PPS tutup?’

SUBANG JAYA: ‘Kami bingung dan pening memikirkan nasib kami selepas ini. Ke mana harus kami pergi selepas pusat pemindahan sementara (PPS) akan ditutup Sabtu dan Ahad ini?”

Itu keluhan mangsa-mangsa letupan paip gas yang masih tinggal di PPS Putra Heights. Sebanyak 90 keluarga bakal keluar selepas PPS itu akan ditutup sepenuhnya hujung minggu ini.

Menurut mangsa, Jaleha Jalil, 69, rumahnya hangus terbakar bersama empat lagi rumah anak-anaknya yang tinggal dalam satu kawasan.

“Masa terbakar saya melarikan diri ke belakang rumah dan masuk ke dalam sungai untuk menyejukkan badan dan menyelamatkan diri.

“Rumah memang teruk terbakar, memang sudah tidak boleh masuk, apa lagi mahu tinggal di sana, memang tidak boleh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, sehingga sekarang dia belum mendapatkan rumah sewa yang sesuai tambahan pula tempoh yang diberikan untuk tinggal di PPS hingga hari Ahad ini sahaja.

“Saya pun pening juga memikirkan mana hendak tinggal selepas ini. Rumah sewa belum dapat lagi.

“Anak-anak juga sedang ber­usaha mencari rumah sewa yang berdekatan namun dengar cerita tuan rumah sewa pula naikkan harga,” ujarnya.

Seorang lagi mangsa, Murnira Ibrahim, 44, hanya mampu mengalirkan air mata meratapi keadaan keluarganya sekarang selepas kejadian letupan kebakaran yang melenyapkan rumah, tiga biji motor dan kereta­nya.

“Sedih dan saya menangis bila teringat semula kejadian ini yang sekelip mata mengubah kehidupan kami sekeluarga. Semua lesap begitu sahaja tetapi saya kena kuat untuk meneruskan hidup,” katanya.

Murnira berkata, dia juga resah bila memikirkan keadaan tempat tinggalnya.

Namun katanya, dia mungkin akan berpindah ke rumah adiknya di Banting apabila PPS ini ditutup serta akan uruskan pemindahan sekolah anaknya.

“Saya memang bergantung dengan kerajaan dan pihak-pihak yang ikhlas memberikan bantuan kepada kami sepanjang tempoh kami menghadapi waktu sukar sebegini.

“Tiada apa yang boleh kami buat ketika ini, hanya tunggu apa langkah yang bakal dilakukan oleh pihak atasan sahaja untuk membantu mangsa-mangsa di sini,” katanya.

Bagi Muhammad Jalil, 50, setakat hari ini pihak berkuasa tempatan (PBT) masih belum memberikan mereka kebenaran untuk masuk melihat kawasan sekitar perumahan.

“Kalau ikutkan rumah saya itu terjejas dalam 60 peratus hingga 40 peratus sahaja tapi sebab mereka tidak bagi masuk dan hujan lebat menjadikan rumah itu memang terjejas teruk.

“Saya terpaksa cari rumah sewa lain dengan kadar segera, lagipun saya hanya kerja sendiri dan kebanyakan rumah sewa yang saya jumpa semua jauh dari tempat saya meniaga.

“Sepatutnya kerajaan kena cepat bertindak mencari rumah sementara untuk mangsa yang terjejas,” katanya.-UTUSAN.

Tanah runtuh hempap dinding rumah

Gombak: Tanah runtuh menghempap dinding sebuah rumah di Kampung Orang Asli, Batu 12 di sini, pagi ini.

Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 5.05 pagi.

Pengarah JBPM Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi membabitkan kekuatan enam pegawai serta anggota.

"Komander operasi memaklumkan kejadian tanah runtuh berkenaan menghempap dinding rumah.

"Namun tiada mangsa dilaporkan terbabit kejadian itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu, beliau berkata, anggota membuat pemantauan di kawasan sekitar dan memberi nasihat kepada penghuni.

Katanya, bomba kemudian memaklumkan kejadian kepada pihak polis serta pihak Pejabat Daerah dan Tanah Gombak untuk tindakan lanjut.

 

Jalan sepanjang 30 meter melintasi kawasan lot binaan, rumah ditutup

Jalan sepanjang 30 meter yang melintasi kawasan di antara lot pembinaan dan kawasan perumahan akan ditutup bagi membantu siasatan insiden letupan paip gas di Putra Heights, 1 April lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata jalan itu adalah tanah di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

“Sebelum ini jalan itu boleh digunakan, tetapi ia akan ditutup bagi memudahkan pihak polis melakukan siasatan serta pasukan teknikal menjalankan cerapan data bagi mengetahui dengan lebih lanjut insiden dan kejadian terbabit.

“Ia juga untuk kita mengetahui siapa yang wajar bertanggungjawab terhadap masalah berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, semua mangsa tragedi yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia dibenarkan pulang dan pusat berkenaan ditutup bermula malam tadi.

