OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Jumlah mangsa banjir di Perak berkurangan, Kelantan sedikit meningkat malam ini

KUALA LUMPUR: Mangsa banjir di Kelantan yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sedikit meningkat malam ini, manakala di Perak pula situasi bencana itu bertambah baik dan jumlah mangsa di Johor kekal tidak berubah.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 38 orang daripada 10 keluarga setakat jam 8 malam, berbanding 31 orang pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa adalah dari daerah Pasir Mas dan kini ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tok Deh.

Sementara itu, portal Info Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras air Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi tahap bahaya tetapi menunjukkan trend menurun iaitu 9.39 meter (m) berbanding 9.80m pada pagi tadi.

Di Perak, mangsa banjir malam ini berkurangan kepada 307 mangsa daripada 59 keluarga, berbanding 399 mangsa daripada 86 keluarga pagi tadi dan mereka ditempatkan di PPS Dewan Kampung Asli Chinggung di daerah Muallim.

Sekretariat Jawatankuasa Bencana Negeri Perak memaklumkan bahawa PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah, yang sebelum ini menempatkan 21 mangsa, telah ditutup sepenuhnya pada jam 2 petang tadi.

Di Johor, jumlah mangsa banjir kekal seramai 69 orang daripada 17 keluarga sejak jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan semua mangsa terjejas masih berada di dua PPS yang beroperasi di daerah Kota Tinggi.

"Sebanyak 42 orang daripada 12 keluarga berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gembut, manakala 27 orang daripada lima keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Perpat. Selain itu, hanya stesen Sungai

Simpang Kanan di Parit Belemam, Batu Pahat, merekodkan paras amaran dengan bacaan 2.31m," katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa keadaan cuaca diramalkan cerah di enam daerah, manakala Pontian, Segamat dan Kulai dijangka mendung dan Batu Pahat pula diramalkan hujan pada malam ini.

Amaran hujan berterusan di empat negeri mulai 4 Januari

SHAH ALAM - Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi seluruh Terengganu selain beberapa daerah di Kelantan, Pahang dan Johor bermula 4 hingga 6 Januari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, antara lokasi yang melibatkan Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

 

Menurutnya, di Pahang pula membabitkan Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin manakala di Johor melibatkan Mersing serta Kota Tingga.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

“Talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Amaran hujan berterusan tahap waspada di 4 negeri mulai Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi seluruh Terengganu selain beberapa daerah di Kelantan, Pahang dan Johor bermula Sabtu ini hingga Isnin depan.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata di Kelantan membabitkan daerah Tumpat, Psasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Katanya, antara kawasan yang terbabit di Johor termasuk Mersing dan Kota Tinggi.

“Di Pahang pula, antara kawasan terjejas akibat cuaca itu termasuk Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

“Talian hotline METMalaysia 1-300-22-1638 boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut,” katanya.

Banjir di Muallim, 400 mangsa pindah ke 2 PPS malam tadi

TANJUNG MALIM: Seramai 400 mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka di Kampung Asli Cinggong dan Kampung Sungai Sekiah, dekat Behrang, dinaiki air malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Muallim, Kapten Shahrizal Hussin, berkata hujan lebat dan berterusan sejak petang semalam menyebabkan paras air Sungai Cinggong naik dan melimpah ke kawasan kampung berkenaan.

Beliau berkata, seramai 380 mangsa membabitkan 77 keluarga dipindahkan ke PPS dekat Dewan Kampung Asli Cinggong.

"Semua mangsa dilaporkan selamat dan dipindahkan ke dewan berhampiran kampung berkenaan.

"Satu lagi kejadian banjir berlaku di Kampung Sungai Sekiah membabitkan 20 penduduk dipercayai akibat limpahan Sungai Sekiah berhampiran kampung berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Shahrizal berkata, 20 mangsa banjir membabitkan 10 keluarga itu dipindahkan ke PPS Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Sekiah.

Katanya, banjir ini menjadikan 400 mangsa membabitkan 87 keluarga kini berli dung di dua PPS di daerah Muallim.

Jambatan ditenggelamkan banjir, penduduk gadai nyawa guna titi

KUALA KRAI: Lebih 50 penduduk Kampung Sungai Taku, di sini, terpaksa bergadai nyawa melalui titi kecil selepas jambatan di kampung berkenaan masih ditenggelami banjir sejak lebih sebulan lalu.

Tinjauan mendapati penduduk terpaksa mengambil tindakan itu walaupun mereka sedar risiko bahaya, namun tidak ada pilihan memandangkan hanya itu satu-satunya jalan utama yang digunakan untuk ke kampung berdekatan dan juga ke bandar Kuala Krai.

Menurut Mawardi Zulkifli, 34, sejak awal November lalu, jambatan konkrit yang digunakan penduduk sudah tidak boleh dilalui kerana ditenggelami banjir setinggi lebih lima meter akibat limpahan Sungai Taku.

“Keadaan cuaca yang tidak menentu selain hujan lebat menyebabkan sehingga kini jambatan Kampung Sungai Taku masih lagi tenggelam.

“Justeru, bagi memastikan kehidupan harian penduduk tidak terjejas selepas jambatan ini tenggelam, kami sepakat mengadakan gotong-royong untuk membina titi sementara menggunakan pokok kelapaian sepanjang 20.12 meter dan papan serta tali kabel sebagai pemegang,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Taku.

Katanya, inisiatif berkenaan diambil untuk membantu memudahkan pergerakan keluar masuk penduduk terutama untuk menghantar anak-anak ke sekolah dan mereka terpaksa meninggalkan motosikal di seberang sungai.

“Malah ada juga penduduk yang mendayung perahu untuk menyeberang sungai kerana ada di antara mereka berasa takut untuk melalui titi kecil ini.

“Saya dan penduduk kampung di sini amat berharap pihak yang berkaitan lebih prihatin terhadap permasalahan penduduk terutamanya di kawasan pedalaman dan tidak menjadikan ketiadaan peruntukan sebagai alasan.

“Kami mahu jambatan konkrit berusia 40 tahun ini yang sering ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh dinaik taraf sekaligus memudahkan urusan harian penduduk,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Mujid Che Hassan, 49, berkata, titi sementara yang dibina sejak lebih sebulan lalu pernah ditenggelami banjir menyebabkan penduduk di sini terputus hubungan selama beberapa hari.

“Kedudukan kampung kami yang paling hujung menyebabkan banyak pihak tidak mengetahuinya dan hanya terdapat beberapa buah kediaman sahaja,” katanya.

Katanya, dalam keadaan kami memerlukan, baru-baru ini terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) datang mengagihkan bantuan di kampung berdekatan termasuk Kampung Sungai Taku.

“Dalam lawatan yang diadakan, mereka bersimpati dengan keadaan penduduk di sini yang terpaksa bergadai nyawa menggunakan titi untuk menyeberang sungai.

“Bagi memastikan keselamatan penduduk terutamanya kanak-kanak, kumpulan NGO berkenaan sanggup membantu kami membina jambatan sementara yang lebih selamat sementara menunggu peruntukan yang diperlukan untuk menaik taraf jambatan konkrit yang tenggelam itu,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search