PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

2 sungai lepasi paras bahaya di Kelantan

KOTA BHARU: Hujan di Kelantan sejak semalam menyebabkan paras air di dua sungai utama di negeri ini meningkat dan melepasi paras amaran.

Berdasarkan laman web publicinfobanjir.water.gov.my, dua sungai melepasi paras amaran itu adalah Sungai Kelantan di Kuala Besar di sini yang mencatat bacaan 1.85 meter (m) berbanding paras normal 1.3m dan Sungai Melor di Jambatan Melor, Bachok dengan bacaan 8.45m berbanding paras normal 6m.

Empangan Bukit Kwong di Rantau Panjang pula melepasi paras waspada iaitu 17.24m berbanding paras normal 16.76m.

Kelantan kembali dilanda banjir apabila sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Pasir Puteh.Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 123 mangsa daripada 42 keluarga terjejas ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai, Pasir Puteh.

Bomba selamatkan 36 orang awam terperangkap banjir kilat

IPOH - Seramai 36 orang awam menempuh detik cemas apabila terperangkap dalam banjir kilat lebih 1 meter di Taman Fair Park, dekat sini pada Rabu.

Panggilan kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh pada jam 5.06 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, ketika kejadian paras air berada pada kedalaman antara 1 hingga 1.5 meter.

"Operasi menyelamat telah dilakukan dengan melakukan pencarian di sekitar kawasan itu.

 "Seramai 36 mangsa yang dikesan terperangkap berjaya dipindahkan ke tempat yang selamat," katanya dalam kenyataan di sini.Beliau berkata, operasi tamat pada jam 6.50 petang dan pemantauan dijalankan mendapati, air telah surut 90 peratus di lokasi kejadian.

Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu bertambah

KUALA TERENGGANU - Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu pada petang Rabu bertambah kepada 113 orang berbanding seramai 63 mangsa yang direkodkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sehingga jam 6 petang tadi, sebanyak 43 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di lima daerah terjejas banjir di negeri itu.

Antara daerah terkesan banjir ketika ini ialah Kemaman (7 mangsa), Dungun (26), Besut (14), Setiu (36) dan Hulu Terengganu (30).

Banjir yang melanda daerah Marang telah pulih sepenuhnya apabila tiga buah PPS yang dibuka di daerah berkenaan pada Selasa ditutup tengah hari tadi manakala tiada PPS dibuka di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dilanda banjir kilat pada pagi Selasa.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portalhttps://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiga sungai di dua daerah di negeri itu telah melepasi paras bahaya sehingga jam 4 petang pada Rabu.

Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok merekodkan bacaan setinggi 8.58 meter (m) melebihi paras bahaya 8.40 m serta Sungai Nerus di Kampung Langkap setinggi 18.74 m (paras bahaya 17.50 m).

Sementara itu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu di daerah Hulu Terengganu merekodkan bacaan 22.29 m melebihi paras bahaya 21 meter.

Selain itu, empat sungai di tiga daerah lain merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Tumpat di Kampung Kemasik serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak masing-masing di daerah Kemaman.Banjir gelombang keempat kembali melanda Terengganu setelah hujan lebat berterusan berlaku sejak petang Isnin.

Banjir gelombang keempat landa Kelantan

PASIR PUTEH - Hujan lebat yang berterusan sejak Selasa menyaksikan Kelantan dilanda banjir gelombang keempat pada Rabu.

Pasir Puteh menjadi jajahan yang terjejas setakat ini apabila seramai 123 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Changgai.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Katanya, penduduk di kawasan rendah diingatkan supaya bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan banjir yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

 "Banjir yang melanda ketika ini berpunca daripada hujan lebat berterusan."Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak bermain air banjir bagi mengelakkan sebarang tragedi," ujar beliau.

Hujan lebat, air pasang punca banjir kilat di Terengganu

KUALA TERENGGANU - Banjir kilat melibatkan beberapa kawasan sekitar daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus pada Selasa berlaku ekoran hujan lebat yang berterusan melebihi 100 milimeter (mm) beserta fenomena air laut pasang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, aliran air tidak mengalir lancar ke laut disebabkan berlaku pertembungan dengan air pasang.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beberapa kawasan perumahan dan laluan di jalan utama khususnya yang berada di kawasan rendah dinaiki air bermula pagi Selasa.

"Pejabat Daerah Kuala Terengganu telah mengambil langkah segera dengan mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengenal pasti sistem saliran dan perparitan yang tersumbat. Kerja-kerja penyelenggaraan juga akan dilaksanakan segera.Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, keadaan banjir kilat yang berlaku pada Selasa dilihat lebih teruk berbanding sebelum ini kerana terdapat kawasan bebas banjir turut dinaiki air.Jelas beliau, antara kawasan terjejas melibatkan kawasan tanah rendah yang tiada laluan air dan menjadi lokasi air bertakung."Saya telah hubungi JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) serta pegawai daerah untuk dilakukan siasatan lebih terperinci untuk mengetahui dengan lebih tepat punca lain yang mungkin ada tetapi tidak dikenal pasti sebelum ini.

"Setakat ini saya difahamkan, kawasan yang tidak mempunyai sistem saliran yang lancar dan isipadu air yang tinggi tidak dapat ditampung oleh parit yang ada lebih memburukkan keadaan tambah dengan fenomena air laut pasang," katanya.

Menurut Azmad, beberapa cadangan pembinaan dan penambahbaikan parit sudah di kemukakan ke peringkat Persekutuan namun belum untuk pelaksanaan.

"Sebahagian lagi melibatkan pembinaan kolam tadahan dan pemasangan pam air untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Jalan Kamaruddin dan Taman Nirwana yang melibatkan peruntukan sangat besar.

"Ianya belum mendapat kelulusan untuk permohonan di peringkat Persekutuan," katanya.

Aliran trafik di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu menghala ke pusat bandar mengalami kesesakann tiga jalan utama ditutup setelah dinaiki air dalam pada Selasa.

 
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search