OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Bantuan bencana Nadma RM14.7 juta

Kerajaan Persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyalurkan peruntukan bantuan bencana kepada Kerajaan Selangor berjumlah RM14.7 juta tahun ini.

Ketua Pengarah Nadma Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, peruntukan itu bagi pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas akibat bencana dan BWI Kematian RM10,000 kepada waris mangsa bencana yang kehilangan nyawa.

Beliau berkata bantuan berkenaan turut disediakan bagi membantu KIR mangsa bencana yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya minggu lalu.

“Pejabat Daerah dan Tanah Petaling selaku Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengagihkan bantuan berdasarkan senarai nama KIR mangsa bencana berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, Khairul Shahril berkata, setiap rumah terkesan akibat bencana itu turut menerima bantuan tunai RM10,000 yang disalurkan kepada pemilik rumah yang musnah sepenuhnya, iaitu RM5,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM5,000 daripada Petronas.

“Pemilik yang rumahnya separa musnah menerima sumbangan RM5,000, iaitu RM2,500 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM2,500 daripada Petronas,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor turut bersetuju memberikan bantuan sewaan RM2,000 sebulan selama enam bulan kepada setiap keluarga yang terkesan untuk menyewa rumah sementara kediaman mereka diperbaiki ataupun dibina semula. “Peruntukan ini mencerminkan tanda keprihatinan Kerajaan Madani kepada mangsa bencana di Putra Heights. Bagi melicinkan proses pengagihan bantuan, semua sumbangan disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Selangor,” katanya.

Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada jam 8.10 pagi Selasa minggu lalu mengakibatkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah lebih 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya. – Bernama

Kebakaran Putra Heights: Selangor sasar kumpul RM500k dengan potongan gaji

Sebagai tanda solidariti dengan mangsa kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengumumkan pemotongan gaji Adun dan penjawat awam berpangkat tinggi untuk disalurkan ke tabung untuk mangsa.

Amirudin berkata kerajaan negeri menyasarkan untuk mengumpul sekurang-kurangnya RM500,000 dalam Tabung Prihatin Selangor.

"Bagi tujuan ini, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan menyumbang RM1,000 daripada gaji mereka, keseluruhan Adun termasuk pembangkang RM200, manakala bagi penjawat awam Gred 48 ke atas RM50 yang akan digunakan bagi membantu proses pemulihan yang direncana kerajaan negeri," katanya.  

Amirudin berkata sebanyak 270 rumah di sana disahkan selamat dan sedia untuk diduduki semula, dan pemilik rumah juga boleh membuat kerja-kerja pembaikan kecil.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan berhubung urusan baik pulih kediaman mangsa, Isnin minggu depan.

"Rumah-rumah yang ada masalah kecil ini kita akan lihat nanti macam mana proses baik pulihnya. 

“Kalau tidak begitu besar, akan ada satu sumbangan standard kepada mereka yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemulihan," katanya lagi.

Selain itu, kerja pembersihan akan dijalankan di kawasan terjejas pada hujung minggu ini dengan sokongan kira-kira 1,000 sukarelawan.

 
Pada 6 April lalu, sebanyak 219 buah rumah dilaporkan rosak akibat kebakaran yang berlaku empat hari sebelumnya.

Sementara itu, Amirudin berkata seramai 219 daripada 469 ketua isi rumah yang terjejas telah menerima bantuan segera yang diumumkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 1 April.

Pejabat Daerah Petaling masih dalam proses memuktamadkan pengesahan individu yang terjejas dan dijangka selesai Jumaat ini.

Berhubung pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Amirudin berkata ia akan ditutup pada pukul 10 malam ini selepas menempatkan 60 orang daripada 16 keluarga yang terjejas.

Ini berikutan bantuan yang diberikan oleh kerajaan, dengan beberapa keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Kerajaan negeri mula menawarkan perumahan seperti Airbnb serta tawaran duit sewa, dan proses pemindahan penduduk dari PPS berkenaan ke unit rumah yang ditawarkan bermula hari ini.

