PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

Banjir terburuk landa Johor - Ahmad Zahid

Kota Tinggi: Banjir yang melanda Johor ketika ini disifatkan antara yang terburuk pernah dihadapi negeri ini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Timbalan Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera RM10 juta kepada negeri itu bagi memastikan semua kelengkapan terutama di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencukupi, berikutan angka penduduk terjejas semakin meningkat.

Beliau berkata, keadaan banjir di Johor dan beberapa negeri lain semakin buruk berikutan perubahan iklim akibat fenomena global namun kerajaan perlu bersedia dari sekarang untuk membantu rakyat.

Apatah lagi katanya, mengikut laporan antarabangsa, aktiviti pemanasan global akan menyebabkan kebanyakan pulau kecil yang berada di lautan seluruh dunia termasuk Laut China Selatan akan berada di bawah paras bawah laut dan tenggelam pada 2050.

"Selain itu, punca banjir di Johor yang buruk kali ini disebabkan luruan hujan yang sangat luar biasa.

"Ia menyebabkan paras air di sungai-sungai utama meningkat mendadak berikutan air hujan luar biasa selain hujan dari kawasan Pahang yang mengalir ke sungai-sungai negeri ini

"Saya luluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk bencana banjir di Johor yang sudah disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Saya sudah mengarahkan NADMA membuat pembelian segera membabitkan selimut, bantal dan tilam berikutan peralatan itu mengalami kekurangan di PPS di sini dan serahkan segera kepada Jawatankuasa Banjir Daerah untuk digunakan mangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Cina New Kota, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Terdahulu Ahmad Zahid diiringi Onn Hafiz turut meninjau keadaan banjir di pusat bandar Kota Tinggi yang semakin buruk di samping meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Usman Awang.

Keadaan banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsanya dilaporkan terus melonjak kepada 28, 099 orang terdiri daripada 7,805 keluarga di 197 PPS , setakat jam 4 petang tadi.

Banjir ketika ini disifatkan paling buruk pernah dihadapi negeri itu selepas 17 tahun menghadapi bencana banjir besar pada 2006, yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk negeri ini terjejas.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, supaya mengerakkan pegawai dan anggota Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari negeri lain untuk membantu Johor.

Katanya, ia berikutan kekurangan pegawai dan anggota JKM bagi membantu menguruskan bencana banjir di Johor.

"Saya tahu pegawai dan anggota JKM Johor bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di semua PPS dibuka di negeri ini, namun berikutan keadaan banjir di sini yang semakin buruk ia memerlukan bantuan tenaga kerja.

"Oleh itu, saya sudah menghubungi Nancy Shukri bagi memobilasi pergerakan pegawai dan anggota JKM dari negeri lain ke Johor," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, peruntukan untuk projek jangka pendek sebanyak RM7.6 akan disalurkan bagi pertingkatkan sistem perparitan di pusat bandar Kota Tinggi dan Kota Mas.

"Selain itu, sebanyak RM15 juta akan diperuntukan untuk kerja melebarkan Sungai Lalang, bagi menampung hujan luar biasa dan limpahan air hujan yg dari daerah lain dan jika berlaku peningkatan paras air laut.

"Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pemandi yang bernilai RM25 juta pula kini di dalam proses tender.

"Bagi jalan yang agak rendah dari Kota Tinggi ke Mersing yang sering dinaiki air bah, ia memerlukan peruntukan RM120 juta dan perlu perbincangan dengan Kementerian Kerja Raya.

"Terakhirnya, untuk projek jangka panjang Kota Tinggi memerlukan RM380 juta untuk RTB Sungai Johor yang akan dimasukkan dalam RMK ke-15," katanya - HARIAN METRO

Misi Bantuan Kemanusiaan pertama Malaysia ke Syria

Subang: Misi penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia ke Syria yang dilanda gempa bumi awal bulan ini, berlepas dengan menaiki pesawat pengangkut A400 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini, malam ini.

Penerbangan khas membabitkan 51 kru dan wakil kementerian serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) itu berlepas pada pukul 10.15 malam tadi dari Pangkalan Udara TUDM Subang, di sini.

