PORTAL RASMI
JABATAN PERDANA MENTERI
AGENSI PENGURUSAN BENCANA NEGARA

Infografik

69 peratus operasi kilang di Malaysia terjejas angkara jerebu rentas sempadan

KUALA LUMPUR: Jerebu rentas sempadan menjejaskan operasi 69 peratus tapak industri yang menyertai tinjauan Persekutuan Pengilangan Malaysia (FMM), dengan gangguan terhadap tenaga kerja, pengeluaran dan penghantaran antara kesan utama yang dilaporkan.

Tinjauan FMM terhadap 86 tapak antara 12 hingga 21 Oktober lalu mendapati, 26 peratus responden berdepan gangguan operasi pada tahap sederhana atau ketara, manakala 65 peratus terjejas sejak Ogos atau September lalu.

Presiden FMM, Jacob Lee Chor Kok, berkata jerebu rentas sempadan adalah cabaran serantau berulang yang memerlukan tindakan lebih tegas dan penyelarasan lebih menyeluruh antara negara.

"Dari tahun ke tahun, Malaysia dan negara jiran terus mengalami kesan jerebu rentas sempadan. Selain kemerosotan alam sekitar, jerebu menjejaskan kesihatan manusia, kesejahteraan pekerja, produktiviti industri dan aktiviti ekonomi," katanya dalam satu kenyataan.

Chor Kok berkata, bagi sektor pembuatan, pendedahan berpanjangan kepada jerebu boleh menyebabkan pekerja jatuh sakit, peningkatan ketidakhadiran, gangguan pengeluaran dan penghantaran serta perbelanjaan tambahan bagi langkah perlindungan dan penjagaan kesihatan.

Menurut laporan kajian yang dilaksanakan FMM, kesan terhadap operasi kebanyakannya berpunca daripada gangguan tenaga kerja dengan 59 tapak yang melaporkan terjejas menyaksikan sebanyak 81 peratus mencatatkan peningkatan cuti sakit, manakala 63 peratus menyatakan penutupan sekolah menjejaskan ketersediaan pekerja.

Kekurangan tenaga kerja turut mengganggu operasi syif, pengeluaran atau penghantaran di 14 peratus tapak yang terjejas.

Selain itu, 37 peratus melaporkan pengeluaran lebih rendah, sementara 27 peratus terpaksa menghentikan sekurang-kurangnya satu operasi untuk tempoh tertentu.

Daripada tapak yang mengalami pengurangan pengeluaran, 23 peratus menjangkakan dapat menggantikan sepenuhnya kehilangan pengeluaran dalam tempoh empat minggu, manakala 21 peratus menjangkakan kehilangan itu tidak dapat dipulihkan.

Laporan itu turut menyebut, tekanan kos turut meningkat apabila 92 peratus tapak melaporkan perbelanjaan tambahan, terutama untuk pembelian pelitup muka yang dinyatakan oleh 76 peratus responden dan kos perubatan sebanyak 58 peratus, manakala sebanyak 45 tapak yang menganggarkan perbelanjaan tambahan melaporkan jumlah sekurang-kurangnya RM280,000.

Kajian itu turut mendapati responden memerlukan panduan jelas mengenai aturan kerja selamat sekiranya jerebu berterusan, dengan 55 peratus memilih langkah berkenaan.

Selain itu, 50 peratus meminta sokongan bagi peralatan perlindungan dan penapisan udara, manakala 47 peratus mahukan amaran kualiti udara serta pemakluman awal mengenai penutupan sekolah.

Chor Kok berkata, FMM menggesa pemimpin serantau memberi perhatian lebih besar terhadap pencemaran jerebu rentas sempadan pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan ASEAN, termasuk melalui mekanisme kerjasama berkaitan alam sekitar, ekonomi dan peringkat menteri.

"Pencegahan jerebu tidak boleh dipikul oleh sesebuah negara sahaja kerana kesannya merentasi sempadan, sekali gus memerlukan kerjasama serantau dalam penyelidikan saintifik, pemantauan alam sekitar, sistem amaran awal, pengurusan tanah mampan dan pencegahan kebakaran," katanya.

Kajian bebas bertajuk 'The 2026 Fire Season and Transboundary Haze in Malaysia' itu meliputi tempoh 1 Julai hingga 22 Oktober 2026, menggunakan pemerhatian satelit, pemantauan kualiti udara, pemodelan atmosfera dan tinjauan ahli FMM untuk menilai sumber serta kesan jerebu terhadap kesihatan awam, produktiviti industri dan ekonomi.

 

 

 

 

 

Lebih 300,000 penduduk Indonesia alami jangkitan pernafasan akibat jerebu

PALANGKARAYA: Lebih 300,000 penduduk Indonesia mengalami jangkitan saluran pernafasan akibat kebakaran hutan dan jerebu tebal yang melanda negara itu sejak beberapa bulan lalu, dengan keadaan paling buruk dilaporkan di wilayah Kalimantan Tengah.

