OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Mangsa banjir Johor meningkat

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di dua daerah terjejas banjir di negeri ini meningkat setakat jam 8 pagi ini kepada 226 orang daripada 109 keluarga berbanding 190 orang daripada 75 keluarga jam 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata semua mangsa banjir kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Mersing dan Kota Tinggi.

 

"Mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat sedikit kepada 29 orang daripada sembilan keluarga pagi ini berbanding 23 mangsa daripada tujuh keluarga malam tadi.

"Jumlah mangsa banjir di Mersing juga sedikit meningkat menjadi 197 orang daripada 100 keluarga berbanding 167 orang daripada 68 keluarga pada malam tadi yang kini ditempatkan di sebuah PPS iaitu di PPS Kompleks Taman Negara Endau Rompin," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN). 

Enam jalan ditutup di Kota Tinggi

Sementara itu, laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor memaklumkan terdapat enam jalan di Kota Tinggi yang terjejas banjir dan pengguna diminta guna jalan alternatif.

Jalan Johor Bahru – Endau (RISDA dan Yatama City), Jalan Lok Heng / Mawai / Sungai Mas (Semalok) hanya dibuka kepada kenderaan berat sahaja, manakala Jalan Mawai Lama (Rumah Burung) ditutup untuk semua kenderaan dan Jalan Johor Bahru – Endau (sebelum RNR Panti dan di RNR Panti) hanya dibuka satu lorong sahaja.

Semua pengguna yang ingin melalui laluan berkenaan boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Kota Tinggi - Mersing.

Tanah runtuh: Banyak pokok besar tumbang, mangsa tersepit celah dahan

CAMERON HIGHLANDS - Lokasi runtuhan di Batu 59, Blue Valley di sini dipenuhi dengan pokok besar yang tumbang bersama kegelongsoran tanah.

Perkara itu dimaklumkan Komander operasi mencari dan menyelamat, Wan Zaidi Wan Mokhtar dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands yang mengetuai pasukan awal ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, pasukan pertama yang disertai enam anggota itu mula memasuki lokasi kejadian pada jam 3.24 pagi.

Menurutnya, keadaan di tempat runtuhan ketika itu hanya dipenuhi dengan timbunan pokok dan tanah selut menyebabkan sedikit kesukaran mengesan kedudukan mangsa.

"Semasa pemerhatian dijalankan, kita temui satu aliran air dari kawasan atas ke satu tempat yang kita syaki tapak rumah mangsa.

"Nampak ada takungan air di situ dan daripada penemuan itulah kita mulakan kerja-kerja mencari mangsa yang tertimbus," katanya kepada pemberita pada Sabtu.Wan Zaidi, 52, berkata, operasi mencari dilakukan dengan kaedah manual menggunakan peralatan seperti cangkul dan penyodok secara perlahan-lahan kerana takut akan mencederakan anggota badan mangsa.Katanya, kerja-kerja mengorek tanah yang dilakukan selama hampir dua jam akhirnya berjaya menemui satu mangsa pada jarak kira-kira dua meter dari tapak rumah. 

"Mangsa ditemui tersepit di celah-celah batang pokok. Keadaan mangsa masih sempurna dan lengkap berpakaian, cuma berselut dan alami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.

Wan Zaidi yang telah menganggotai pasukan bomba sejak 32 tahun lalu berkata, maklumat saksi kejadian yang merupakan rakan kerja mangsa turut membantu gerak kerja dilakukan di tempat kejadian.

Ujarnya, mereka yang tinggal sekitar 50 meter dari lokasi tapak runtuhan ada mendengar dentuman kuat disertai bunyi pergerakan tanah dan pokok patah sebelum menyedari dua rumah di kawasan itu lenyap dibawah runtuhan.

"Pertama sekali runtuhan tanah ini tidak mengheret, ia terus menghempap dua rumah didiami mangsa.

"Berdasarkan jangkaan itu, kemungkinan semua mangsa tidak pergi jauh dan berada di sekitar kawasan runtuhan ini sahaja," katanya.

Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.51 pagi.

Ketika kejadian semua mangsa yang dikenali Haphey, 36, isterinya, Om Myue, 38, bapa, Shing Lan Har, 56, serta dua rakan kerja lain, Shing Aung, 39, dan Thang Moung, 25, sedang tidur.

Difahamkan, sebelum kejadian hujan lebat dan berterusan melanda kawasan berkenaan sejak Rabu.

Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pada Jumaat berjaya menemui dua mangsa iaitu Haphey dan seorang lagi yang belum dikenalpasti identiti sementara tiga lagi masih tertimbus.

Naik taraf jalan selepas Monsun Timur Laut

Kerja menaik taraf jalan di kawasan rendah dan sering banjir di Terengganu akan dilaksanakan selepas Monsun Timur Laut berakhir atau selepas Tahun Baharu Cina.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata pejabat daerah sudah berbincang dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) supaya jalan rendah dimasukkan dalam perancangan terkini.

“Tindakan itu bagi mengurangkan risiko laluan jalan ditenggelami air,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Kampung La, Hulu Besut, di sini semalam.

Katanya, Kementerian Kerja Raya menyediakan dana RM11.3 juta untuk membaiki jalan rosak akibat banjir di negeri ini.

“Kita juga akan melihat laluan sebelum ini tidak dinaiki air, tetapi kali ini ditenggelami banjir disebabkan faktor pembangunan serta kawasan takungan air di tambun dengan tanah hingga menimbulkan masalah lain.