"Operasi PPS Masjid Putra Heights yang kini menempatkan 87 keluarga pula dijangka ditamatkan pada Ahad ini," katanya lagi.

Amirudin menambah Majlis Agama Islam Selangor pula akan menyediakan bakul makanan untuk keluarga terjejas yang dijangka mencukupi untuk keperluan selama sebulan.

Letupan Putra Heights: Gas Malaysia umum pengeroperasian semula Stesen Serdang City Gate

KUALA LUMPUR: Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) mengumumkan pengoperasian semula Stesen Serdang City Gate yang ditutup sementara susulan tragedi kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, minggu lalu.

Gas Malaysia menerusi satu kenyataan di sini, hari ini, memberitahu perkara itu dimaklumkan oleh pembekal PETRONAS Gas Berhad (PGB) bagi menyokong proses pemulihan dan mengukuhkan kestabilan bekalan gas di kawasan Lembah Klang.

"Pengoperasian semula itu dapat meningkatkan bekalan gas terutama kepada pelanggan industri di kawasan terjejas seperti Putrajaya, Kuala Lumpur, Bangi, Balakong dan Seri Kembangan.

"Melalui perkembangan itu, hanya empat stesen yang sedang dalam pemulihan oleh PGB dalam memastikan usaha memulihkan bekalan gas sepenuhnya diteruskan," kata kenyataan itu.

Menurut Gas Malaysia, jumlah pelanggan yang terjejas kini berkurangan kepada 275 berbanding 299 sebelum ini seperti diumumkan Suruhanjaya Tenaga.

Katanya, pengurangan bekalan gas bagaimanapun dijangka berterusan sehingga 20 April ini berdasarkan notis oleh PGB.

"Kami memahami cabaran dihadapi oleh pelanggan yang terpaksa mengehadkan operasi disebabkan gangguan bekalan gas tidak dijangka," katanya.

Dalam pada itu, Gas Malaysia menafikan insiden kebakaran itu membabitkan kemudahan milik syarikat berkenaan sebaliknya ia berlaku di infrastruktur milik PGB.

Gas Malaysia kekal komited memastikan pengedaran gas asli yang selamat dan boleh dipercayai melalui pembinaan saluran paip yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Katanya, mengurangkan kesan kepada pelanggan, memastikan keselamatan awam dan mengekalkan integriti perkhidmatan kekal menjadi keutamaan Gas Malaysia.

Banjir kilat landa tiga buah kampung di Jeli, 36 penduduk terjejas

JELI: Hujan lebat selama tiga menyebabkan Kampung Lakota, Kulim dan Air Putih dilanda banjir kilat sekali gus menyaksikan sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan seramai 36 mangsa.

Ketua Polis Daerah Jeli Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, setakat pukul 8 malam tadi kesemua mangsa dari 11 keluarga itu kita berlindung di PPS Kampung Lakota.

“Susulan itu, pihak kami (Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli) telah membuat lawatan PPS untuk melihat keadaan mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini sebentar tadi.

Kamarulzaman memberitahu, bagaimanapun air mulai surut pada pukul 9 malam tadi.

Katanya, kesemua penduduk yang terjejas akan dibenarkan pulang sekitar pukul 8 pagi esok.-UTUSAN

Banjir kilat di Jeli, 36 penduduk bermalam di PPS

JELI - Seramai 36 penduduk di tiga kampung iaitu Kampung Lakota, Kulim dan Air Puteh di sini terpaksa berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kawasan rumah mereka dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, kesemua mangsa daripada 11 keluarga itu ditempatkan di PPS Kampung Lakota setakat jam 8 malam.

"Kesemua pendaftaran mangsa yang terlibat telah dilakukan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jeli," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Menurut beliau, pihaknya telah membuat lawatan ke PSS untuk melihat keadaan mangsa banjir dan memastikan segala persiapan diatur dengan baik.

Katanya, polis mengambil berat keadaan mangsa banjir yang telah berpindah ke PPS.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search