OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

Gallery

Aktifkan jawatankuasa pengurusan bencana

Kota Kinabalu: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengaktifkan jawatankuasa pengurusan bencana menerusi semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam yang boleh menjejaskan kehadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini.

Timbalan Pengarah (Sektor Perancangan dan Pengurusan Pejabat Pendidikan Daerah) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Mohd Zaini Yanin, berkata pihaknya turut mengingatkan semua calon peperiksaan supaya segera menghubungi sekolah jika berlaku bencana di kawasan mereka.

Katanya, jawatankuasa pengurusan bencana akan bertindak segera jika ada insiden seperti banjir yang membabitkan calon peperiksaan di negeri ini.

“Bagaimanapun, setakat hari ini (semalam), peperiksaan di negeri ini berjalan dengan lancar dan kita mengharapkan proses peperiksaan ini dapat dijalankan dengan teratur.” katanya.

Kerja pembersihan selesai Jumaat

Kerja pembersihan pasca banjir di Dungun yang terjejas teruk akibat banjir dijangka selesai Jumaat ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Terengganu, Hanafiah Mat, berkata kerja bermula Ahad lalu membabitkan pelbagai pihak dengan setakat ini operasi pembersihan mencapai lebih 50 peratus.

Beliau berkata, operasi pasca banjir memfokuskan kampung yang paling teruk terjejas dalam banjir gelombang keempat membabitkan Kampung Shukor, Kampung Pasir Raja, Kampung Belimbing dan Kampung Jongok Batu.

Katanya, terdapat lebih 500 sukarelawan termasuk Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) Terengganu turut membersihkan masjid, balai raya, sekolah serta rumah penduduk.

“Setakat ini, lebih 50 peratus kerja pembersihan sudah selesai kerana selain sukarelawan, pemilik rumah juga membersihkan rumah mereka.

“Namun, ia mengambil sedikit masa kerana ada lumpur dan kita harap kerja pembersihan dapat diselesaikan segera.

“Jika diikutkan, kawasan seperti balai raya dan masjid sudah dibersihkan cuma yang tinggal rumah penduduk dan sukarelawan terus melaksanakan kerja pembersihan setiap hari walaupun dalam skala kecil,” katanya.

Banjir besar Khamis lalu menyebabkan tiga rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Hanya 2 PPS di Dungun masih dibuka

Banjir gelombang keempat yang bermula 23 Januari lalu menyaksikan daerah Dungun masih terjejas.

Setakat jam 4 petang semalam, seramai 473 mangsa daripada 157 keluarga berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, mangsa berlindung di Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Di Dewan Serbaguna Kampung Shukor, 226 mangsa daripada 61 keluarga berlindung di PPS berkenaan, manakala 247 mangsa daripada 96 keluarga berteduh di 96 PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.

Sementara itu, laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan hanya satu sungai catat bacaan melepasi paras amaran.

Sungai Terengganu di Jambatan

Kuala Berang, Hulu Terengganu kini melepasi paras amaran dengan bacaan 11.05 meter (m) berbanding paras normal 4.5m.

Secara keseluruhan, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend penurunan walaupun ia masih melepasi paras normal.

Keadaan banjir di Pahang BERNAMA

Sementara itu melaporkan PPS terakhir di Pahang yang menempatkan 22 orang daripada

lima keluarga di Rompin.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendapati paras air beberapa sungai di Johor, Kedah, Pahang, Perlis, Sabah dan Terengganu berada pada tahap bahaya.

Sungai terbabit ialah Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Pahang di Bera serta Cameron Highlands dan Sungai Rompin, Rompin di Pahang, Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan

(Sabah), dan Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Sementara itu, Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) turut memaklumkan bahawa 18 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak serta jalan dan cerun runtuh antaranya Jalan Petri Jaya di Kota Tinggi, Jalan Sungai Lembing di Kuantan, Pahang dan Jalan Sungai Sok-chucuh Puteri di Kuala Krai, Kelantan.

Peperiksaan lancar di seluruh negara

Kuala Lumpur: Peperiksaan bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang bermula semalam membabitkan 395,870 calon di 3,340 pusat peperiksaan di seluruh negara berjalan lancar, termasuk di negeri terjejas banjir, iaitu Pahang dan Terengganu.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah) Kementerian Pendidikan, Azman Adnan, berkata tiada sebarang isu berhubung calon terjejas dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan dilaporkan setakat pagi semalam.

“Setakat ini, perjalanan SPM di seluruh negara tidak ada masalah atau ada isu murid kita terjejas ke pusat peperiksaan walaupun ada kawasan tertentu di beberapa negeri masih dilanda banjir,” katanya ketika ditemui selepas melawat Sekolah Tun Fatimah di Johor Bahru, semalam.

Mengulas situasi di Johor, Azman berkata, sebanyak 18 sekolah menengah di Batu Pahat,

Kluang, Kota Tinggi, Segamat, Kulai dan Tangkak sedia diaktifkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi persediaan menghadapi banjir.

