PERJUMPAAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL SABAH, SARAWAK DAN TUGAS-TUGAS KHAS) BERSAMA RAKAN NADMA
- Admin UKK
- Program dan Aktiviti
15 Disember 2022, Pagi ini YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Amrizan Mohd Ali telah mengadakan sesi perjumpaan bersama Rakan NADMA, bertempat di Markas Pasukan SMART, Puchong, Selangor. Majlis yang disertai 72 rakan-rakan daripada 36 kumpulan NGO ini turut dihadiri Datuk Khairul Shahril Idrus Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pengurusan Pasca Bencana NADMA dan Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Kesiapsiagaan Bencana (Dasar), Tuan Jamil Derus bin Ahmad.
YB Menteri telah menzahirkan penghargaan kepada keluarga Rakan NADMA atas kerjasama yang telah diberikan sejak penubuhannya pada tahun 2017 yang mana telah terbukti menjadi satu platform penting dalam mengembling usaha serta bantuan untuk disalurkan kepada mangsa bencana bukan sahaja bencana banjir malah bencana-bencana lain sebagai contoh ketika negara berhadapan pandemik COVID-19.
Kerjasama yang terbentuk ini terbukti berkesan ketika negara dilanda bencana banjir pada MTL 2021/2022 yang lalu di mana seramai 26,989 orang sukarelawan telah dikerah di seluruh negara dan secara aktif membantu mangsa banjir dalam beberapa aspek seperti pemberian bantuan makanan dan keperluan asas, pembersihan pasca bencana, perkhidmatan bantuan kesihatan dan perubatan, bantuan logistik dan pengangkutan serta perkhidmatan komunikasi alternatif.
NADMA bersama-sama dengan agensi kerajaan lain telah merancang persediaan rapi bagi memastikan semua jentera kerajaan dapat diselaras dan digerakkan bagi membantu mangsa yang terjejas banjir. Namun begitu, tindak balas agensi kerajaan semata-mata tidak akan lengkap tanpa bantuan serta kerjasama erat di antara Agensi Kerajaan dan Badan-Badan Sukarela serta pihak swasta.
Budaya kesiapsiagaan di kalangan rakyat perlu melibatkan kerjasama bersepadu semua agensi kerajaan bermula dari peringkat pusat, negeri dan daerah serta pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk orang perseorangan.