OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Abadi banjir terburuk landa Tumpat dalam dikir barat

Abadi banjir terburuk landa Tumpat dalam dikir barat

KOTA BHARU - Banjir terburuk dalam tempoh 50 tahun melanda daerah Tumpat pada November tahun lalu memberi kesan mendalam kepada penduduk dan diabadikan melalui dikir barat.

Situasi menyedihkan itu dipahatkan di dalam lagu Banjir Kelantan 2024 ciptaan Tok Jogho, Mie Delima Merah yang turut terjejas pada banjir terbabit dan dipersembahkan oleh kumpulan dikir barat Nagasari dari Morak.

Pengurus kumpulan dikir barat Nagasari, Muhamad Affandi Mohd Gzali berkata, tambah unik apabila lagu terbabit tular di media sosial pada Disember tahun lalu dan kini mendapat permintaan tinggi untuk dipersembahkan ke undangan kenduri kahwin juga acara-acara keraian lain.

“Bait-bait lirik yang disampaikan dalam loghat Kelantan lagu ini menceritakan bencana banjir hingga menyebabkan kemusnahan beberapa rumah penduduk di Tumpat.

“Liriknya menyentuh hati pendengar dan sering mendapat permintaan untuk dipersembahkan walaupun dalam undangan majlis perkahwinan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Muhamad Affandi atau dikenali dengan nama Fendi Putra Tunggal, lagu Banjir Kelantan 2024 itu akan menjadi rujukan dan kenangan masa depan terhadap kejadian bencana tragis melanda daerah itu.

Katanya, kumpulan dikir barat Nagasari ditubuhkan pada 2017 itu dianggotai 20 belia berusia antara 17 hingga 35 tahun termasuk seorang lagi Tok Jogho, Nik Asmara, penyanyi, Fakru Anak Manja dan Alip Pertama Delima.

“Kami kerap mendapat undangan selepas memperkenalkan Banjir Kelantan 2024 lebih-lebih lagi pada musim cuti persekolahan.

“Seminggu sebanyak tiga kali undangan perlu dipenuhi di sekitar Kelantan, manakala sesi latihan dikir barat pula dilakukan pada waktu malam,” kata Muhamad Affandi.

Ujarnya, keahlian lima remaja belasan tahun dalam kumpulan itu juga adalah satu usaha penggerak seni dikir bakat sepertinya mengajak golongan itu menjalankan aktiviti yang sihat berbanding terjebak dengan gejala negatif lain seperti lumba haram.

“Kami di kumpulan pendikir sangat mengalu-alukan penyertaan remaja dalam aktiviti dikir barat.

“Selain dapat mengembangkan minat mereka, masa luang juga terisi dengan aktiviti bermanfaat,” katanya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search