Beliau turut menjelaskan peperiksaan SPM di sekolah yang digunakan sebagai PPS, tidak akan terjejas dan tetap diteruskan seperti biasa di negeri itu yang membabitkan 48,426 calon di 364 pusat di 301 sekolah.

Di Pahang, sejumlah 20,271 calon menduduki peperiksaan SPM di 258 pusat peperiksaan seluruh negeri, yang turut membabitkan 2,184 petugas, termasuk 274 sukarelawan peperiksaan yang dilantik dengan tiada pusat peperiksaan dilaporkan terjejas bencana banjir, menurut Pengarah Pendidikan Pahang Amzan Abd Malek.

Di Terengganu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Jelani Sulong, berkata pihaknya sentiasa bersiap sedia untuk menggerakkan Op Payung sekiranya banjir melanda sekolah terbabit dengan peperiksaan itu, selain sentiasa memantau perkembangan cuaca semasa sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan.

Di Kelantan, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz, berkata tujuh pusat peperiksaan alternatif turut disediakan bagi calon SPM dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai persiapan sekiranya berlaku banjir di negeri itu.

“Pusat peperiksaan yang terbabit itu ialah enam sekolah di Pasir Mas dan sebuah sekolah di Tumpat yang lazimnya akan dinaiki air jika berlaku banjir.

“Dianggarkan lebih 600 calon akan terjejas banjir sekiranya sekolah mereka dinaiki air,” katanya selepas melakukan tinjauan hari pertama SPM 2023 di SMK Dato’ Ahmad Maher di Kota Bharu semalam.

Tiada terbabit bencana

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Roslan Abu Hassan, berkata peperiksaan SPM kali ini membabitkan sejumlah 19,765 orang merangkumi calon di sekolah kerajaan (15,817), sekolah agensi kerajaan (240), sekolah swasta (2,500) dan calon persendirian (1,208).

Ketika ditemui melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, beliau berkata peperiksaan itu yang dimulakan dengan ujian bertutur dan ujian mendengar bulan lalu sehingga ujian bertulis bermula semalam berjalan lancar dengan tiada pelajar dan sekolah di ibu negara terbabit dengan bencana setakat ini.

Di Putrajaya, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ezaiddin Hussain, berkata sebanyak 1,907 calon mendaftar menduduki peperiksaan SPM 2023 dengan 18 daripada jumlah itu adalah calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, ketidakupayaan intelektual, penglihatan dan fizikal.

“Setakat ini, kita ada seorang calon terbabit dalam kemalangan jalan raya yang patah tangan dan menduduki peperiksaan di hospital,” katanya.

Di Negeri Sembilan, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim, berkata sejumlah 15,977 calon menduduki peperiksaan di negeri itu.

Selain itu, di Selangor, 72,929 calon termasuk calon persendirian mendaftar untuk menduduki SPM 2023 membabitkan 491 pusat peperiksaan yang turut membabitkan 8,046 petugas peperiksaan dilantik, kata Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Hanisah Mohd Ali.

Hanisah berkata calon peperiksaan turut dinasihatkan

untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau bilik operasi JPN Selangor melalui talian 0355186114, sekiranya tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan berikutan bencana.

Di Melaka, sejumlah 12,900 pelajar menduduki peperiksaan SPM di 103 pusat peperiksaan di seluruh negeri merangkumi calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan serta sekolah agama bantuan kerajaan dan turut membabitkan 65 calon berkeperluan khas seperti masalah penglihatan, pendengaran, fizikal dan autisme, manakala empat calon menduduki peperiksaan di hospital kerana masalah kesihatan.

Sementara itu, di Kedah, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Ismail Othman, mengingatkan kepada 29,044 calon supaya menjaga kesihatan dan keselamatan diri sepanjang tempoh peperiksaan ini kerana sebarang kejadian yang tidak diingini boleh menjejaskan peluang mereka untuk menduduki peperiksaan SPM.

Selain itu, terdapat 3,455 calon di Perlis, Perak (31,411), Pulau Pinang (18,837) dan Sabah (38,778) dilaporkan menduduki peperiksaan semalam.

BERNAMA

Hujan, ribut petir di KL, Putrajaya hingga 10 malam ini

KUALA LUMPUR: Hujan lebat, ribut petir serta angin kencang diramal melanda ibu kota, Putrajaya selain beberapa daerah di Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah sehingga jam 10 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan berkata di Perak, cuaca itu diramal di kawasan Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim manakala Selangor membabitkan Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang.

Di Negeri Sembilan, katanya, cuaca itu diramal di daerah Jelebu, Kuala Pilah dan Jempol.

"Ramalan cuaca sama dikeluarkan bagi Sarawak iaitu di kawasan Sri Aman (Lubok Antu), Sarikei Julau), Sibu (Kanowit dan Selangau) dan Kapit (Song, Kapit dan Bukit Mabong) manakala Sabah membabitkan Pantai Barat (Ranau) dan Sandakan (Tongod).

"Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mililiter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

"Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran," katanya.Orang awam boleh merujuk laman web www.met.gov.my dan semua media sosial rasmi MET Malaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search