Beliau berkata, mangsa di PPS Masjid Putra Heights pula akan dibenarkan pulang secara berperingkat sehingga akhir minggu ini.

“Mesyuarat menetapkan rumah yang alami kerosakan kecil, penghuninya akan dibenarkan untuk balik, manakala rumah yang mempunyai kerosakan serius, kita akan lihat bagaimana proses seterusnya.

“Akan ada satu sumbangan standard untuk membantu membaik pulih rumah berkenaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pemulihan,” katanya.

Amirudin berkata, proses pendaftaran homestay Airbnb bermula malam tadi dan dijangka selesai sepenuhnya Ahad ini.

Katanya, Majlis Agama Islam Selangor turut menyampaikan sumbangan bakul makanan yang boleh membantu mangsa dalam tempoh tiga minggu hingga sebulan.

“Keluarga ini akan turut diberikan bantuan makanan asas seperti beras, tepung, dan minyak masak secara percuma selama sebulan,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, semua Ahli Majlis Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka untuk membantu mangsa tragedi letupan paip gas di Putra Heights.

Katanya, potongan gaji itu juga dilaksanakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan penjawat awam gred 48 dan ke atas.

Kerajaan beri sumbangan

Bagi menambah dan meningkatkan lagi solidariti, katanya, rakyat Selangor, terutama dalam kalangan penjawat awam, pihak majlis mesyuarat kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan sumbangan.

“Berikutan itu semua EXCO akan menyumbang RM1,000 manakala ADUN akan memberikan RM200, Ahli Majlis (RM100) dan penjawat awam yang bergred 48 dan ke atas akan menyumbang RM50 daripada gaji mereka.

“Secara keseluruhannya, anggota pentadbiran awam negeri akan menyumbang sebanyak anggaran RM102,050 yang disumbangkan kepada Tabung Prihatin,” katanya.

Dalam kejadian 1 April lalu, saluran utama paip gas milik PETRONAS terbakar dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.

Sebanyak 437 kediaman di Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru dilaporkan terkesan akibat insiden itu, dengan 81 rumah musnah sepenuhnya, 81 lagi rosak sebahagian dan 57 lagi terjejas akibat kebakaran tetapi struktur masih utuh.

Baki 218 rumah lagi sudah diperiksa dan didapati tidak terjejas dengan 151 rumah diisytiharkan selamat untuk didiami semula.

 

 

Insiden letupan paip gas medan perbaiki SOP, pelan kecemasan

Kebakaran dan kemusnahan harta benda akibat letupan paip bekalan gas di Putra Heights baru-baru ini meninggalkan kesan mendalam, sekali gus menimbulkan pelbagai iktibar dan persoalan.

Platform media sosial kini dihujani dengan teks dan video yang perlu diberi perhatian serius. Sebahagian daripadanya mampu membantu dalam siasatan serta memperbaiki langkah keselamatan sedia ada.

Namun, lebih penting adalah memastikan satu tindakan sistematik dan telus dilaksanakan untuk menguruskan kes pasca letupan ini, bebas daripada sebarang kepentingan tertentu dan paling penting berintegriti.

Satu daripadanya adalah proses membaik pulih paip yang harus dilakukan dengan penuh ketelitian meskipun ada tekanan kerana terdapat lebih 200 syarikat atau pelanggan terjejas operasi mereka.

Walaupun demikian, kerja baik pulih perlu mengikut spesifikasi, piawaian dan prosedur operasi standard (SOP) industri serta ciri keselamatan demi kepentingan semua pihak.

Mangsa bencana ini iaitu rakyat, industri serta pihak berkepentingan pada peringkat serantau dan antarabangsa tentunya menantikan kaedah siasatan dijalankan. Insiden ini bukan sahaja serius, tetapi sangat berkait rapat dengan kredibiliti sistem tadbir urus pihak terbabit.

Oleh itu, amat penting untuk memastikan hasil keputusan siasatan kelak dapat diterima semua pihak sebagai hasil kerja profesional dan berintegriti.

Letupan paip gas di Putra Heights harus diklasifikasikan sebagai kes berprofil tinggi, walaupun kita menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mencari punca sebenar kejadian. Namun, jelas insiden ini memberi kesan negatif kepada banyak pihak dan berpotensi menjejaskan banyak perkara. Oleh itu, siasatan perlu dilakukan dengan penuh ketelusan tanpa ada ruang untuk sebarang keraguan mengenai cara dan hasilnya.

Pada masa sama, mereka yang bertanggungjawab harus dikenakan hukuman setimpal dan memastikan tiada pihak boleh diri daripada tanggungjawab. Kebakaran paip gas ini pasti ada punca yang perlu disiasat.

Dicadangkan supaya siasatan ini tidak hanya dilihat sebagai satu proses pendakwaan. Sebaliknya, hasil siasatan perlu digunakan untuk merumuskan analisis dan set penyelesaian terbaik, termasuk menambah baik isu teknikal dan pencegahan supaya perkara sama dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan.

