Sampah punca banjir, penduduk perlu utamakan kebersihan
- Admin UKK
- Berita
MIRI, 16 Feb: Sikap penduduk dalam menguruskan sisa buangan perlu diberi perhatian serius kerana pembuangan sampah secara tidak terkawal menyumbang kepada banjir yang lebih teruk.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, tindakan undang-undang boleh diambil terhadap individu yang masih membuang sampah secara tidak terkawal terutama di kawasan awam dan dalam sistem perparitan.
“Kami dapati banyak sampah dibuang di tepi jalan dan dalam parit termasuk perabot dan barangan besar lain yang rosak akibat banjir. Sampah-sampah ini menyekat sistem perparitan, menyebabkan aliran air terganggu dan mengakibatkan banjir bertambah buruk,” katanya ketika ditemui semasa gotong-royong perdana pascabanjir di Kampung Pangkalan Lutong, hari ini.
Sehubungan itu, Kim Shin meminta Majlis Bandaraya Miri (MBM) untuk menyediakan tong sampah besar di lokasi-lokasi strategik bagi memudahkan penduduk membuang sisa berskala besar seperti tilam, perabot rosak dan bahan buangan lain.
“Kita tidak mahu bandar raya kita dipenuhi sampah sarap. Oleh itu, MBM telah menyediakan tong sampah besar di kawasan tertentu bagi memastikan penduduk mempunyai tempat yang sesuai untuk membuang sampah besar. Saya menyeru orang ramai agar menggunakan kemudahan ini dengan baik,” ujarnya.
Selain kerja-kerja pembersihan kawasan perumahan, pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada penyelenggaraan sistem perparitan bagi mengelakkan gelombang kedua banjir sekiranya hujan lebat berlaku semasa air pasang.
“Saya mengarahkan JPBB Miri, MBM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk memastikan semua parit dibersihkan sepenuhnya. Ketika banjir baru-baru ini, banyak kawasan mengalami kesan lebih buruk kerana sistem saliran tersumbat.
“Kita semua perlu memainkan peranan dalam menjaga kebersihan. Jika setiap individu bertanggungjawab membuang sampah dengan betul, kita bukan sahaja dapat mengelakkan bencana seperti banjir, tetapi juga menjadikan Miri sebuah Bandaraya Hijau dan Bersih,” jelasnya.
Pelaksanaan gotong-royong di Kampung Pangkalan Lutong ini merupakan kali ketiga dalam siri pembersihan komuniti yang telah dirancang oleh JPBB Miri, dengan harapan agar kesedaran masyarakat dapat ditingkatkan untuk menjaga kebersihan dan mengelakkan masalah sampah sarap pasca banjir.-TVS