Menurut Kementerian Kesihatan Indonesia, jumlah itu membabitkan penduduk di tujuh wilayah yang mendapatkan rawatan bagi masalah pernafasan antara Ogos dengan Oktober.

Di Palangkaraya, ibu kota Kalimantan Tengah, lebih 11,000 penduduk menerima rawatan akibat jangkitan pernafasan ketika kebakaran hutan terus merebak dan menyelubungi kawasan kediaman dengan asap tebal yang berbahaya kepada kesihatan.

Orang ramai semakin bimbang apabila tidak mampu lagi bertahan dikelilingi asap tebal walaupun memakai pelitup muka dan cermin mata keselamatan.

Keadaan serupa turut dialami ramai penduduk yang terpaksa mendapatkan bantuan oksigen akibat kesukaran bernafas.

Di sebuah pusat perlindungan yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palangkaraya, ramai penduduk menerima rawatan menggunakan alat 'nebuliser' dan bantuan oksigen selepas mengalami sesak nafas serta sakit kepala.

Menurut pakar kesihatan, asap kebakaran hutan mengandungi pelbagai bahan berbahaya, termasuk formaldehid, hidrogen sianida, ammonia dan zarah halus PM2.5.

Zarah PM2.5 amat berbahaya kerana saiznya yang sangat kecil membolehkannya memasuki paru-paru dan aliran darah.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengaitkan pendedahan kepada zarah tersebut dengan peningkatan risiko penyakit serius dan kematian.

Menurut badan pemantau, Nusantara Atlas, kebakaran hutan di Indonesia memusnahkan lebih 1.9 juta hektar kawasan dalam tempoh sembilan bulan sehingga September lalu.

Bagaimanapun, pemerintah Indonesia belum mengesahkan atau mempertikaikan angka itu.

Krisis kebakaran itu turut mencetuskan bantahan diplomatik daripada negara jiran yang terjejas akibat jerebu rentas sempadan, selain meningkatkan rasa tidak puas hati rakyat Indonesia sendiri.

Bagi menangani masalah kesihatan, Kementerian Kesihatan Indonesia menyediakan hampir 500 kemudahan rawatan di seluruh negara yang menawarkan bantuan oksigen dan rawatan percuma kepada mangsa jerebu.

Hampir 300 kemudahan tersebut terletak di Kalimantan Tengah, antara kawasan paling teruk dilanda kebakaran.

Pemerintah tempatan turut mengerahkan bas yang dilengkapi tangki oksigen ke sekitar Palangkaraya bagi memudahkan penduduk mendapatkan bantuan pernafasan.

'Bas Oksigen' itu dikendalikan petugas perubatan bagi membolehkan penduduk mendapatkan bantuan oksigen melalui tiub kecil yang dipasang pada hidung selama lima hingga 10 minit setiap sesi.

"Perkhidmatan ini bertujuan membantu penduduk mendapatkan bekalan oksigen khususnya mereka yang mengalami masalah pernafasan.

"Golongan rentan diutamakan ketika berdepan keadaan kualiti udara tidak sihat," menurut Jabatan Kesihatan wilayah Kalimantan Tengah menerusi hantaran di Instagram minggu ini.

Petugas perubatan di dalam bas berwarna putih dan biru itu merekodkan maklumat pesakit serta memberikan bantuan oksigen kepada penduduk yang mengalami kesukaran bernafas.

Pegawai kesihatan tempatan, Riduan, berkata golongan berusia antara 17 dan 59 tahun paling ramai mengalami masalah pernafasan kerana mereka terpaksa keluar bekerja walaupun udara tercemar. - AGENSI

 

 

 

 

70 peratus tebatan banjir jangka pendek disiapkan

KLANG: Kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan 255 projek tebatan banjir kadar segera bernilai RM70 juta di seluruh negeri ini sudah disiapkan dan baki dijangka selesai pada akhir tahun ini.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, projek tersebut melibatkan penyelesaian isu banjir kilat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan yang kerap berlaku sebelum ini.

Katanya, terdapat projek tambahan yang akan dimaklumkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan Taman Rashna, i-City, Seksyen 7 dan Bandar Bukit Raja.

“Isu kekerapan banjir di kawasan berkenaan dipercayai berpunca daripada ketiadaan pintu air ke Sungai Rasah lalu menyebabkan berlaku limpahan walaupun hujan lebat dalam tempoh setengah jam.

“Namun, sebagai langkah segera, kita akan melaksanakan langkah segera termasuk meletakkan pam bagi mengatasi masalah tersebut dengan peruntukan sekitar RM2 juta,” katanya ditemui ketika meninjau projek tebatan banjir sekitar daerah ini di sini, hari ini.

Tambahnya, kerajaan persekutuan turut meluluskan projek tebatan banjir di kawasan tersebut dengan peruntukan sebanyak RM40 juta sebagai penyelesaian jangka panjang.

