OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Warga emas hanyut semasa redah banjir ditemukan lemas

KUANTAN - Seorang lelaki yang juga pemilik kedai 3D Sungai Lembing ditemukan lemas selepas dipercayai hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi jalan yang dinaiki air di pekan Sungai Lembing pada Rabu malam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa, Lee Yie Chong, 62, ditemui terdampar di kawasan longkang di Kampung Jelihan kira-kira 100 meter dari lokasinya dihanyutkan dan dipercayai sudah meninggal dunia. 

"Ekoran penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta-merta.

“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi Khamis.

 Sebelum itu, Wan Mohd Zahari berkata, Balai Polis Sungai Lembing menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 7.20 malam daripada mangsa.

Menurutnya, mangsa meminta bantuan supaya diselamatkan susulan terperangkap dalam banjir kilat yang berlaku berhampiran kedai 3D di kawasan berkenaan.

"Mangsa bersama isteri, Kwong Kwai Fun, 63, dan anaknya, Kwong Kwai Heu, 37, berjaya diselamatkan.

"Yie Chong disyaki hilang semasa mereka cuba menyeberang jalan dinaiki air yang turun dari kawasan bukit dan limpahan air Sungai Lembing," katanya.

Beliau menjelaskan, hasil siasatan awal mendapati sebelum kejadian mereka sekeluarga berada di kedai untuk mengemas dan memindahkan barang-barang ke tingkat atas bangunan.

Beliau menambah, selepas mengemas dan menutup kedai, mereka meredah air banjir menuju ke kereta yang diletakkan di tempat tinggi di seberang jalan untuk balik ke rumah.“Semasa sedang meredah air banjir mangsa memberitahu bahawa dia telah penat untuk meredah dan semasa isterinya menoleh ke belakang mendapati mangsa sudah hilang dipercayai dihanyutkan arus deras,” katanya.

3 sungai melepasi paras bahaya di Terengganu

Susulan Empangan Muda berselut

Sungai Chalok di Jambatan Chalok catat bacaan 8.58m.

Kemaman jadi daerah terbaharu dilanda banjir This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Kuala Terengganu: Tiga sungai melepasi paras bahaya, lima paras amaran, manakala tiga paras waspada di Terengganu.

Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, tiga sungai melepasi paras bahaya adalah dua di Setiu dan satu di Hulu Terengganu.

Di Setiu, ia membabitkan sungai di Kampung Besut dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok masing-masing dengan bacaan 17.99 meter (m) dan 8.58m serta Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu (21.26m).

Lima sungai yang melepasi paras amaran adalah dua sungai di Hulu Terengganu iaitu Sungai Peneh di Kampung FELDA Mengkawang (37.15m) dan Sungai Telemong di Kuala Ping (18.96m); dua di Kemaman iaitu Sungai Tebak di Jambatan Tebak (18.25m) dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik (1.99m) serta Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu (12.03m).

Sementara itu, tiga sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (33.5m); sungai di parit utama Padang Kemunting, Kuala Nerus (3.25m) dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.14m).

Banjir di Marang pulih Sementara itu, banjir di daerah Marang pulih apabila semua mangsa yang terjejas dibenarkan pulang secara berperingkat pagi semalam.

Bagaimanapun, Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir dengan pembukaan satu pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, 58 mangsa daripada 14 keluarga berada di lima PPS di daerah Dungun dan Kemaman.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Dungun merekodkan jumlah mangsa teramai, iaitu 53 mangsa daripada 13 keluarga.

Mereka ditempatkan di empat PPS, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abang (19 mangsa), Balai Raya Sura Lapangan Terbang (lapan mangsa), Balai Raya Jalan Teratai (lapan mangsa) dan Balai Raya Kampung Pelandang (18 mangsa).

Di Kuala Lumpur, Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di Terengganu dan sembilan lokaliti di Kelantan sehingga hari ini.

Metmalaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan antara kawasan terbabit di Kelantan adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Menurut kenyataan itu, amaran sama turut dikeluarkan di Kuantan, Pahang sehingga esok. Selain itu, Metmalaysia turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di Gua Musang, Kelantan sehingga esok manakala di Jerantut dan Pekan, Pahang sehingga esok.

Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu meningkat 1,559

KUALA TERENGGANU - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat apabila seramai 1,559 mangsa daripada 471 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah di negeri ini.