Kementerian Luar menerusi satu kenyataan memaklumkan sebanyak 42 tan barangan bantuan kemanusiaan untuk Syria sumbangan rakyat Malaysia yang dikumpul sejak 15 Februari lepas, dibawa bersama pesawat tersebut.

"Barangan itu ialah makanan siap sedia dimakan, barangan keperluan bayi, bekalan ubat-ubatan, empat generator, pakaian dan selimut, kelengkapan perlindungan diri, khemah, karpet dan pemisah untuk ruangan dalam (indoor separators).

"Penerbangan ke Syria itu akan mengambil masa 17 jam 30 minit melalui ruang udara beberapa negara membabitkan dua persinggahan teknikal dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik pada tengah hari esok," menurut kenyataan itu.

Selain itu, ucapan penghargaan turut diberikan kepada semua rakyat Malaysia yang menyahut seruan untuk menghulurkan bantuan bagi membantu mangsa-mangsa gempa bumi di Syria.

Menurut kenyataan itu kerjasama erat antara agensi-agensi kerajaan daripada Kementerian Luar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Kesihatan serta NGO-NGO sejak 15 Februari, telah memastikan usaha pengumpulan dan penghantaran barang-barang ini berjalan dengan lancar dan teratur.

"Antara NGO yang turut menjayakan misi ini adalah Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), Mercy Malaysia, BeVital Ihsan Johor, RED A Humanitarian, Malaysia For Syria, Wisma Putra Global Peace Mission, Mahar, MCRD, Shine Catholic Church, Yemeni School Foundation dan Syrian People Malaysia," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Siti Zanariah Nor Zin turut menyertai pasukan misi bantuan berkenaan untuk membuat liputan di Syria.

Siti Zanariah berkata biarpun ini bukan kali pertama beliau membuat liputan mengenai bencana alam di luar negara, beliau tetap teruja kerana insiden gempa bumi yang melanda Syria dan Turkiye disifatkannya sebagai sangat dahsyat.

"Saya berharap barangan yang dibawa dari sini ke Syria dapat disalurkan dengan baik kepada mangsa-mangsa yang terjejas dan semoga bantuan ini dapat meringankan beban yang mereka hadapi," katanya sebelum berlepas malam ini.

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Februari lepas meragut beribu-ribu nyawa. Kesan gegaran gempa itu dilaporkan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. - HARIAN METRO

Gempa bumi Turkiye-Syria: Angka korban lepasi 33,000

ANGKA kematian akibat gempa bumi yang melanda Turkiye dan Syria meningkat kepada lebih 33,000 orang pada Ahad. Memetik laporan AFP, 29,605 orang meninggal dunia di Turkiye dan 3,574 di Syria, menjadikan jumlah yang disahkan kepada 33,179. 
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa jumlah keseluruhan mangsa yang maut mungkin berganda, apabila lebih banyak mangsa ditemui pasukan penyelamat.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, sebelum ini dilapor menyifatkan kejadian gempa kali ini sebagai bencana terburuk dalam dekad ini. 
Ia melepasi angka kematian gempa di Fukushima, Jepun pada tahun 2011 dan di utara Turkiye pada 1999. Misi mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan bangunan dipergiatkan di wilayah terjejas dan lebih 166,000 anggota terlibat. - ASTRO AWANI

Gempa bumi Turkiye: Pasukan SMART MAS-01 berjaya bawa keluar 5 lagi mangsa

GAZIANTEP: Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) MAS-01 berjaya membawa keluar lima mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan lima tingkat di bandar Nurdagi, Wilayah Gaziantep di sini pada Jumaat.
Kelima-lima mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dikeluarkan dari runtuhan. Kesemua mangsa terdiri darpada tiga lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa, dan seorang kanak-kanak perempuan.  Pasukan SMART menggunakan peralatan khas dengan kaedah ‘cutting and breaking’ bagi mengeluarkan mangsa. Operasi mencari dan menyelamat dikatakan agak sukar kerana struktur runtuhan yang tidak stabil serta berbahaya. Usaha mengesan mangsa yang terperangkap dalam runtuhan masih diteruskan ketika ini. - ASTRO AWANI
Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search