“Setiap pembangunan dijalankan ada kepentingan dari segi ekonomi dan perlu ada tindakan susulan untuk mengatasi masalah berkaitan.

“Sebagai contoh kawasan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika sebelum ini tiada pemasangan pembentung, perlu dipasang selepas ini,” katanya.

Mangsa banjir di Pantai Timur berkurangan

Mangsa banjir di Pantai Timur berkurangan sedikit petang semalam, walaupun beberapa sungai masih melepasi paras bahaya.

Jumlah mangsa banjir di Terengganu ialah 1,990 mangsa daripada 534 keluarga, iaitu di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.

Mereka berlindung di 26 di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang semalam.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Bencana Operasi, Mejar (PA) Mohd Hafiz Asikin, berkata Dungun mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 953 mangsa daripada 268 keluarga di enam PPS.

Katanya, jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di empat PPS di Hulu Terengganu seramai 299 mangsa, 639 (Besut) dan 99 (Setiu).

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai yang melepasi paras bahaya ialah Sungai Dungun di Kuala Jengal yang mencatatkan 21.51 meter, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (12.51 m),

Sungai Dungun di Kampung Jerangau (12.63 m) dan Empangan Puah di Hulu Terengganu (300.89 m).

Di Kota Bharu, jumlah mangsa banjir di Kelantan menurun kepada 544 orang setakat jam 5 petang semalam berbanding 880 orang pada sebelah pagi.

Semua mangsa membabitkan 150 keluarga itu ditempatkan di 13 PPS di Pasir Puteh, Kuala Krai dan Tanah Merah.

Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my merekodkan tiga sungai melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan bacaan 9.98 meter (m), diikuti Sungai Kelantan di Air Mulih, Pasir Mas (10.92m) dan Sungai Golok di Kampung Jenob Tanah Merah (24.16m).

Di Kuantan, mangsa banjir di Pahang menurun iaitu 477 mangsa daripada 204 keluarga di dua PPS di daerah ini dan Rompin jam 4 petang semalam.

JPS memaklumkan empat sungai di Pahang melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, di Kuantan; Sungai Rompin, di Jambatan Kuantan-segamat, Rompin; Sungai Luit di Kampung Subuh, Maran, Sungai Mentiga di Jambatan Chini, Pekan.

2 maut, 3 lagi masih hilang

Dua maut tertimbus manakala tiga lagi hilang dalam insiden tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands awal pagi semalam.

Mangsa pertama dikenali sebagai Haphey, 36, ditemui pada jam 3 pagi, manakala satu lagi mayat mangsa ditemukan pada jam 12.05 tengah hari.

Semua mangsa adalah warga Myanmar yang tinggal di rumah kongsi di cerun kebun sayur di situ dikenali Shing Lan Har, 56; Shing Aung, 39; Om Myue, 38; Haphey, 36, dan Thang Moung, 25.

Sehingga jam 5 petang semalam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) termasuk Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Unit Anjing Pengesan K9, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih meneruskan pencarian tiga lagi mangsa yang dikhuatiri tertimbus.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli, berkata mangsa kedua kejadian ditemui jam 12.05 tengah hari.

Katanya mangsa lelaki ditemui tertimbus pada kedalaman kirakira dua meter dan kira-kira 10 meter daripada tapak asal rumah kongsi bagi pekerja di kawasan kebun sayur di situ.

Pasukan SAR menghadapi cabaran dalam operasi memandangkan kawasan itu turut mengalami beberapa lagi runtuhan tanah di sepanjang jalan kecil yang menghubungkan antara Pusat Kawalan Bomba (PKB) dengan lokasi kejadian.

Terputus hubungan

“Hasil pemeriksaan mendapati (jalan) untuk ke tempat kejadian terputus hubungan dan memerlukan kenderaan pacuan empat roda (4X4) untuk ke lokasi kejadian, tetapi (sekarang) menaiki 4x4 pun tak boleh lalu sebab ada beberapa kejadian tanah runtuh yang berlaku di dalam perjalanan untuk ke tempat kejadian,” katanya pada sidang media di PKB berkenaan semalam.

Hadir sama Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani dan Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor.

Runtuhan di kawasan kebun sayur itu membabitkan ketinggian 80 meter dari kaki bukit dengan tapak lokasi rumah pekerja yang tertimbus berada pada kedudukan 40 meter dari kaki bukit. Anggaran kecerunan bukit runtuhan adalah antara 35 hingga 40 darjah.

Kata Azri lagi, kesukaran operasi menyelamat juga ialah tidak dapat membawa jentera berat untuk ke lokasi terbabit, selain faktor cuaca yang masih hujan hingga mengundang risiko runtuhan susulan.

“Walaupun cuaca hujan dan takut akan tanah runtuh lagi, namun operasi sehingga kini tetap diteruskan dalam keadaan pasukan yang sentiasa mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga sekiranya berlaku pagi runtuhan kali kedua (susulan),” katanya.

Sementara itu Ismail berkata, kawasan pencarian mangsa dibahagikan kepada empat sektor membabitkan keluasan sepanjang 50 meter.

Operasi pencarian dilakukan dengan kekuatan seramai 120 orang terdiri dari pelbagai agensi dan juga termasuk kira-kira 20 rakan mangsa yang turut bekerja di kebun berkenaan.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search