PUTRAJAYA: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diarah mengumpulkan data syarikat, kilang dan pekerja terjejas dengan penutupan saluran paip gas susulan letupan di Putra Heights, pada 1 April lalu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun tumpuan kini bagi mengenal pasti punca insiden, kerajaan juga mahu meneliti jumlah syarikat, kilang dan pekerja yang terjejas dengan tragedi itu.
Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta kedua-dua kementerian untuk mendapatkan senarai penuh kilang dan syarikat yang terkesan.
Malah katanya, Suruhanjaya Tenaga (ST) juga akan bertemu dengan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) bagi membincangkan isu terbabit.
“Bagi pihak kerajaan, sudah pasti usaha memperbaiki saluran tersebut dan mengembalikan bekalan gas bagi syarikat-syarikat ini menjadi satu keutamaan.
“Kita juga memahami bahawa proses siasatan masih berjalan dan tertakluk kepada beberapa aspek dalam proses siasatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, semalam.
Utusan Malaysia melaporkan, empat stesen janakuasa utama di Lembah Klang terjejas ekoran tragedi letupan paip gas berkenaan.
Empat stesen tersebut ialah Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Janakuasa Putrajaya.
Suruhanjaya Tenaga bagaimanapun berkata, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.
Antaranya, pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu dan kesiapsediaan pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO.
Sementara itu, Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) memaklumkan, susulan insiden tersebut kawasan penyekatan gas telah diperluas ke lima lokasi baharu melibatkan Merbau, Tronoh, Perai, Junjung dan Hutan Melintang.
Katanya, perluasan kawasan itu dijangka lebih banyak pelanggan mengalami gangguan perkhidmatan sepanjang tempoh penyekatan yang ditetapkan sehingga 20 April ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula dilaporkan berkata, nilai kerugian dan kerosakan kediaman dalam insiden itu dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.
Jumlah itu berdasarkan pemerhatian dilakukan pasukan teknikal diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden tersebut.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati, 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, dan sebanyak 218 rumah lagi tidak terjejas.
Katanya, tindakan pantas pasukan keselamatan seperti bomba dan bantuan orang awam termasuk penduduk, menyelamatkan harta benda bernilai dianggarkan berjumlah RM285.9 juta. – UTUSAN
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menubuhkan ‘Special Task Force’ bagi membantu mangsa dalam insiden kebakaran di Putra Heights, minggu lalu.
KPKT menerusi kenyataannya hari ini berkata, pasukan itu meliputi semua agensi di bawah kementeriannya, khususnya Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
“Task force berkenaan telah menghasilkan pelan tindakan untuk membaik pulih dan membina semula kediaman mangsa yang terjejas akibat kejadian kebakaran tersebut.
“Pelan tindakan berkenaan telah diserahkan kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini.” katanya menerusi kenyataan itu.
KPKT turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan bencana.
“Pada masa yang sama, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memberi bantuan penuh kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja
pembersihan di kawasan bencana tersebut.” memetik kenyataan itu lagi.
Kerja-kerja pembersihan berkenaan akan dilaksanakan oleh kedua-dua agensi bermula 12 dan 13 April.
KUALA LUMPUR, 10 April- Seramai 290 orang daripada 96 keluarga terjejas banjir di Johor, setakat pada pukul 6.00 pagi tadi.
Jumlah berkenaan tidak berubah berbanding pada pukul 12.00 tengah malam tadi.
Menurut Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), banjir hanya melibatkan daerah Batu Pahat.
"Di Batu Pahat, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah berkenaan," menurut kenyataan tersebut.
Setakat ini, hanya Johor yang terjejas dengan banjir.
Sejumlah 190 rumah terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, 1 April lalu, kembali dihuni mangsa selepas pemeriksaan pihak bertanggungjawab mendapati ia selamat diduduki.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata setakat semalam, sebanyak 487 rumah terjejas diperiksa 12 agensi teknikal termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Air Selangor Berhad, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan pihaknya.
“Daripada jumlah itu, rumah selamat diduduki sebanyak 328 buah dan 190 rumah telah dihuni,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Dalam pada itu, Hussein berkata sebanyak 306 rumah terjejas telah dibekalkan tenaga elektrik oleh TNB.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati kawasan berkenaan masih dikawal ketat oleh anggota polis yang bertugas dan hanya penduduk serta pihak mempunyai pas khas dibenarkan masuk ke kawasan terjejas.
Difahamkan, Hussein akan mengadakan sidang media pada 4 petang ini bagi memaklumkan perkembangan semasa kerja menstabilkan tanah di ‘ground zero’, susulan terbentuknya kawah sedalam 8m dan berkeluasan 70x80m susulan kebakaran berkenaan.
Terdahulu, Hussein memaklumkan kerja menstabilkan tanah mencapai 30% selesai.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi pada Aidilfitri kedua itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30m dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah celsius, mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
SUBANG JAYA: Sebanyak 190 rumah yang sebelum terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran saluran paip gas di Putra Heights di sini, dapat diduduki semula oleh pemiliknya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata sebanyak 12 agensi sahabat teknikal termasuk pasukan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan kerja-kerja siasatan, pemulihan dan penilaian di kawasan terjejas.
Beliau berkata, antara agensi lain yang terbabit ialah Petronas; Koridor Utiliti Selangor (KUSEL); Air Selangor; Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP); Jabatan Kerja Raya (JKR); Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ); Indah Water; Telekom Malaysia; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Syarikat Perumahan Negara Bhd dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
"Setakat semalam (Rabu), sebanyak 487 rumah yang terjejas telah di periksa.