Sehingga jam 8 pagi ini, sebanyak 32 PPS telah dibuka di Besut, Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman dan Setiu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Besut merupakan daerah paling teruk terjejas dengan seramai 516 mangsa daripada 147 keluarga sudah dipindahkan ke lapan PPS.

Menurutnya, mangsa banjir di daerah Setiu pula kini seramai 454 orang daripada 144 keluarga dan semua mereka ditempatkan di sembilan PPS.

 "Bagi daerah Dungun, empat PPS sudah dibuka bagi menempatkan 283 mangsa daripada 86 keluarga yang terjejas banjir, manakala di Hulu Terengganu pula melibatkan 88 keluarga terdiri daripada 282 individu sudah dipindahkan ke sembilan PPS," kata kenyataan itu pada Khamis.

Jelas kenyaataan itu lagi, mangsa banjir di Kemaman pula melibatkan 24 individu daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua PPS. Jelas kenyataan itu, cuaca hujan masih melanda di beberapa tempat di daerah yang terlibat bencana berkenaan.

Banjir di Kelantan: Penduduk terputus hubungan

Kota Bharu - Penduduk Kampung Pasir Jering, Kuala Krai di sini mula berjaga-jaga berikutan air naik selepas hujan lebat kira-kira lima hari lalu.

Penduduk, Mohd Saidi Jaafar, 57 berkata, sehingga jam 6.30 petang (hari ini) ada kediaman penduduk yang dinaiki air sehingga 0.3 meter di bahagian dapur.

 

Menurutnya penduduk juga terputus hubungan kerana jambatan Kampung Pasir Jering yang menjadi laluan utama ke bandar sudah ditenggelami air.

"Kami belum lagi berpindah tetapi dalam keadaan berjaga-jaga kerana hujan masih belum berhenti," katanya.

 Bagaimanapun katanya, pemimpin setempat dan anggota keselamatan sudah memantau kawasan kampung itu.

Sebanyak tiga pusat pemindahan banjir dibuka di Kelantan membabitkan 126 keluarga dengan 377 mangsa berikutan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Air Sungai Kelantan di Tangga Krai dicatatkan setinggi 20.96 meter manakala Sungai Semerak di Jambatan Melor setinggi 7.35 meter iaitu masing-masing di paras berjaga-jaga.

Media sebelum ini melaporkan hujan lebat di negeri ini mengakibatkan banjir di daerah Pasir Puteh namun situasi itu tidak lama dan ada penduduk yang sudah pulang ke rumah.

Hujan lebat, Pusat Konservasi Gajah Tasik Kenyir dilanda banjir

KUALA BERANG - Pusat Konservasi Gajak Tasik Kenyir (KECV) dilanda fenomena kepala air sebanyak dua kali, berikutan hujan lebat sejak Isnin lepas.

Pengarah KECV, Ang Ching Yang berkata, kejadian pertama berlaku sekitar 1 tengah hari semalam, mengakibatkan beberapa kawasan di pusat itu termasuk kafeteria, surau dan tandas mengalami kerosakan.

Beliau berkata, kejadian kedua pula berlaku kira-kira 9.30 pagi hari ini, mengakibatkan jambatan dilimpahi air sehingga menyukarkan pekerja menghantar makanan kepada gajah dan kawasan gajah mandi, turut terjejas.

"Dua hari sebelum kejadian (Isnin) pun saya tengok air sungai bewarna kuning dan bercampur lumpur serta gajah-gajah di sini juga telah memberikan isyarat bunyi.

 "Kalau ikutkan pengalaman kami di sini kedua-dua keadaan itu menandakan bencana alam bakal berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Ching Yang berkata, kedua-dua kejadian itu tidak menjejaskan kesemua 17 ekor gajah di pusat berkenaan kerana telah dipindahkan ke lokasi selamat lebih awal, manakala pengunjung tidak berada di KECV kerana ditutup susulan cuaca buruk.

"Kos kerosakan memang kami belum kira tetapi hampir saban tahun tempat kami dilanda kepala air dan setiap tahun juga kos membersih dan membaiki kawasan serta kemudahan terjejas antara RM250,000 hingga RM300,000,” katanya.

Beliau berkata, KECV akan dibuka semula kepada pengunjung apabila kerja-kerja pembersihan serta pembaikan selesai dan cuaca kembali pulih. - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search