BENGKEL PENGGUBALAN DASAR NASIONAL PENGURANGAN RISIKO BENCANA NEGARA (DASAR DRR) DAN PERBINCANGAN RANG UNDANG-UNDANG (RUU) PENGURUSAN BENCANA NEGARA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
Banjir yang melanda negara disifatkan oleh masyarakat sebagai banjir luar biasa yang mana kawasan yang tidak dijangka dilanda banjir seperti di negeri Selangor khususnya di kawasan Taman Sri Muda lumpuh sepenuhnya akibat banjir berikutan hujan lebat yang menyebabkan air naik dengan cepat. Ekoran situasi perubahan iklim yang tidak menentu, NADMA tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada satu arahan eksekutif sahaja. NADMA memerlukan satu akta baru berkaitan pengurusan bencana yang bersifat holistik merangkumi aspek pencegahan, mitigasi, pengurusan risiko dan pemulihan semula yang mana fungsi, keselarasan dan pelaksanaan harus ditambah baik selaras dengan perkembangan kejadian bencana yang bersifat dinamik.
Berikutan itu, NADMA telah mengadakan pembentangan cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Agensi Pengurusan Bencana Negara (RUU NADMA) kepada YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara pada 14 Oktober 2021 dan seterusnya kepada YAB Perdana Menteri pada 8 November 2021 sebagai makluman awal. Cadangan ini dibuat berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 26 Ogos 2015 yang bersetuju:
Supaya Arahan MKN No. 20, semua SOP dan peraturan berkaitan pengurusan bencana dikaji semula untuk dibuat penambahbaikan;
- Supaya mekanisme pengurusan bencana negara terus mengguna pakai prinsip dan perintah kawalan di bawah Arahan MKN No. 20 selain mengekalkan peranan semua agensi tindak balas seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Komander Operasi Bencana manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) sebagai Timbalan Komander Operasi Bencana; dan
- Supaya mekanisme pengurusan bencana ditambah baik dan diperkukuh dari peringkat pusat sehingga ke peringkat komuniti dengan mewujudkan satu akta atau arahan eksekutif yang baru bagi memberi punca kuasa perundangan kepada jabatan tersebut dalam melaksanakan fungsinya selain menggantikan Arahan MKN No.20.
Seksyen Dasar dan Perancangan (SDP) NADMA juga telah menganjurkan Sesi Townhall Penggubalan Rang Undang-Undang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) pada 2 Disember 2021 (Khamis) bertempat di Dewan Wawasan, Markas SMART, Pulau Meranti. Townhall ini dibuat untuk mendapatkan input menyeluruh warga NADMA termasuk pengurusan Pasukan SMART berhubung penggubalan RUU NADMA.