Siasatan ini seharusnya dijadikan satu testimoni dan iktibar sama ada untuk penggiat industri, sektor perundangan termasuk penggubalan prosedur baharu pada masa akan datang.

Selain itu, pengurusan pasca letupan yang membabitkan mangsa juga sangat kritikal. Perlu ada pihak tampil ke hadapan untuk mengurus dan memastikan hak penduduk terjejas dikembalikan.

Apakah hak dan tuntutan mereka perlu dibatasi dengan syarat seperti memiliki insurans? Jangan lupa nasib penduduk kampung berhampiran yang turut terjejas.

Penting untuk ada pihak memastikan pampasan dan ganti rugi akan diberikan kepada mangsa adalah setimpal dan adil.

Selanjutnya, jika ada penduduk berasa tidak lagi selamat untuk tinggal di kediaman mereka kerana trauma akibat kejadian itu, apakah mereka berhak menuntut untuk dipindahkan.

Jika tuntutan ini tidak dapat dipenuhi, bagaimana kita dapat meyakinkan mereka bahawa keselamatan mereka akan terjamin pada masa depan?

Isu keselamatan penduduk yang tinggal berhampiran jajaran paip gas yang terjejas adalah antara perkara penting diberi perhatian. Sejauh manakah jaminan keselamatan mereka. Mungkin perlu ada kajian semula mengenai jarak penampan sedia ada.

Laksana audit, analisis forensik inklusif

Berdasarkan impak letupan, ada kemungkinan perlu ada penguatkuasaan zon penampan yang lebih realistik, bukan hanya di kawasan penempatan, tetapi juga di sepanjang jajaran gas Semenanjung.

Pemeriksaan lokasi kejadian untuk menilai impak serta kemusnahan juga amat penting sebagai panduan dan perancangan projek paip gas akan datang

Pemeriksaan lokasi kejadian untuk menilai impak serta kemusnahan juga amat penting sebagai panduan dan perancangan projek paip gas akan datang.

Sebagai kawasan berisiko tinggi, satu set kawalan dan jaminan keselamatan lebih ketat perlu diwujudkan untuk melindungi saluran paip gas nasional ini.

Oleh itu, pihak yang terbabit perlu menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sepanjang jajaran paip gas untuk mengesan sebarang aktiviti berisiko seperti laluan kenderaan, kegiatan pertanian atau pencerobohan. Kerajaan juga perlu menyemak semula aktiviti yang perlu dilarang berhampiran jajaran paip gas.

Justeru, satu audit dan analisis forensik yang inklusif berdasarkan input daripada semua pihak perlu dilakukan. Audit ini bukan sekadar mencari punca ketirisan dan kelemahan, tetapi juga memperkasakan SOP serta mengemukakan langkah penambahbaikan melalui pendekatan lebih sistematik.

Ini bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan sekitar jajaran paip gas serta pencegahan bencana sama pada masa depan. Bagi jangka masa panjang, pemilik operator saluran paip dan pihak berkuasa perlu berganding bahu melaksanakan pemantauan berkala.

Teknologi canggih termasuk penggunaan dron boleh dimanfaatkan dalam pemantauan ini, terutama di kawasan yang sukar dicapai.

Strategi jangka panjang juga perlu dilaksanakan dengan membabitkan kerjasama antara pihak berkuasa, syarikat gas dan komuniti setempat yang berperanan sebagai mata dan telinga untuk keselamatan kawasan berkenaan.

Tidak mustahil juga untuk membina pagar sepanjang jajaran dan membina pos kawalan pada setiap jarak yang munasabah untuk memantau aktiviti keluar masuk zon berkenaan.

Syarikat pemilik paip gas pula seharusnya mempunyai sistem pengesanan kebocoran, namun mungkin perlu ditambah dengan sistem pengesanan pencerobohan kawasan untuk aktiviti tidak dibenarkan.

Kita harus mengkaji semula pelan tindak balas kecemasan yang ada untuk memastikan keberkesanannya. Ini membabitkan pelan pemulihan bencana, sistem membendung dan penutupan serta pasukan tindak balas bahan berbahaya.

Pihak terbabit juga perlu mengambil kira faktor bencana alam seperti gempa bumi, hakisan, banjir dan kebakaran dalam semakan ini.

Mengambil sisi positif daripada kejadian ini, semua pihak harus membuat semakan semula terhadap sistem, prosedur, etika, piawaian dan integriti yang ada.

Melindungi jajaran paip gas nasional kini memerlukan pendekatan lebih holistik, menggabungkan penyelesaian manusia dan teknologi, langkah keselamatan fizikal serta pelan kontingensi.

Tindakan susulan yang perlu selepas kejadian di Putra Heights adalah semakan dan pemantapan prosedur, peraturan serta akta berkaitan demi menjaga kredibiliti tadbir urus serta melindungi keselamatan orang ramai, termasuk industri.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search