Terdahulu, beliau turut meninjau projek tebatan banjir di Taman Melawis dan Taman Mutiara, di sini masing-masing melibatkan peruntukan RM18 juta serta RM8 juta.

Izham memberitahu pembinaan projek tebatan itu dilihat menunjukkan keberkesanannya dengan tiada kes banjir dilaporkan di Shah Alam seperti Padang Jawa dan Meru. – UTUSAN

Govt plans national drought response as El Niño threatens extreme heat in early 2027, Dewan Rakyat told

KUALA LUMPUR, Oct 28 — The Ministry of Natural Resources and Environmental Sustainability (NRES) will propose the development of a drought action plan to the National Disaster Management Council to strengthen preparedness for the phenomenon.

Natural Resources and Environmental Sustainability Minister Datuk Seri Arthur Joseph Kurup said the proposal would be submitted for the council’s consideration, so that action plans for floods and droughts could also be developed, in addition to the existing National Haze Action Plan.

“This is something that will be brought to the National Disaster Management Council, so that, apart from an action plan for haze, we will also have action plans for floods and droughts,” he said in the Dewan Rakyat today.

He was responding to a question from Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) on the government’s measures in the event of a severe drought or El Nino, including identifying high-risk areas and coordinating efforts among departments, while winding up the debate on the Supply Bill 2027 (Budget 2027) at the policy stage, for his ministry.

Earlier, Arthur said that, based on current projections, the strong El Nino phenomenon was expected to intensify to the very strong category between November 2026 and January 2027, and could persist until May 2027.

He added that the phenomenon could bring drier weather and extreme heat between January and May 2027, with maximum temperatures potentially reaching 40 degrees Celsius, particularly in the northern and interior parts of the Peninsula, as well as several interior areas of Sabah and Sarawak.

He said reduced rainfall was also expected, particularly between January and March 2027, with potentially more significant effects in the northern part of the Peninsula and Sabah.

In another development, Arthur said the implementation of a carbon tax should be carried out carefully and in stages, once the Climate Change Bill and the Climate Change Authority Bill were passed and gazetted, and their implementation frameworks were operating effectively.

Sarawak rancang bangunkan modul pendidikan alam sekitar

KUCHING, 28 Okt: Sarawak merancang membangunkan modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti bagi meningkatkan pengetahuan serta menggalakkan penglibatan generasi muda dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, idea dan pengalaman yang dikongsi sepanjang Environmental Education Conference 2026 (EEC 2026) akan membantu membentuk modul berkenaan.

“Pengalaman dan idea yang dikongsi dalam persidangan ini akan membantu membentuk modul pendidikan alam sekitar untuk sekolah dan komuniti.

“Dengan mengambil kira pengalaman antarabangsa serta pengetahuan tempatan, modul ini perlu menghubungkan pembelajaran dengan kehidupan seharian dan membantu golongan muda membangunkan pengetahuan, kemahiran serta keyakinan untuk menjaga alam sekitar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan EEC 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan modul itu memerlukan kerjasama rapat antara Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS), institusi akademik, kementerian dan agensi berkaitan serta rakan komuniti.

“Guru dan pendidik komuniti juga perlu dilibatkan bagi memastikan kandungan serta aktiviti yang disediakan relevan, praktikal dan mudah digunakan.

“Modul itu juga perlu disesuaikan dengan keperluan setempat supaya dapat dimanfaatkan oleh sekolah dan komuniti di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman yang mempunyai kekangan dari segi kemudahan, capaian internet serta sumber pembelajaran,” katanya.

Menurut beliau, pembelajaran berasaskan pengalaman penting untuk membantu pelajar memahami isu alam sekitar melalui situasi yang dekat dengan kehidupan mereka.

“Antara pendekatan yang boleh digunakan termasuk meneroka sungai berhampiran, memerhatikan pengurusan sisa di sekolah serta memahami penggunaan air dan tenaga dalam kehidupan seharian,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa pengetahuan masyarakat peribumi dan komuniti tempatan boleh memperkayakan pembelajaran dengan menghubungkan pendidikan alam sekitar kepada amalan serta sumber kehidupan setempat.

Dalam pada itu, hasil resolusi EEC 2026 perlu diterjemahkan kepada tindakan melalui kerjasama berterusan antara sekolah, agensi kerajaan, institusi pengajian, pertubuhan bukan kerajaan, industri dan komuniti.

Usaha memperkukuh pendidikan alam sekitar itu juga selari dengan aspirasi pembangunan Sarawak, termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), Sarawak Sustainability Blueprint 2030 dan Dasar Alam Sekitar Sarawak.

EEC 2026 berlangsung selama dua hari menghimpunkan pendidik, penyelidik serta pengamal alam sekitar bagi berkongsi pengalaman dan membincangkan pendekatan untuk memperkukuh pendidikan alam sekitar. -TVS

Penafian
Kerajaan Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak bertanggungjawab di atas kehilangan atau kerosakan disebabkan penggunaan mana-mana maklumat yang diperolehi daripada laman web ini.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search